Skip to main content
KENYATAAN MEDIA

HARI TERBUKA PERMATANG PAUH

ANJURAN PUSAT KHIDMAT RAKYAT PERMATANG PAUH DENGAN KERJASAMA ‘THINKCITY’

Bukit Mertajam, 10 Februari 2019 – Ahli Parlimen Permatang Pauh, YB Nurul Izzah Anwar dengan kerjasama Thinkcity menganjurkan ‘Hari Terbuka Permatang Pauh’ di SK Permatang To’ Kandu yang berlangsung dari jam 8 pagi hingga 6 petang. Berkonsepkan Pasar Percuma (‘free market’) dan ‘one-stop centre’, program ini telah diadakan bermatlamat untuk memastikan perkembangan dan pelestarian pembangunan di Permatang Pauh selari dengan kehendak dan keperluan penduduk tempatan.

Sepanjang program berlangsung, pengunjung diberi peluang untuk mendapatkan maklumat terkini tentang inisiatif dan rancangan terbaru yang dilancarkan oleh Ahli Parlimen Permatang Pauh. Agensi kerajaan seperti Pejabat Zakat Pulau Pinang, Klinik Kesihatan Seberang Perai, Giat Mara, Pos Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat Seberang Perai, Perbadanan Perpusatakaan Awam Pulau Pinang, Jabatan Pengangkutan Jalan, FAMA, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang, dan pelbagai agensi lain turut mengambil bahagian dalam acara Hari Terbuka Permatang Pauh ini.

Dengan penglibatan pelbagai agensi, ini membolehkan pengunjung berhubung secara langsung dengan pihak berkuasa tempatan yang berkaitan mengenai isu-isu setempat seperti, isu pembakaran terbuka, banjir, menangani ketagihan dadah, dan pelbagai isu lain. Soal selidik turut diedarkan kepada para pengunjung untuk mendapatkan gambaran mengenai isu-isu yang perlu diberi perhatian bagi penduduk Permatang Pauh. Beraneka aktiviti dan pertandingan diadakan secara interaktif sepanjang hari termasuk pertandingan memasak, pertandingan mewarna untuk kanak-kanak, pertandingan mencanting batik dan juga pertandingan e- sport (Mobile Legends).

Di samping itu, pengunjung juga dapat menikmati persembahan dari kumpulan silat tempatan dan kumpulan nasyid. Antara tarikan utama pada hari itu adalah pameran robotik oleh Penang Science Cluster dan jualan kraftangan Batik Malaysia yang dibuat oleh peserta Projek Wanita Permatang Pauh (PPWP). Hari Terbuka Permatang Pauh yang turut dihadiri ADUN Penanti, YB. Dr. Norlela Ariffin dan ADUN Seberang Jaya, YB. Dr. Afif Bahardin, juga memberi peluang kepada rakyat Permatang Pauh untuk mendaftar program rakyat seperti kelas tuisyen percuma untuk pelajar UPSR, PT3 dan SPM, dan mendapatkan pemeriksaan kesihatan percuma oleh pakar-pakar perubatan dari Klinik Kesihatan yang hadir pada hari itu.

Nurul Izzah Anwar,

Ahli Parlimen Permatang Pauh

12 Februari 2019