Skip to main content
Issues Affecting the RakyatParliament

Keafdalan Kebebasan

By 15 May, 2008February 18th, 2020No Comments

Saya telah memberi ucapan sulung saya di Parlimen semalam. Bacalah teks ucapan saya di bawah.

[youtube=http://www.youtube.com/watch?v=yiz3XSW7gjM&hl=en] [youtube=http://www.youtube.com/watch?v=nPTvQhJJSQ8&hl=en]
1. Dengan penuh tanggungjawab saya Ahli Parlimen Kawasan Lembah Pantai turut membahaskan usul menjunjung kasih atas titah ucapan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong.

2. Keputusan pilihan raya umum 8 Mac lalu bukan sekadar mencatat kejayaan terbesar oleh Pakatan Rakyat, dan hari ini sempena ulang tahun peristiwa 13 Mei, saya mengisytiharkan di dewan yang mulia ini: bahawa transisi kuasa yang berlaku secara tenang membuktikan generasi muda telah meletakkan tragedi tahun 1969 hanya sebagai nota kaki dalam sejarah negara. More…

3. Yang membimbangkan generasi kami dan juga rakyat umumnya ialah jurang perbezaan pendapatan di antara golongan kaya dan miskin yang semakin melebar. Jurang di antara taukeh Melayu, Cina dan India yang menghisap curut Cohiba dari Cuba dengan penjual sayur di pasar Selayang, pemandu teksi di Pantai Dalam dan penjual teh tarik di Brickfields yang hanya mampu menghisap tembakau seludup dari Jawa semakin membesar.

4. Pengagihan peluang ekonomi yang tidak adil dan dasar yang terlalu mengutamakan kepentingan mereka yang rapat dengan pemerintah telah melebarkan lagi jurang perbezaan pendapatan antara golongan kaya dan rakyat biasa. Inilah yang sering diperkatakan oleh rakyat.

5. Kini dunia sedang menghadapi krisis makanan. Kenaikan harga minyak yang mengheret kenaikan harga barangan keperluan yang lain memberi kesan yang perit kepada rakyat bawahan.

6. Kalau diseret sejarah harga minyak yang rendah, sekadar mencecah 12-26 dolar setong sekitar zaman 1990an dahulu, jangan lupa dijelaskan juga keadaan ekonomi yang mencatat peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) hingga 8.5 peratus antara tahun 1991 hingga 1997 – bukti bahawa pengekalan subsidi bukan penyebab longlainya peningkatan tahap ekonomi Negara.

7. Ini berbeda dengan keadaan Malaysia yang sedia ada. Kenaikan harga minyak yang tidak dijangka, sehingga mencecah 125 dollar setong. Perolehan tinggi keuntungan Negara selaku pengeksport net minyak sepatutnya memberi ruangan untuk pelaksanaan projek yang menambah nilai sumber-sumber untuk jangka panjang, termasuk pembinaan lebih banyak loji penapisan minyak di negara ini, seterusnya menambah pendapatan, bagi mengalih beban rakyat akibat kenaikan harga minyak. Pelaksanaan sistem resen, bagi memastikan kecekapan pengagihan subsidi, hanyalah menyambung beban pasca Perang Dunia Kedua; sesuatu yang tidak dapat diterima apabila warga seharusnya memandang ke depan, dan bukannya menjadi nostalgik dan mengikuti dasar-dasar masa silam.

Tan Sri Yang DiPertua

8. Sepanjang berkempen, saya juga melihat rumah-rumah yang didiami oleh anak-anak Melayu miskin di Pantai Dalam, anak-anak muda Cina dan India sekitar Bangsar.

9. Saya tertanya-tanya, apakah yang mereka mahukan? Pastinya mereka inginkan pendidikan dan latihan; peluang pekerjaan dan perumahan selesa.

10. Namun saya lebih terdorong untuk mengatakan bahawa apa yang mereka dahagakan ialah kebebasan –memperolehi mutu pendidikan dan keselesaan hidup.

11. Menginsafi segala permasalahan rakyat dan negara yang saya sebutkan tadi, ingin saya pancarkan di dewan yang mulia ini, faham keafdalan kebebasan, atau Primacy of Freedom, dengan izin, yang telah lenyap dari bumi Malaysia dan perlu dikembalikan. – kacau

12. Anak muda di Malaysia dahagakan kebebasan dan ia diinjak-injak oleh pemerintah.

Tuan Yang Di Pertua,

13. Saya selaku ahli muda di dalam dewan ini bersedia menerima nasihat ikhlas tetapi dalam masa yang sama saya menyeru agar pemerintah memberhentikan segala bentuk serta usaha menyalah, memperkecil dan memperlekehkan anak muda di Malaysia. Kita jangan senang-senang menuding jari tanpa memahami api membara anak muda yang sentiasa mencari cara dan bentuk untuk menyalurkan letusan yang sekian lama terpendam. Kerajaan lebih suka supaya generasi masa depan terbelenggu dengan budaya kalabendu, kata orang Jawa, yang bermakna, huru-hara, kerana cenderung menganjur pesta tetapi tidak wacana bebas.1

14. Tidak ada kebebasan tanpa kepertanggungjawaban, itulah yang ditegaskan oleh Hayek di dalam bukunya The Constitution of Liberty.2

15. Dengan sinar kebebasan, generasi muda pastinya memandang serius, Indeks Persepsi Rasuah, yang menempatkan Malaysia di tangga 43 pada tahun 2007, sementara melihat Singapura yang berada di tangga ke-4.

16. Kita tidak hairan sebenarnya, pemerintah di Malaysia terutamanya yang sebelum ini, sering menggunakan Nilai Asia untuk meminggirkan kebebasan. Proses semacam indoktrinasi ini menggunakan alasan kononnya kebebasan adalah nilai Barat, tidak secocok dengan kita dari Timur.

