Skip to main content
Jawapan Parlimen

6 Nov 2013: Jawapan Bertulis Soalan Parlimen [MENTERI PENDIDIKAN]

By 7 November, 2013February 18th, 2020No Comments

PEMBERITAHUAN PERTANYAAN DEWAN RAKYAT
PERTANYAAN : BAGI JAWAB LISAN
DARIPADA : Puan Nurul Izzah binti Anwar

[ Lembah Pantai ]

TARIKH : 6 NOV 2013 (Rabu)
SOALAN : No. 52

Puan Nurul Izzah binti Anwar [ Lembah Pantai ] minta MENTERI PENDIDIKAN menyatakan :-

(a) senarai nama-nama yang telah disenarai pendek bagi tujuan pemilihan naib-naib canselor universiti-universiti awam sejak 2000; dan

(b) kriteria pemilihan yang melayakkan lantikan ke jawatan tersebut serta rasional pemilihan naib-naib canselor memandangkan kejatuhan pencapaian universiti-universiti awam Malaysia.

JAWAPAN

Tuan Yang di-Pertua,

(a) & (b)

Pemilihan Naib Canselor adalah berdasarkan rekod kejayaan cemerlang, telah memberi sumbangan yang besar kepada bidang pengajian tinggi dan masyarakat, personaliti unggul dan dapat menghayati aspirasi pembangunan pengajian tinggi negara. Oleh itu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah menginstitusikan proses kepimpinan universiti terutama dalam aspek pemilihan, pembangunan, penilaian dan pembaharuan.

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, proses pemilihan dan pelantikan pengurusan tertinggi universiti khususnya Naib Canselor akan dilaksanakan oleh Jawatankuasa Tetap Carian Naib Canselor. Ahli Jawatankuasa adalah terdiri dari tokoh-tokoh terkenal dalam pelbagai bidang profesional dan akademik yang memahami keperluan universiti dari sudut kepimpinan warga kampus secara keseluruhan. Jawatankuasa juga merangkumi Pengerusi atau wakil dari Lembaga Pengarah Universiti dan wakil Senat yang akan memberikan pandangan dari sudut pentadbiran dan akademik.

Asas pemilihan adalah berdasarkan kepada kriteria-kriteria yang ditetapkan oleh KPM seperti berikut:

(i) Isi dan misi;
(ii) kepimpinan dan pengurusan, pencapaian akademik, pengiktirafan, keperibadian unggul;
(iii) fasih berkomunikasi dalam bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris; dan
(iv) lain-lain laporan (seperti laporan penilaian daripada mantan Naib Canselor) jika diperlukan.

Calon-calon tersebut akan ditemu duga dan dinilai berdasarkan sumbangan calon, prestasi semasa temu duga dan faktor-faktor lain seperti akauntibiliti dan integriti. Calon-calon yang berjaya akan disyorkan kepada YB Menteri untuk pertimbangan dan persetujuan. Di samping itu, setiap calon Naib Canselor perlu melalui tapisan keselamatan oleh Pengarah Pejabat Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri bagi memastikan beliau adalah individu yang berintegriti dan berwibawa.