Skip to main content
Education

21 Disember 2013: Ucapan di Konvensyen Pendidikan Ke-2 TFTN

By 21 December, 2013February 18th, 2020No Comments

Yang Dikasihi Dato Dr Siddiq Fadzil [Presiden WADAH dan mantan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia]

Prof Tan Sri Dr Ghauth Jasmon [mantan Naib Canselor Universiti Malaya – UM dan Malaysia kehilangan antara NC yang terbaik dalam negara]

Saudara Mat Luthfi [personaliti Youtube yang menjadi teman penghibur politikus dan anak muda sekaligus]

Seluruh warga Teach For The Needs

Saudara Anas, Saudara Zamir, Saudari Asmidar

Teman-teman seperjuangan lainnya,

Assalamualaikum wbt & Salam Sejahtera

Pendidikan Masa Hadapan Demi Malaysia Yang Lebih Baik

Ditakdir sudah bila Safiyah berumur sekitar lima tahun soalan yang ditanyakan kepada mamanya; selain soalan lazim seperti “Mama buat apa di Parlimen; atau, kenapa ceramah selalu kena malam-malam?;” adalah soalan,

“Siapa yang cipta telefon? Atau piano? Atau televisyen? Takde ke orang Malaysia?” – yang mengingatkan saya kepada kata-kata John Adams, Presiden Amerika Syarikat kedua [1735-1826]

“I must study politics and war that my sons may have liberty to study mathematics and philosophy. My sons ought to study mathematics and philosophy, geography, natural history, naval architecture, navigation, commerce, and agriculture, in order to give their children a right to study painting, poetry, music, architecture, statuary, tapestry, and porcelain.”

Begitulah persoalan yang diajukan Safiyah; yang seharusnya ditanyakan oleh kita semua. Begitulah kita – yang bernaung di tempat lahirnya Kesultanan Melaka; pelabuhan yang menemukan seantero dunia; namun terhad buah fikirannya hinggakan hadiah Nobel yang sudah pun dimenangi negara seperti Bangladesh, bukan sahaja tidak mampu disebut bibir, malahan jauh dari terlintas di benak fikiran.

Realiti beginilah yang memaknakan kerelevan tenaga dan buah fikiran Teach For The Needs; yang berhasil dalam melaksanakan konvensyen pendidikan yang begitu gilang-gemilang tanpa sesen pun dana kerajaan, dan lebih penting lagi; melontar cabaran baru di tengah-tengah belantara pendidikan Malaysia yang semakin terkedu dengan pengumuman-pengumuman seperti:

“Kualiti pendidikan yang diterima oleh pelajar Malaysia adalah antara yang terbaik di dunia. Lebih baik daripada Amerika Syarikat, Great Britain dan Jerman.”

Tiba saja TFTN di persada pendidikan negara, maka bermulalah era politik pendidikan jujur dan berani; jujur mengkritik kelemahan sedia ada, dan berani menongkah arus dalam cubaan menyelesaikan masalah struktur pendidikan tanahair.

Kata TFTN, bagi setiap sekolah, atau kelas, sekurang-kurangnya 10 peratus daripada anak-anaknya sudah tentu terjerumus dalam perangkap illiteracy – tidak berupaya untuk membaca dan menulis.

Walaupun saya pada mulanya sinis, terkedu juga saya apabila ditemukan dengan 40 orang pelajar Darjah 6 yang illiterate sedang saya menghantar jambangan bunga sempena Hari Guru di sebuah sekolah rendah di Lembah Pantai.

Saya hanya berupaya memasuki premis sekolah kebangsaan secara spontan dengan membawa sejambak bunga ros – setelah dihalang secara rasmi gara-gara Pekeliling edaran Kementerian Pendidikan.

Setelah dipertemukan sendiri dengan anak-anak bijak namun illiterate ini, jalan penyelesaian terbaik adalah dengan membawa masuk sukarelawan-sukarelawan TFTN; mereka yang apolitical, mereka yang tidak partisan, dan mereka yang bersedia menabur bakti untuk memperbaiki lompang-lompang illiteracy sedemikian – supaya semua anak-anak di Malaysia diselamatkan dengan keupayaan asas untuk maju ke depan.

Apakah natijahnya buat kita semua?

