Teman-teman seperjuangan sekalian,
Tanggal 27 Mei 2010 sekali lagi menyaksikan sambutan Hari Wesak, yang juga dikenali dengan nama lain seperti Buddha Punima, Hanamatsuri, Fodan mahupun Visakah Bucha bagi komuniti pelbagai kaum dan kebudayaan di seluruh dunia. Sambutan hari Wesak signifikan bagi memperingati tiga peringkat penting dalam kehidupan Gautama Buddha iaitu kelahiran, pencerahan serta kematian beliau.
Mengikut kepercayaan Buddha, Gautama Buddha tidak menggalakkan pengikutnya memperingati sambutan ini dengan cara meratapi atau mendewa-dewakan kelahiran, pencerahan serta kematiannya. Dia menggalakkan pengikutnya untuk menggunakan kesempatan yang dimiliki dengan mengukuhkan iltizam dan semangat untuk menjalani kehidupan yang mulia, membangunkan pemikiran, mengamalkan kebaikan dan berusaha untuk membawa keamanan kepada umat manusia.
Oleh itu, kita semua, tidak kiralah penganut agama Buddha, Islam, Kristian mahupun Hindu, haruslah saling berusaha untuk memperbaiki kehidupan dan menyumbang tenaga serta idea kepada usaha-usaha yang menjamin kesejahteraan dan keamanan sejagat. Mari kita gunakan peluang yang ada pada waktu cuti yang agak panjang ini untuk membantu ahli keluarga, teman, jiran mahupun golongan yang berada dalam kesusahan. Semangat sebeginilah yang diharap membantu kita menempuh kehidupan seharian yang penuh dengan pancaroba ekonomi yang mencabar!
Selamat Menyambut Hari Wesak!