Skip to main content
Issues Affecting the Rakyat

Bagaimana Pelan Deraf Kuala Lumpur 2020 dan Kesannya Kepada Penduduk Kuala Lumpur

By 25 June, 2008February 18th, 2020No Comments

Pelan Deraf Kuala Lumpur 2020 yang diiklankan oleh DBKL di merata tempat telah menimbulkan kontroversi dengan ramai penduduk di Kuala Lumpur.

Antara isu-isu yang dibangkitkan oleh penduduk adalah:-
·    Isu pembangunan pesat yang tidak terkawal
·    Kehilangan kawasan-kawasan hijau di Kuala Lumpur
·    Penukaran kegunaan tanah Persekutuan kepada Komersil
·    Ketidaktelusan cara pelan telah dibuat
·    Pelan ini tidak membincangkan cara mengatasi masalah kesesakan dan pengangkutan awam dengan mendalam
·    Pelan terlalu susah difahami penduduk biasa mahupun para profesional
·    Kehilangan warisan Kuala Lumpur seperti Kampung Baru
·    Kurangnya perancangan untuk Kawasan-kawasan lapang, taman-taman permainan
·    DBKL mengambil keputusan-keputusan dalam pelan ‘ala’ diktator tanpa mengambil kira isu-isu yang telah dibangkitkan oleh penduduk
·    Pembangunan dalam pelan sudahpun bermula – ini bermakna pelan ini berfungsi hanya untuk mengesahkan keputusan-keputusan DBKL terdahulu yang dibantah para penduduk – bagaimanakah ia boleh dipanggil pelan DERAF jika bangunan-bangunannya sudah dibina?

Tahukah anda bahawa:-
·    Pelan Deraf ini hanyalah boleh dibaca jika dibeli daripada DBKL pada harga RM150. Ia tidak boleh didapati di mana-mana tempat lain seperti internet. – Ini akan menyebabkan kesukaran untuk ramai penduduk daripada mengetahui isi kandungan pelan tersebut.
·    Pelan Deraf Kuala Lumpur ini direka untuk menambah 600,000 lagi penduduk ke dalam Kuala Lumpur. DBKL berancang untuk membuat demikian dengan menambahkan densiti penduduk di kawasan-kawasan yang sudahpun sesak dan mampat
·    Kawasan-kawasan lapang dan Hijau akan berkurangan lagi mengikut Pelan.
·    Dasar Pembangunan Negara yang dikeluarkan Kerajaan Persekutuan menyatakan bahawa 2 hektar kawasan lapang/hijau perlulah ada untuk setiap 1000 penduduk. Tahap pada masa sekarang di Kuala Lumpur adalah hanya 0.38 hektar. Jumlah ini akan menjadi sekitar 0.20 hektar dengan Pelan ini.
·    Sistem Pengangkutan Awam di Kuala Lumpur masih tidak boleh menampung jumlah pengguna yang masih ada ataupun tidak cukup baik. Janganlah difikirkan tambah dahulu penduduk baru sahaja bina infrastruktur.
·    Datuk Bandar dan Menteri Wilayah Persekutuan yang TIDAK diundi masuk sebagai pemimpin Kuala Lumpur mempunyai kuasa mutlak keatas apa-apa keputusan di hal pentabiran Kuala Lumpur dan cara wang bajet DBKL digunakan
·    Anda sebagai pembayar cukai kepada DBKL mempunyai hak-hak untuk mempengaruhi cara Bandar Kuala Lumpur membangun
·    Sebelum Pelan ini dibentangkan kepada orang ramai, DBKL mendakwa mereka sudahpun mengambil cadangan-cadangan orang ramai mengenai penukaran-penukaran tetapi sehingga kini, masih begitu ramai pihak yang mengadu dan menafikan apa-apa kebimbangan ataupun cadangan yang diberikan kepada DBKL telah dipertimbangkan ataupun telah di masukkan ke dalam Pelan Deraf yang sedia ada

– Kelab Golf persendirian dan tempat letak kereta awam/persendirian di anggap sebagai tempat lapang hijau untuk orang ramai! Ini adalah penipuan besar apabila DBKL menggunakan data ini untuk berkata Kuala Lumpur masih cukup kawasan hijau!

Persoalan yang timbul

Bagaimana DBKL boleh mengeluarkan sebuah pelan deraf yang melanggar begitu banyak undang-undang dan peraturan seperti:-

– Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 – Apa-apa Pelan Deraf Tempatan mestilah di buat mengikut Dasar Pembangunan Negara dan juga Pelan Struktur Kuala Lumpur

– Polisi CF3 dalam Pelan Struktur Kuala Lumpur melarang sebarang penggunaan tanah persekutuan untuk kegunaan komersil. Ia mestilah untuk kegunaan orang ramai. Dalam Pelan Deraf, tanah persekutuan di tukar menjadi komersil

–  Sec 12 (a) Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 juga menyebut tentang keperluan untuk pre-consultation yang bermakna bersama penduduk-penduduk yang akan merasa kesan langsung apa-apa penukaran. Ini jelas tidak dilakukan

– Dasar Pembangunan Negara menyatakan tanah lapang hijau diperlukan untuk setiap 1000 penduduk patutlah 2 hektar. Tahap pada masa ini di Kuala Lumpur adalah sebanyak 0.38 hektar setiap 1000 penduduk. Ini akan menurun lagi kepada 0.20 hektar dan ini termasuk kelab-kelab golf, tanah terbiar, tempat letak kereta dan apa-apa tanah terbiar.

–  Pelan Struktur yang dikeluarkan DBKL sendiri mengatakan tidak boleh dijalankan apa-apa pembangunan di kawasan bukit yang kecerunannya lebih 35%. (4.7.3)  Ini juga dinyatakan dalam Dasar Pembangunan Negara. Ini jelas telah diabaikan dalam Pelan Deraf Kuala Lumpur. Kerajaan Selangor sudahpun melarang sebarang pembangunan di kawasan sebegini.

–  DBKL semasa meluluskan Development Order bagi pembangunan yang ada di dalam Pelan Deraf, telah dibuktikan tidak mengikut peraturan-peraturan yang sepatutnya. DBKL sendiri mengabaikan peraturan-peraturan yang khusus untuk keselamatan bangunan-bangunan yang dibina.

http://thestar.com.my/metro/story.asp?file=/2008/6/24/central/21631427&sec=central

– Isu kepadatan penduduk di Kuala Lumpur – Dasar Pembangunan Negara menyatakan kepadatan penduduk / population density mestilah 25 orang pph. Pelan Deraf Kuala Lumpur akan meningkatkan lagi kepadatan penduduk. KL sudah pun sering sesak. Ini akan menyebabkan isu – overcrowding!

– Tanah-tanah yang sepatutnya dialokasi untuk sekolah, tempat beribadat, taman permainan telahpun hilang/ditukarkan menjadi tanah komersil atau perumahan

Bacalah sendiri keratan-keratan akhbar mengenai Pelan Deraf KL dan fahami isu-isu yang ada. DBKL adalah badan yang tidak dilantik oleh rakyat tetapi berkuasa untuk memutuskan kualiti kehidupan anda di Kuala Lumpur.

Walaupun sekarang adalah masa untuk penduduk ‘mengemukakan’ cadangan dan bantahan terhadap Pelan Deraf, Datuk Bandar sendiri sudah menyatakan cadangan tersebut langsung tidak perlu diambil kira dan Datuk Bandar mempunyai kuasa mutlak.