Sememangnya, kejujuran dan keberanian adalah tunjang utama dalam mengorak langkah ke arah perubahan yang positif. Sikap berani kerana benar dan jujur kerana pegangan, menilai keberkesanan diri kita dalam melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan. Kita seharusnya mengambil iktibar dari kejujuran serta keberanian yang jelas ditonjolkan penggerak-penggerak TFTN.

Teman-teman seperjuangan sekalian:

Bak kata pepatah, Menongkah Arus Jangan Tanpa Pendayungnya. Berbilion ringgit telah dibelanjakan untuk pelaksanaan PPSMI; dan generasi demi generasi telah terkorban bak tikus makmal akibat perubahan-perubahan dasar pendidikan.

Negara kita kaya dengan hasil mahsul bumi yang tidak pernah putus bermulanya dari bijih timah, kelapa sawit, getah, kayu balak dan terkini minyak & gas. Petronas dengan sendirinya, dari tahun 1974 sehingga kini telah menyumbangkan sebanyak RM732 bilion kepada negara. Berapakah jumlah dana yang telah disalurkan kepada perbelanjaan untuk pendidikan negara? Daripada jumlah itu, berapakah yang diperuntukkan untuk pembangunan guru-guru dan anak murid – selain dari berbilion ringgit yang dibelanjakan untuk infrastruktur dan projek-projek yang dicemari oleh ketirisian kewangan?

Dalam mengambil mana-mana pendekatan yang drastik, kerajaan memerlukan perancangan teliti serta kajian yang rapi sebelum ia dilaksanakan di sekolah-sekolah serata Malaysia.

Saya merujuk penulisan Majalah Saintifik Malaysia yang menyimpulkan,

Harus adanya lebih banyak keterbukaan dari segi perkembangan inisiatif dasar; termasuklah dalam mewujudkan kumpulan inkuiri yang independen dengan kajiselidik yang berkala. Bluprin yang disedia kerajaan harus diganding dengan sasaran masa pelaksanaan yang jelas untuk memantau keberkesanan pelaksanaan dasar tersebut.

Ingatlah; Malaysia masih terkebelakang dalam memenuhi standard negara-negara OECD – yang punyai profil kukuh dalam pencapaian sains dan teknologi, serta keluaran ekonomi – dan negara-negara tersebut bukanlah negara di mana bahasa pengantarnya Bahasa Inggeris.

Malangnya, PPSMI dilaksanakan sebelum kita sempat melatih serta meningkatkan keupayaan bahasa Inggeris di kalangan guru-guru. Ceritera bermula dengan kisah seorang Perdana Menteri yang mendapat ilham untuk memperbaiki mutu penggunaan Bahasa Inggeris dengan menggunapakai bahasa tersebut sebagai bahasa pengantar dalam matapelajaran Matematik dan Sains. Pedulikan kajiselidik; pedulikan persediaan mengajar guru; pedulikan pendapat pakar – all one needed at the time was to be in power.

Being futurustic without sound knowledge is akin to digging a sandhole.

Malangnya jua, yang tenggelam di dalam pasir jerlus ini merupakan segenerasi anak-anak kita yang kini terbelakang berbanding Vietnam.

Sistem pendidikan adalah sesuatu yang serius yang akan memberi kesan langsung kepada masa depan negara dan bukanlah dilakukan sewenang-wenangnya seperti menukar pakaian ataupun perlaksanaan satu ide yang muncul di benak pemikiran pemimpin di waktu minum petang.

Masalah-masalah sebeginilah yang amat membimbangkan, dan saya yakin pada ketika itu yang ini akan memberi kesan kepada kualiti pendidikan yang diterima oleh anak-anak kita. UNESCO melaporkan bahawa “Forcing children, or adults, to attend schools that use a language they neither speak nor understand hinders rather than helps them to develop their potential as productive members of society.”

Selain itu, dalam sebuah laporan yang lain, UNESCO telah berkata bahawa: “UNESCO and other international agencies concerned with early education, children’s rights, and linguistic diversity argue strongly for the pedagogical imperative of using a child’s own language as the medium of instruction, at least in the early years of formal schooling.”

Pada tahun 2011, Laporan TIMMS melaporkan kejatuhan kedudukan Malaysia untuk subjek Matematik iaitu dari 16 (1999), 10 (2003), 20 (2007), dan 26 (2011) sementara subjek Sains pula ialah 22 (1999), 20 (2003), 21 (2007), dan 32 (2011).

