Skip to main content
Jawapan Parlimen

2 April 2014: Jawapan Bertulis Soalan Parlimen [MENTERI PERDAGANGAN ANTARABANGSA DAN INDUSTRI]

By 3 April, 2014February 18th, 2020No Comments

PEMBERITAHUAN PERTANYAAN DEWAN RAKYAT
PERTANYAAN : BAGI JAWAB LISAN
DARIPADA : Puan Nurul Izzah binti Anwar

[ Lembah Pantai ]

TARIKH : 02 APR 2014 (Rabu)
SOALAN : No. 54

YB Nurul Izzah binti Anwar [ Lembah Pantai ] minta MENTERI PERDAGANGAN ANTARABANGSA DAN INDUSTRI menyatakan:-

a) Bilakah edaran laporan impak hasil ke atas GLC dan kepentingan nasional akan diedar di Dewan Rakyat; dan

b) adakah Kaukus Parlimen berkenaan Perjanjian TPP akan dinaiktaraf kepada Jawatankuasa Pemilih Parlimen berkenaan TPP dan bilakah ratifikasi akan dilaksana.

JAWAPAN

Tuan Yang DiPertua,

Soalan (a) yang ditanyakan mengenai laporan impak hasil ke atas GLC dan kepentingan nasional tidak dinyatakan secara jelas apakah jenis laporan dan kepentingan negara yang dimaksudkan oleh YB Lembah Pantai.

Namun begitu, jika dilihat bersekali dengan soalan (b), adalah diandaikan soalan (a) itu berkaitan dengan laporan Kajian Kepentingan Negara Mengenai Penglibatan Malaysia di dalam Rundingan Trans-Pasifik Partnership yang dilaksanakan oleh Institute of Strategic and International Studies (ISIS) dan Kajian Analisis Kos Manfaat TPP ke atas Bumiputera dan SMEs yang dilaksanakan di bawah Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU). Walaupun tajuk kedua-dua kajian tersebut berbeza tetapi secara amnya kajian yang dijalanakan adalah mengenai kepentingan negara dan impak TPP ke atas negara termasuk impak terhadap GLC.

Tuan Yang DiPertua,

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, kedua-dua kajian tersebut (ISIS dan TERAJU) kini berada di peringkat akhir untuk menyiapkan laporan fasa pertama. Sepertimana yang pernah dimaklumkan sebelum ini, kedua-dua kajian tersebut akan dilaksanakan secara dua fasa. Fasa pertama melaksanakan analisis berlandaskan situasi di mana rundingan teks masih berlangsung, hasil kajian fasa pertama adalah bersifat interim. Manakala fasa kedua hanya akan dilaksanakan apabila teks rundingan dimuktamadkan nanti.

Taklimat mengenai hasil laporan fasa pertama bagi kedua-dua kajian ini akan disampaikan kepada Ahli-Ahli Kaukus TPP di mana Yang Berhormat Lembah Pantai juga merupakan salah seorang daripadanya apabila ianya telah selesai kelak.

Tuan Yang DiPertua,

Mengenai persoalan yang ditanyakan mengenai sama ada Kaukus Parlimen TPP akan dinaiktaraf kepada Jawatankuasa Pemilih Parlimen dan bilakah proses ratifikasi akan dilaksanakan?

Ingin saya memaklumkan di sini bahawa Kaukus Parlimen TPP yang pertama kali ditubuhkan secara bipartisan untuk isu TPP. Kaukus Parlimen telah melaksanakan peranan dengan baik. Pihak Kementerian juga bekerja rapat dengan ahli-ahli Yang Berhormat yang terlibat sebagai Ahli Kaukus untuk tujuan konsultasi terhadap isu yang berkaitan TPP. Justeru, saya berpendapat tidak ada keperluan untuk menaiktaraf kepada Jawatankuasa Pemilih Parlimen buat masa ini.

Mengenai soalan yang ditanyakan bilakah ratifikasi akan dilaksanakan? Ingin dimaklumkan bahawa proses ratifikasi perjanjian hanya akan dijalankan pertamanya setelah rundingan ditamatkan dan keduanya setelah Perjanjian ditandatangani. Tempoh proses ratifikasi sebelum Perjanjian dilaksanakan juga berbeza bagi setiap negara anggota TPP tertakluk kepada proses domestik masing-masing. Saya tidak merasakan proses ini dapat dijalankan dalam masa yang terdekat kerana rundingan masih dijalankan dan masih banyak isu-isu tertunggak yang belum diselesaikan.