17. Akan tetapi kita tidak melihat kebebasan menjadi bahagian penting dari pemerintahan di Malaysia. Kita lihat saja akta kuno seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri, yang digubal pada tahun 1960 akan tetapi diwarisi dari kerajaan kolonial British, yang dikenal sebagai Ordinan Darurat 1948. Betapa undang-undang ini sangat bersalahan dengan kebebasan yang dijamin oleh semangat keperlembagaan itu sendiri. Hakikatnya tanpa ISA pun, sudah cukup undang-undang lain untuk mengadili sesiapa pun di mahkamah.

18. Melalui sistem pendidikan, pemerintah mengongkong pelajar dengan Akta Universiti dan Kolej Universiti.

19. Sistem di universiti hari ini bukan lagi untuk menjana kecemerlangan, tetapi cara kemasukan ke universiti hari ini, sebagai contoh, hanya menginstitusikan kelaihan atau kelembapan.

20. Sistem kemasukan universiti hari ini hanya menggalakkan aliran keluar bakat-bakat cemerlang, yang telah dinafikan kebebasan mereka untuk memasuki universiti di negara ini. Bukan rahsia lagi, ada negara jiran yang sudah memikat pelajar cemerlang kita semenjak di bangku sekolah.

21. Usaha-usaha menginstitusikan kelaihan atau dengan izin, institutionalizing mediocrity, sebenarnya telah juga menafikan kebebasan anak-anak muda kita untuk mendapat pendidikan yang terbaik di institusi pengajian tinggi tempatan.

22. Ahli akademik sudah tidak lagi bebas menyuarakan pandangan ilmiah mereka yang tidak selaras dengan pandangan pemerintah.

23. Mereka yang berbakat, tetapi tidak sekepala dipinggirkan.

24. Lihat sahaja apa yang terjadi kepada Jomo Kwame Sundaram dan Edmund Terence Gomez, yang hari ini berkhidmat di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

25. Hari ini, Akujanji menjadi surat ugutan untuk memasung pemikiran para ahli akademik.

26. Saya percaya, dengan penubuhan Suruhanjaya Diraja untuk Penambahbaikan Sistem Pendidikan; elemen kebebasan dapat dikembalikan dalam sistem pendidikan kita.

27. Suruhanjaya ini perlulah mempunyai bidang kuasa yang membolehkan mereka menyiasat dan mengkaji sistem pendidikan kita daripada sekolah rendah hinggalah ke peringkat universiti.

28. Dan asas kepada tugas suruhanjaya ini haruslah untuk mengembalikan dan menghidupkan kebebasan dalam sistem pendidikan.

29. Saya hanya perlu merujuk kepada jawapan yang diberikan Kementerian Pengajian Tinggi di dewan yang mulia ini bagi menunjukkan bencana yang telah menimpa sistem pendidikan kita.

30. Dianggarkan 60,000 hingga 80,000 graduan universiti tempatan yang menganggur. Dan jelas sekali, kebanyakan majikan lebih menggemari graduan luar negara.

31. Universiti tempatan pula terus merudum kedudukannya di peringkat antarabangsa. Pada tahun 2007, tidak ada universiti tempatan yang tersenarai dalam carta Times Higher Education Supplement. Universiti Malaya yang berada di tangga 192 pada tahun 2006 kini telah terkeluar.

32. Apa yang ingin saya katakan berkenaan perubahan sistem pendidikan ini bukanlah berbunyi sedap di atas kertas sahaja. Finland sebagai contoh, sebuah negara yang menikmati faedah kebebasan dalam sistem pendidikan.

33. Finland, menurut Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) berjaya mencapai tahap pendidikan tertinggi di dunia –terutamanya pencapaian dalam bidang Sains, Matematik, serta minat membaca. Tidak ada formula khusus yang menjayakan sistem pendidikan di Finland. Tetapi apa yang diperhatikan adalah bagaimana dijamin keterbukaan dan kebebasan yang diberikan untuk merangka kurikulum sejajar dengan afdalnya kebebasan dalam pendidikan.

34. Para guru diberi ruang untuk menentukan strategi mengajar di sekolah-sekolah. Kanak-kanak mula bersekolah dari umur 7 tahun, dan digalakkan untuk berdikari dan diajar untuk membuat keputusan sendiri.

35. Penolakan kepada keafdalan kebebasan ini, juga mengakibatkan negara menjadi semakin merosot daya saing untuk menarik kehadiran pelabur asing, bagi mewujudkan peluang pekerjaan. Kawalan sempadan yang longgar membawa kepada kebanjiran buruh asing, namun pada masa yang sama, kerajaan tidak bersungguh dalam membuka pasaran untuk pelabur asing bagi mewujudkan peluang pekerjaan.

36. Saya sedar ramai yang takut dengan idea kebebasan ini.

37. Sudah saya sebutkan awal-awal tadi bahawa kebebasan datang dengan tanggungjawab. Mereka yang takut dengan kebebasan adalah golongan yang sudah melupakan tanggungjawab individu.

38. Dalam Pemahsyuran Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu, Perdana Menteri Pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, mengisytiharkan bahawa tanah air kita akan kekal menjadi sebuah negara yang merdeka dan berdaulat serta berdasarkan kebebasan dan keadilan.

39. Saya berdiri di dewan yang mulia ini, sambil mengenangkan anak-anak muda dari pelbagai kaum dan agama. Saya berharap satu hari nanti supaya dapat memberitahu mereka bahawa mereka mempunyai tempat di negara ini. Bahawa mereka boleh mengembalikan kedudukan mereka dalam masyarakat. Dan kebebasan sememangnya hak mereka yang asasi yang telah dijanjikan oleh pengasas negara kita.