Kejatuhan markah purata bagi subjek Matematik iaitu 519 (1999), 508 (2003), 474(2007) ke 440 (2011); jatuh 79 mata sementara subjek Sains iaitu 492 (1999), 501 (2003), 471 (2007) ke 426 (2011).

Yang menghairankan adalah percanggahan yang diperlihatkan menerusi Laporan Lembaga Peperiksaan – rekod pelajar yang mendapat A dalam kedua-dua mata pelajaran tersebut semakin meningkat dari tahun ke tahun di dalam peperiksaan PMR. Apakah yang sebenarnya berlaku?

Menjelang 2013, sebuah lagi laporan pendidikan diterbitkan. Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) telah mengeluarkan laporan Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) 2012. Sekali lagi rakyat Malaysia dikejutkan dengan prestasi pelajar Malaysia yang semakin merudum. Terkini, Pelajar Tingkatan 3 Malaysia setaraf dengan pelajar Darjah 5 dari Singapura dan Korea Selatan!

Anak-anak 15 tahun kita setaraf sepuluh tahun mereka!

Natijahnya apa, saudara-saudari sekalian?

Seperti kata ahli falsafah dan penyair terkenal Jalaludin Rumi, “fi hi ma fi hi, It is what it is.” Realitinya sebegini!

Seberani saya berdepan dengan realiti semasa, kendur juga hati saya mendengar pembentangan yang jujur daripada Saudara Frederico Gil Sander bagi pihak Bank Dunia di Universiti Malaya Isnin lepas.

Laporan Bank Dunia mengenai Kualiti Pendidikan Malaysia mendedahkan beberapa perkara. Salah satu perkara yang positif yang telah dilaporkan ialah, akses kepada pendidikan di Malaysia secara puratanya amat tinggi, dengan lebih 95 peratus daripada pelajar menerima pendidikan menengah rendah. Malaysia juga memberikan peruntukan yang tinggi dalam nisbah KDNK berbanding dengan negara-negara lain.

Hanya secara konsisten, kerajaan juga tidak sepenuhnya membelanjakan peruntukan pembangunan untuk pendidikan – yang menunjukkan betapa runcingnya pelaksanaan di bawah.

Laporan itu juga telah mengesahkan apa yang kita bimbangkan selama ini – PPSMI telah menyebabkan pencapaian pelajar Malaysia semakin merudum!

Tahun 1970, penukaran bahasa pengantar dari bahasa Inggeris ke bahasa Melayu telah meningkatkan daya saing pelajar Melayu, dan tidak mempunyai apa-apa impak yang jelas kepada pelajar etnik yang lain. Penukaran ini mengakibatkan para pelajar Melayu meraih peningkatan sebanyak 0.3 tahun pembelajaran. Ini mungkin disebabkan oleh penerimaan ilmu yang lebih mudah sekiranya aktiviti pengajaran dan pembelajaran itu dibuat dalam bahasa yang lebih difahami. Penukaran itu juga telah meningkatkan pendapatan warga Malaysia sebanyak 4.6%, dan pekerja Melayu secara khususnya sebanyak 5.7 peratus.

Namun begitu, saya tidak menidakkan peri pentingnya penguasaan Bahasa Inggeris. Disebabkan itu, kita berhak merungkai mengapa kita mampu menghantar guru-guru kita ke Maktab Perguruan di Kirkby, Liverpool untuk melahirkan kumpulan pendidik terbaik dengan pantas bagi mengasuh anak-anak kita di tanah air pada tahun-tahun 50an – bagaimana pula sekarang?

Cadangan laporan Bank Dunia – berpusat kepada 3 perkara, seperti yang disebut Prof Tan Sri Ghouth:

1. Desentralisasi sekolah-sekolah

2. Pengupayaan pengetua dan guru-guru akar umbi di sekolah terbabit termasuk PIBG,

3. Kualiti guru yang harus dipertingkat.

Teman-teman seperjuangan yang dikasihi:

PPSMI atau terbaru, PBS, hanyalah simptom kepada masalah yang lebih serius – pelaksanaan yang berpandukan fakta, kajiselidik, persediaan konkrit, dan kebenaran.

Terbaru, saya membawa isu pelaksanaan program terbaru yang diwujud Kementerian Pendidikan yang menamatkan peperiksaan PMR tahun ini – sistem Pentaksiran Berdasarkan Sekolah – kepada perhatian pembentang Laporan Pendidikan World Bank ke atas Malaysia – Frederico Gil Sander.

