Kenyataan akhbar
Untuk edaran segera
Dari En. Amin Mian, Naib Ketua PKR Lembah Pantai
Usul: Kebakaran di Kg. Kerinchi disengajakan
Laporan bernama menyatakan bahawa kebakaran di Bukit B, Kg. Kerinchi pada 30 Jun 2009 bermula dengan sebatang puntung rokok yang dibiarkan. Laporan tersebut tidak menyatakan bahawa kebakaran ini disengajakan oleh sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab.
Isu pemindahan Bkt B Kg Kerinchi adalah isu yang lama. Mereka diarahkan untuk dipindah tanpa persetujuan mereka. Mereka dipindahkan ke kawasan yang teruk. Selain ianya berdekatan dengan loji najis, sekolah-sekolah terletak berjauhan dan bas-bas sekolah tidak melalui kawasan ini. Lif sering rosak dan kadar pembaikkan adalah sangat lama. Bagaimana mereka hendak meneruskan kehidupan mereka secara normal sedangkan mereka ini diberikan kemudahan yang teruk?
Oleh itu, Menteri Wilayah Persekutuan telah berjanji, untuk menempatkan mereka ke kawasan yang lebih baik. Tetapi bagaimana ini boleh berlaku sedangkan tiada rundingan dibuat oleh penduduk setempat. Bagaimana YB Menteri menyatakan mereka hendak pindah tanpa bertanyakan mereka soalan ini dahulu?
Oleh itu, saya serta teman-teman lain di PKR yakin kebakaran ini disengajakan oleh sesetengah pihak yang hendak memaksa penduduk yang enggan berpindah untuk berbuat demikian. Agak pelik dan janggal apabila rumah-rumah yang musnah dijilat api ini dimiliki oleh penduduk yang telah bersetuju untuk tidak berpindahkan sedangkan rumah-rumah lain selamat.
Isunya mudah: Menteri WP telah berjanji untuk berikan perumahan yang elok kepada setinggan. Silalah tunai janji ini. Hentikanlah membuat rumusan tentang apa mereka hendak, sebaliknya bertanyakanlah apa kehendak mereka dan bagaimana tindakan yang akan diambil dapat menyenangkan semua pihak.
Allah telah menyatakan bahawa sekiranya kita berbuat baik, maka kita dibalas baik. Jika kita membuat jahat, maka balasannya juga tetap sama. Wallahu’alam…