Skip to main content
Politik

Penghijrahan Ahli Parlimen Adalah Proses Demokrasi

By 16 September, 2008February 18th, 2020No Comments

Majlis Peguam, Harris Ibrahim dan Sean Ang dilaporkan dalam New Straits Times pada 10 September 2008 sebagai berkata Ahli-Ahli Parlimen yang mahu berhijrah ke parti lain adalah sah di sisi undang-undang, tetapi tidak bermoral.

Menjawab perkara ini, adalah perlu untuk menarik perhatian kepada beberapa prinsip-prinsip asas menyentuh persoalan moraliti penghijrahan MP-MP:

1) Penghijrahan ke sebuah parti politik lain sebagai seorang MP bukanlah sesuatu yang baru dalam demokrasi berparlimen. Sekiranya MP terbabit berhijrah bukan atas dasar kepentingan diri, tetapi atas nama kepentingan penduduk yang diwakilinya, maka tindakan beliau itu harus dipuji.

2) Terdapat dua jenis sistem pilihanraya yang utama dalam dunia demokrasi:

Pertama ialah sistem constituency-based . Melalui sistem ini, para pengundi di kawasan setempat atau kerusi melantik seorang calon individu. Calon yang menang undi majoriti di kerusi-kerusi mereka dilantik sebagai Ahli Parlimen. Parti yang mendapat jumlah kerusi terbanyak membentuk kerajaan. Dalam sistem ini, MP-MP berkenaan yang menduduki kerusi, bukan parti. Ini bermaksud, MP boleh berhijrah dan masih mengekalkan kerusinya.

Kedua ialah sistem proportional representation. Melalui sistem ini, para pengundi di suatu kawasan yang luas, misalannya, sebuah daerah atau negeri mengundi untuk parti-parti politik. Parti politik yang berkenaan memilih individu yang akan menjadi MP. Setiap parti diperuntukkan jumlah kerusi mengikut jumlah undi yang diterima dalam Pilihanraya Umum. Melalui sistem ini, kerusi tersebut milik parti dan MP yang melompat terpaksa meninggalkan kerusi yang dimenanginya.

Sistem pilihanraya yang digunakan di Malaysia adalah sistem constituency-based. Sistem constituency-based menyediakan wadah untuk individu, bukan sahaja parti politik, untuk menjadi calon pilihanraya ke Dewan Rakyat. Ini ditonjolkan dengan jelas, apabila calon Bebas yang tidak terikat dengan mana-mana parti politik, dibenarkan bertanding.

Lantaran itu, tiket parti adalah permuafakan calon-calon individu yang menganut dasar atau ideologi yang sama. Pokoknya, para pengundi memilih calon berdasarkan dasar beliau, kemampuan beliau, dan komitmen beliau.

3) Hujah tiket parti juga gagal memberi kesan kepada peruntukan Artikel 43(1) dan 43(4) Perlembagaan Persekutuan. Artikel 43(1) memberi kuasa kepada Yang Di-Pertuan Agong untuk melantik Perdana Menteri yang pada pertimbangan baginda mewakili keyakinan majoriti anggota Dewan Rakyat. Artikel 43(4) memberi kuasa kepada Perdana Menteri untuk membubarkan kabinet beliau sekiranya dia tidak lagi mewakili keyakinan majoriti anggota Dewan Rakyat.

Berdasarkan dua peruntukan ini, secara langsung menjelaskan bahawa sistem dan operasi pilihanraya negara, bahawa para pengundi memberi mandat kepada 222 anggota Parlimen untuk menentukan siapa di kalangan mereka yang layak menjadi Perdana Menteri. Tempoh khidmat 222 MP ini dan kuasa mereka telah ditetapkan. Ia berlanjutan sehingga Pilihanraya Umum seterusnya tiba.

Tempoh khidmat Perdana Menteri bagaimanapun tidak ditetapkan dan tidak boleh tidak disanggah. Ia bergantung kepada sejauh mana keyakinan 222 MP kepada Perdana Menteri sepanjang tempoh Parlimen.

Dalam erti kata lain, keyakinan terhadap Perdana Menteri boleh sahaja terhakis dan berubah. Ini bergantung kepada pelbagai faktor termasuk apakah Perdana Menteri tidak berkemampuan, lemah, atau gagal menjalankan tugas-tugas yang diamanahkan rakyat, atau gagal melaksanakan dasar-dasar, atau tidak lagi mewakili keyakinan rakyat, atau terdapatnya perubahan pendapat di kalangan orang-orang awam berkenaan pentadbiran Perdana Menteri.

Kuasa untuk menyingkirkan Perdana Menteri termasuk, serta memerlukan, anggota-anggota Parlimen berhijrah. Pilihan untuk berhijrah ini adalah untuk memastikan hanya Perdana Menteri yang berkemampuan sahaja berkhidmat sehingga pembubaran Parlimen. Demikian itu, adalah menjadi tanggungjawab moral MP berkenaan untuk melompat sekiranya ia dilihat perlu bagi memastikan Perdana Menteri yang lemah tidak mentadbir negara ini. Lantaran itu, hak anggota Parlimen untuk berhijrah ke wadah yang dipercayai, seraya membawa kepada kejatuhan sesebuah kerajaan, adalah jelmaan hasrat rakyat.

4) Penghijrahan membuka ruang kepada demokrasi, dan mendesak kepimpinan negara supaya lebih sensitif kepada hasrat masyarakat semasa Parlimen berlangsung. Sekiranya tidak, pihak Eksekutif akan bertukar kepada rejim autokratik, yang tidak kenal erti takut, kerana sedar bahawa ia tidak perlu bertanggungjawab kepada naluri rakyat sehinggalah PRU tiba – lima tahun kemudian.

William Leong Jee Keen

Ahli Parlimen Selayang

Bendahari Agung Parti Keadilan Rakyat