Jawab Frederico mudah; seperti juga kesimpulan Majalah Saintifik Malaysia terdahulu:

“Laksana saja inkuiri yang independen beserta kajiselidik untuk meneliti keberkesanan perlaksaan PBS. Kemudian, dipersembahkan untuk tatapan umum!”

Malangnya, apabila dibawa ke perhatian Menteri di Parlimen, sikap defensif yang menjelma. Adakah menjadi tanggungjawab pelaksana, iaitu para guru yang sekarang jua terpaksa menjadi hakim dan penimbang tara menerusi Laman Facebook yang berjudul Kami Mahu SPPBS Dimansuhkan dengan 58 ribu Likes?! Kalau begini, siapa mahu menjadi cikgu?

Mahu saja saya berpesan kepada Menteri, dan Timbalan-timbalannya,

Listen, listen, listen, listen, listen, listen, listen!

Syed Husin AlAtas di dalam bukunya, ‘Intelek Masyarakat Membangun’ telah mendedikasikan satu bab berjudul Bebalisme. Saya seru, hentikanlah bebalisme seperti ini. Sudah masanya, kita berani untuk mengakui kelemahan sistem pendidikan kita. Kita wajib hentikan sikap bodoh sombong yang tidak berhenti mendabik dada mengatakan Malaysia-lah negara terbaik dunia. Hanya dengan pengakuan jujur sebegini lah baru kita akan mampu untuk bermula merubah sistem yang ada. Berani dan jujur untuk masa depan anak-anak Malaysia.

Teman-teman sekalian:

Meraikan Individualisme, Kreativiti dan Ya! Pemikiran Kritikal!

Inilah jawapannya buat puteri saya Safiyah. Selagi mana pendidikan kita dipenuhi politisasi dan komersialisasi yang melampau, pendidikan hilang rohnya sebagai proses pengutuhan dan penyempurnaan insan.

Selagi pendidikan kita terus menjadi proses dehumanisasi oleh sang penguasa seperti kupasan Paulo Freire, selagi itulah pendidikan kita tidak akan bakal melahirkan idea ataupun menuju peradaban yang agung. Maqasid atau objektif pendidikan pada akhirnya adalah untuk merungkai potensi maksima dalam manusia.

Percaya atau tidak, saya merupakan produk sekolah kerajaan. Saya bersekolah di Sekolah Kebangsaan Bukit Damansara dan kemudiannya Sekolah Menengah Perempuan Assunta. Jangan disalah sangka; saya amat berterima-kasih kepada guru-guru yang telah memberikan saya ilmu di dada; pun begitu, berbekalkan latar pendidikan ini memaksa saya bekerja dua kali ganda lebih berbanding dengan pelajar lain sewaktu saya menjalani pembelajaran peringkat sarjana di Johns Hopkins.

Alhamdulillah, berkat doa daripada ibubapa, rezeki yang dikurniakan Allah, beserta dokongan teman-teman dan tenaga pengajar, saya mampu berjaya.

Pengalaman ini membawa saya kepada sebuah persoalan yang penting. Apakah sebenarnya tujuan sekolah? Adakah ianya merupakan sebuah institusi untuk membangunkan sumber manusia, atau ianya merupakan sebuah kilang robot? Apakah kita mahukan anak-anak kita cuma menjadi burung kakak tua, yang cuma tahu mengulang sahaja apa yang telah diajar?

Saya ada terdengar cerita daripada rakan-rakan saya yang pernah bersekolah di Sekolah Berasrama Penuh, yang mana peraturan sekolah begitu ketat sehinggakan mendengar serta bermain muzik menjadi satu kesalahan – termasuklah Kolej Islam Sultan Alam Shah.

Saya musykil kenapa sampai sebegini rupa keadaannya. Mahu tidak mahu syarahan yang lucu dan mengasyikkan oleh seorang pakar pendidikan British, Sir Ken Robinson muncul di fikiran saya.

Beliau memulakan syarahan dengan ayat bahawa setiap seorang daripada kita mempunyai bakat asli yang sungguh besar. Pendapat ini disokong oleh kajian George Land pada tahun 1968, yang mana beliau memberikan sebuah ujian kreativiti NASA kepada 1,600 kanak-kanak 5 tahun. Ujian itu mendapati bahawa 98 peratus daripada kanak-kanak yang diuji menunjukkan tahap kreativiti yang genius.

