Skip to main content
Lembah PantaiPress ReleaseStatements

Kenyataan Media – Loji Rawatan Kumbahan Lembah Pantai

By 24 May, 2011February 5th, 2021No Comments
LOJI RAWATAN KUMBAHAN PANTAI 2: PANTAI 2 SEWAGE TREATMENT PLANT: TRANSPARENCY AT STAKE

Saya mewakili penduduk Lembah Pantai dan Kuala Lumpur secara umumnya, mengalu-alukan usaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air untuk menaiktaraf Loji Rawatan Kumbahan Pantai 2 bagi mengurangkan bau dan bahaya loji tersebut kepada orang ramai.

Saya difahamkan Kementerian di peringkat akhir penganugerahan kerja-kerja penaiktarafan tersebut kepada kontraktor. Saya mengalu-alukan usaha mengubah loji rawatan kumbahan berdasarkan teknologi kolam terbuka kepada loji berjentera sesuai dengan pawai keselamatan terkini. Pun begitu saya juga menyeru agar wang rakyat yang besar yang dibelanjakan untuk projek ini diuruskan dengan telus.

Penaiktarafan Loji Rawatan Kumbahan Pantai 2 tidak terkecuali. Sebelum ini anggaran bebas meletakkan kerja-kerja penaiktarafan pada harga kira-kira RM500 juta.

Justeru, saya teramatlah prihatin memandangkan dalam pengetahuan saya, tiada usaha tender terbuka dibuat bagi kerja penaiktarafan Loji Rawatan Kumbahan Pantai 2. Jika Kementerian sudahpun berada di peringkat akhir menganugerahkan kerja-kerja tersebut, ini bermakna projek tersebut dibuat secara rundingan terus dengan kontraktor. Apa yang membimbangkan saya ialah projek tersebut akan dianugerahkan pada nilai kontrak RM1 bilion, iaitu 100 peratus lebih mahal daripada anggaran pasaran.

Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Razak telah pun mengumumkan kepada rakyat bahawa amalan rundingan terus akan ditamatkan. Maklumat ini membuktikan program-program transformasi yang dijaja oleh Barisan Nasional tidak mempunyai sebarang makna. Apabila kita mengambilkira jumlah hutang kerajaan yang akan diwarisi oleh generasi mud anegara kita, dakwaan peningkatan kos 100 peratus ini teramatlah mendukacitakan.

Dengan ini saya menyeru Menteri yang bertanggungjawab untuk menjelaskan sama ada usaha tender telah pun dibuat untuk mendapat harga terbaik untuk projek ini. Saya juga berharap mereka yang mempunyai maklumat mengenai projek ini untuk tampil ke hadapan dan memberikan lebih maklumat agar kita dapat menghentikan sebarang penyalahgunaan wang rakyat.

Saya akan memantau secara dekat pelaksanaan projek ini untuk memastikan rakyat di Lembah Pantai dan Malaysia amnya mendapat nilai terbaik untuk wang mereka.

NURUL IZZAH ANWAR
AHLI PARLIMEN LEMBAH PANTAI
24 MEI 2011