Skip to main content

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahilhamd.

6 Julai 2016 Perutusan DSAI & DSWA

Marilah sama-sama kita panjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT di atas kesempatan yang diberikan kepada kita untuk merayakan Aidilfitri bagi tahun 1437 Hijrah.

Menjelangnya Syawal yang dirai sebagai bulan kemenangan, dilapisi dengan lafaz takbir & tahmid mesti terus dikekalkan beristiqamah agar segala bentuk kebaikan & kebajikan seperti ibadah solat, bertasbih & bersedekah sepanjang madrasah Ramadan ini terus memberikan kesan yang baik pada diri, keluarga, masyarakat & negara dengan diberkati Allah SWT.

KEADILAN terus komited ke arah memupuk muafakat berteras semangat Malaysia yang sebenar: bersendikan prinsip adil, demokratik & toleran. Di sinilah hadirnya keperluan untuk kita kembali memaknai prinsip Hablumninallah & Habluminannas, dengan kembali kepada fitrah insani di sebalik kegembiraan perayaan.

KEADILAN terus memberi perhatian kepada penderitaan umat Islam & manusia seluruh dunia yang berhadapan dengan penindasan & ketidakadilan yang kita insafi bersama-sama, di saat kita mampu mengukir senyum & bersilaturrahim di hari lebaran ini.

KEADILAN juga sedari tiada ada erti amalan Ramadan kareem & kesyukuran Syawal mubarak jika kita tidak insafi bahawa usaha kita sebagai khalifah Allah mesti digandakan memandangkan Malaysia berhadapan dengan krisis kepimpinan yang kritikal mutakhir ini.

KEADILAN mengajak ilmuan Islam supaya berdakwah dengan hikmah wal mau’izatil hasanah & berusaha mendekati masyarakat bukan Islam dengan menonjolkan keadilan Islam.

Firman Allah:

Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik  bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.”

(Surah An-Nahl : 125)

Kita juga kesal dan bimbang dengan tindakan pendakwaan secara berpilih terhadap pemimpin yang tidak sealiran dengan kerajaan. Ianya merupakan suatu kezaliman & penindasan yang berterusan sejak pelbagai fitnah terancang dilemparkan terhadap Ketua Umum KEADILAN.

KEADILAN juga bimbang dengan perkembangan mutakhir yang membabitkan serangan militan di ibu negara dan menggesa pihak kerajaan mempertingkatkan langkah-langkah keselamatan untuk melindungi rakyat.

KEADILAN turut bersama rakyat membulatkan tekad dan iltizam untuk memperkemaskan usaha memerangi rasuah, penyalahgunaan kuasa, ketidakadilan & tatakelola bermasalah yang semakin membarah & keterlaluan semata-mata untuk kepentingan mereka yang sepatutnya memimpin dengan penuh amanah.

Justeru, sempena Aidilfitri ini, marilah kita menjiwai makna Islam yang hanif, dengan menyantuni kebenaran, keadilan & kedamaian di kalangan sesama ummah. Praktikkan amalan bersedekah, kerana ianya bukan hanya baik untuk kita, malah membantu meringankan beban mereka yang memerlukan.

Perutusan DSAI & DSWA

Salam Aidilfitri buat seluruh umat Islam Malaysia daripada kepimpinan & akar umbi KEADILAN dengan ucapan maaf dzahir dan batin.
Allahuakbar. Allahuakbar. Allahuakbar. Walillahilhamd.
DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM DATUK SERI
DR. WAN AZIZAH WAN ISMAIL
1 Syawal 1437H