Ken Robinson seterusnya telah mengatakan bahawa sistem pendidikan yang terlalu rigid dan sempit, dengan aspek kesenian, kemanusian dan program pendidikan fizikal yang semakin ditinggalkan, serta budaya obsesif terhadap ujian-ujian dan peperiksaan telah menyebabkan kadar kreativiti kepada murid-murid semakin menurun dengan kadar yang amat mengejutkan.

Dalam ujian George Land tadi, apabila ujian yang sama diberikan kepada kumpulan kanak-kanak yang sama apabila mereka berumur 10 dan 15 tahun, kadar kreativiti telah menurun, dengan hanya 30 peratus dan 12 peratus berada di tahap kreativiti genius.

I guess we are all too late!

Malik Bennabi, pemikir tersohor Algeria, menegaskan dilema negara kurang maju kerana mereka menganjurkan peradaban kebendaan yang bersandarkan pengumpulan harta benda, bukannya idea, yang hanya dapat dicapai melalui pendidikan. Menurutnya, hanya dengan idea dan pendidikan satu-satu bangsa boleh menjadi peradaban yang agung.

Lanskap pendidikan negara pada hari ini tidak menjuruskan pelajar kepada penjanaan idea dan pemikiran kritis. Individualisme dan perbezaan setiap kanak-kanak tidak diraikan oleh sekolah, malah ditekan sehingga pelajar-pelajar kehilangan identiti. Kita terlalu takut untuk membenarkan anak-anak kita berfikir melangkaui sempadan akademik.

Dahulu sebelum merdeka kita mendidik dengan sistem berasingan daripada sekolah pondok, sekolah Inggeris, sekolah kebangsaan dan vernakular mengikut bangsa. Pasca merdeka memperlihatkan beberapa rangkaian penyelesaian seperti Penyata Razak dan Penyata Rahman Talib demi penambahbaikan pendidikan. Terkini, sebuah Blueprint yang bernilai hampir RM 20 juta dikeluarkan.

Soalnya, setiap kali sistem pendidikan dirubah, satu generasi akan terkesan dan apakah sistem pendidikan yang kita mahukan untuk anak-anak kita?

Dahulu selepas merdeka, anak-anak muda berebut untuk menjadi askar, polis ataupun cikgu. Ini merupakan pekerjaan tersohor di waktu itu. Tidak lama selepas itu, apabila negara menyambut arus pembangunan, anak-anak pula digalakkan untuk mengambil bidang kejuruteraan atau perubatan. Samada anak-anak itu mampu atau tidak itu soal kedua.

Melihat masa hadapan, satu pembangunan holistik adalah dituntut. Pendidikan perlu di terbalikkan. Pendidikan dahulu telah menetapkan penghujung jalannya. Anak-anak di tetapkan untuk menjadi jurutera atau doktor dari kecil. Pendidikan sepatutnya merungkai potensi anak-anak semaksima mungkin.

Pendidikan sewajarnya meraikan pilihan setiap individu anak-anak itu sendiri. Pendidikan masa hadapan harus meraikan potensi anak-anak yang tiada batasannya. Pendidikan yang mampu mencipta bidang baru, mencipta pekerjaan baru yang tidak terbatas samada dari bidang matematik, falsafah, geografi, sejarah, pelayaran, musik, syair, lukisan, atau apa-apa pun.

Ibnu Khaldun di dalam Muqadimah menjelaskan dengan terperinci bagaimana sistem pendidikan yang kukuh diperlukan untuk memastikan pemerkasaan sistem ekonomi yang seterusnya menjana kekuatan dan kedaulatan sesebuah negara. Adalah satu kegagalan apabila sistem pendidikan dilepaskan kepada institusi swasta.

Menurut Dato Dr Siddiq Fadzil, konteks pendidikan harus dilihat dari lensa tahririy-tanwiriy (pembebasan-pencerahan). Keberanian dituntut untuk membangunkan satu sistem pendidikan alternatif yang bersemangat memperkasa, membebas dan mencerahkan. Selama ini yang terhasil dari sistem pendidikan sekarang hanya melahirkan generasi yang lemah, meminta-minta, tidak mampu mencipta, dan tidak mandiri. Anak-anak diasuh menjadi generasi penakut, mementingkan diri sendiri, hipokrit dan berpandangan sempit. Ramai juga yang mengalami pemandulan daya kreatif, penumpulan sikap kritis dan tidak lagi memiliki idealisme. Malah ramai yang bangga menjadi budak suruhan sang penguasa. Inilah hasilnya dari satu sistem pendidikan yang gagal.

Jadi ke arah mana Malaysia?

Kaedah pemikiran yang kehadapan (forward thinking) dengan memikirkan implikasi sesuatu tindakan di dalam sesuatu situasi atau ‘Maalatul-Af’al’ menjadi asas kepada pendekatan ‘Fiqh Tawaqqu’ dalam penulisan Sheikh Abdullah Ben Bayyah yang bermata airkan perbahasan al-Imam al-Syatibi dalam kitab beliau yang popular, iaitu al-Muawafaqat.

Fiqh itu sains – sains mengenai sesuatu – dan tawaqqu itu bermaksud meramalkan sesuatu yang bakal berlaku berdasarkan samada bukti empirikal, anekdoktal, atau berdasarkan pengalaman.

Apakah tawaqqu’ kita? Apakah masa depan kita?

Jika tiada perubahan yang dilakukan – kita boleh bayangkan keputusan TIMSS, PISA yang akan terus merudum, kualiti mahasiswa yang terus merudum dan pembangunan ekonomi yang merudum yang hanya bersikap sweat shops tanpa inovasi dan kreativiti.

Makanya, kita wajar bersikap berani untuk melakukan perubahan drastik yang mengambil kira aspirasi semua lapisan masyarakat. Tidak cukup dengan melakukan blueprint bernilai RM20 bilion. Pengalaman kita cukup, kajian empirikal pendidikan dari seluruh dunia memadai untuk kita melaksanakan sampel kajian yang lengkap dan dengan niat jujur melaksanakan perubahan. Pengkaji-pengkaji pendidikan, nazir-nazir sekolah wajib turun ke padang untuk mendapatkan dapatan yang tepat dan melahirkan sistem pendidikan untuk masa hadapan.

Malik Bennabi telah memperjelaskan bahawa tidak ada salahnya pun untuk mengambil sistem dari negara luar tidak kira samada negara Islam ataupun tidak, yang pentingnya kita mengambil sistem terbaik dan mengadaptasikannya untuk memenuhi keperluan tempatan.

Teman-teman sekalian:

Perubahan itu mungkin – Jepun ketika melalui Meiji Restoration (1868) menghantar ribuan kakitangan kerajaan dan guru-guru ke Barat untuk mengkaji cara pemerintahan dan pendidikan selama bertahun-tahun.

Para pendidik dan pembuat polisi wajar mengubah fokus sistem sekolah. Sewajarnya untuk masa hadapan yang lebih baik kanak-kanak dibekalkan dengan alat untuk mereka berfikiran kritis dan mampu menjana sendiri kebolehan intelek. Kanak-kanak perlu digalakkan untuk meneroka dan mencari jawapan-jawapan mereka sendiri, berbanding disuapkan jawapan-jawapan oleh guru.

Pendidikan masa hadapan wajib bersifat menyeronokkan. Bayangkan sekolah yang menarik anak-anak. Anak-anak teruja, tidak mahu ponteng malah menangis jika tidak dapat hadir ke sekolah. Mereka ke sekolah untuk bertanya, belajar, dan mencabar semua ilmu pengetahuan.

Sejarah tamadun telah membuktikan bagaimana membaca memberi sumbangan yang kukuh dalam pembentukan tamadun manusia dan meningkatkan kualiti hidup manusia. Untuk masa hadapan, Malaysia wajib menuju ke arah pembentukan sebuah masyarakat berasaskan pengetahuan. Sebuah masyarakat yang di penuhi oleh para ilmuwan, cendekiawan dan rausyanfikir.

Pendidikan masa hadapan perlu menerap dan menggalakkan pemikiran kritis. Jika kita terus menyekat pemikiran, negara akan terus mundur.

Penutup

“Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.” (13:11). Surah Ar-Raad, Ayat 11

Bagi saya, pendidikan adalah penyelesaian bagi semua masalah dunia dan boleh merubah perjalanan dan nasib sesuatu negara. Zaman berzaman, generasi berganti generasi telah membuktikan bahawa pendidikan adalah agen perubahan yang paling berkesan.

Impian tidak akan dicapai dengan minda yang terhalang; yang terpasung. Impian tidak akan dapat direliasikan dengan hanya sekadar minda analitik untuk mengira dan menganalisis semua maklumat yang anda. Minda kita sering diisi dengan halangan-halangan semula jadi apabila kita ingin melakukan sesuatu yang baru. Minda kita harus diubah untuk mencapai masa depan yang lebih baik. Kita harus berani dan jujur untuk mencapai masa depan yang baik. Semuanya adalah mustahil. Apabila kita berjaya merubah suatu yang mustahil menjadi tidak mustahil, satu kesan domino akan berlaku di mana semua yang tidak mustahil sedikit demi sedikit akan diubah menjadi tidak mustahil.

Revolusi Meiji telah merubah rakyat Jepun daripada petani yang malas dan sambil lewa kepada sebuah negara ekonomi kedua terbesar dan maju dengan teknologi robotik mereka melalui pendidikan. Sejarah juga menyaksikan bagaimana orang arab Badwi yang dahulunya buta huruf menguasai dunia dengan pendidikan.

Sejarah juga memberi pengajaran kepada kekuasaan Mongol yang tidak mementingkan pendidikan ketika meluaskan empayar mereka sehinggakan mereka langsung tiada sumbangan yang boleh dibanggakan kepada dunia sehingga hari ini.

Tinggal kira-kira 6 tahun sebelum tahun 2020 menjelma. Apakah impian Malaysia untuk menjadi sebuah negara maju akan tercapai? Adakah kita sudah terlambat untuk mencapai wawasan yang dicanangkan selama ini? Bank of America Merril Lynch sudah pun meramalkan Malaysia menjadi sebuah negara yang muda dan miskin menjelang 2030. Apakah tindakan yang akan diambil untuk membetulkan serta menidakkan ramalan ini?

Pendidikan mampu merubah segalanya. Setiap polisi pendidikan yang dibentuk pasti akan membentuk generasi yang dilahirkan kemudiannya.

Demi Generasi masa hadapan,

Impian saya – pendidikan yang memberi peluang tanpa had kepada anak-anak
Impian saya – pendidikan yang memberikan anak-anak peluang untuk belajar apa-apa sahajapun – termasuk menguasai pelbagai bahasa – tidak terhenti pada Bahasa Malaysia dan Inggeris – dui bu dui?!
Impian saya – sekolah kerajaan yang jauh lebih baik dari sekolah swasta, sehingga sekolah swasta semuanya gulung tikar!
Impian saya – peluang pendidikan sama rata kepada semua tanpa mengira bangsa, agama, status pendapatan dan keupayaan fizikal dan mental. Kita begitu kaya; namun tidak mampu menyedia prasarana pendidikan buat anak-anak istimewa
Impian saya – mahasiswa-mahasiswa tidak di ikat seperti dalam Universiti oleh HEP tetapi menentukan hal ehwal mereka dengan sendiri
Impian saya – Malaysia melahirkan sesuatu yang inovatif – mengalahkan Samsung Korea ataupun Apple Amerika
Impian saya – Malaysia melahirkan penerima-penerima anugerah Nobel – melahirkan ribuan Ibnu Khaldun dan Albert Einstein
Impian saya – rakyat-rakyat negara lain berpusu-pusu datang ke Malaysia untuk menuntut di Universiti-Universiti Malaysia
Impian saya – Malaysia bakal menghantar angkasawan-angkawasan jauh ke angkasa; lebih dari sekadar “roti canai in space”
Impian saya – semangat kesukarelawanan tftn diserap dlm Pendidikan negara

Berikan anak-anak pilihan; hatta memakai baju sendiri tidak beruniform ke sekolah.
Berikan diri kita ilmu; supaya 732 bilion yang dihadiahkan Petronas membuahkan hasil insan berilmu dan berbakat, bukan sekadar bangunan pencakar langit yang tingginya di persada dunia hanya sementara!
Berikan kepercayaan berteraskan disiplin bahawa dasar terpilih harus didokong 30 tahun dari hari ini untuk memperlihat hasil tuaian tuannya.

Akhir kata; lakarlah dan cintai masa depan kita. Kalau berbekal iltizam serta azam maka TFTN mampu mengumpul seribu minda hari ini;
Maka gerakkan minda dan keringat kita buat anak-anak mendepani cabaran tandus ilmu, tandus jiwa, dan defisit fiskal!

Terima kasih semuanya!

Wassalam.