Skip to main content
Education

Srikandi dan Sayap-Sayap Putih

By 16 September, 2010February 5th, 2021No Comments
OLEH AINIS AZREEN

13 September, 2010, 11:31 am

Nurul Izzah ketika berucap di atas pentas kempen © Damak/Photomalaysia

MENYAKSIKAN paras nan lembut itu bergulat dalam sebuah pengadilan politik yang entah bila akan berakhir, menjadikan kaca mata awam seperti saya tidak sanggup mencerna deras dan pekatnya arus kezaliman yang sedang bergolak di negara ini. Ada raut-raut wajah yang haus publisiti, terus mencemuh dan menggugat kebenaran yang cuba disampaikan oleh wanita ini pada warga nusa. Begitu; paras ini didaulat sebagai pendurhaka!

Masih terlalu awal untuk saya berbicara mengenai sosok wanita ini. Saya tidak berhak untuk menulis tinta-tinta perumpamaan tentang dirinya untuk disampaikan pada dunia, walaupun pada hakikatnya saya ingin sekali berbicara mengenai dirinya. Ingin sekali.


Dia sudah menjadi seorang srikandi semasih gadis. Di pundaknya kala itu sudah terpikul perhitungan Tuhan buat dirinya. Beban yang belum tentu mampu untuk dipikul oleh gadis di usianya. Pendampingnya, pemimpinnya yang juga Bapanya difitnah dan dijatuhkan dari landasan pimpinan kerajaan, memaksa dirinya menggalas tanggungjawab yang bukan ringan.

Di lorong-lorong, di jalan-jalan, di mana-mana yang mampu dilaluinya, di dadanya tetap dengan satu kalimat – Reformasi! Tidak ada malu yang mendatangi dirinya saat itu, dia hanya mahu mengembalikan keadilan buat Bapanya; suami buat Bondanya; dan Bapa kepada lima adiknya.

Kerana keharuman pribadinya, telah menjadikannya sebagai vote getter (pengumpul suara rakyat) di kawasan Lembah Pantai dalam pilihanraya umum lalu. Kerana hubungan dialogis dengan rakyat kebanyakan, dia bisa mencuri perhatian mereka yang dahagakan perubahan. Keakraban dengan atmosfera politik semenjak kecil ternyata banyak membantunya menjadi dekat dengan warganya.

Nyata, dua tahun menjadi pemimpin membuktikan dia adalah pemimpin wanita yang memiliki potensi luar biasa. Darah politik yang mengalir dari Bapanya, disempurnakan dengan harapan melaksanakan yang terbaik buat rakyatnya, ke gerbang kesejahteraan yang lebih tinggi. Dialah Nurul ‘Izzah; Puteri Reformasi.

Sebagai puteri kepada kepala oposisi (Anwar Ibrahim), kepimpinannya seringkali teruji dan kemampuannya acapkali diukur. Pertempuran di gelanggang politik yang terpaksa dihadapi tidak kurang panasnya. Bukan sedikit rencana perubahannya yang disekat. Bukan sedikit kadang-kadang aktivitinya yang terkait birokrasi. Benar, itu lumrah.

Namun apabila pengabdiannya pada dasar keadilan dan kebenaran yang cuba dihidupi dipijak, sudah cukup untuk memaksa saya menoktahkan evaluasi terhadap kerajaan. Tidak perlu lagi bukti bahawa negara ini ditadbir oleh golongan yang kosong nurani. Ya, memang mereka tidak berhati. Mata mereka terbuka, namun hakikatnya mereka buta.

Bukan calang-calang pemimpin negara yang mencanang Nurul ‘Izzah warga durhaka. Wanita ini berdosa buruk pada negara kerana merendahkan keupayaan sebuah kapal selam. Hanya kerana mendedahkannya semasa sesi wawancara di luar negara, dia dianggap mencalarkan maruah negara. Belum reda mereka menuduh Bapanya pengkhianat negara, kini puterinya pula menerima status pendurhaka!

Aneh, cukup aneh. Dalam berbagai-bagai realitas sosial dan permasalahan negara, bonda kepada sepasang anak kecil ini yang menjadi mangsa. Pada saat seisi dunia sedang bergulat dengan krisis kesenjaan ekonomi, ada pihak yang menyeleweng janji dan menghalalkan korupsi. Pada saat kemiskinan dan pengangguran kian beranjak dewasa, kerajaan masih belum boleh bertindak nyata bagi meringankan beban.

Paling sedih, pada saat golongan belia dan remaja kita sedang nazak dengan krisis identiti, pemimpin-pemimpin tinggi kerajaan ini memilih untuk menjatuhkan hukum “durhaka” kepada Nurul ‘Izzah, yang selama saya mengenalinya dia merupakan wanita yang dipercaya kerana kejujuran dan keikhlasannya berjuang menentang kezaliman para pemerintah. Durhaka kepada negara – itulah harga sebuah kebenaran di nusa Malaysia.

Sebetulnya, bukan kapal selam yang menjadi asas pertimbangan pihak-pihak tersebut dalam menjatuhkan hukum “durhaka” kepada wanita ini. Di mata mereka, dosa Nurul ‘Izzah bukan kerana merendahkan keupayaan kapal selam milik negara, tetapi dosanya kepada mereka hanya satu – dia puteri Anwar Ibrahim; langsung membuktikan kesempitan minda berpolitik para pemimpin kerajaan. Asyik sekali mereka menuduh pihak oposisi sebagai pendurhaka, tanpa disedari kedurhakaan mereka sendiri kepada negara melampaui apa yang mampu mereka fikirkan.

Begitulah ceritera politik Malaysia yang mampu dikisahkan oleh para pemimpinnya. Rencana mereka jauh berganda menjauhi orbit awlawiyat (keutamaan). Kes-kes korupsi yang membarah seolah-olah tidak membawa apa-apa makna buat mereka. Begitu juga dengan kegiatan-kegiatan salah laku moral di kalangan anak muda, langsung dipandang sebelah mata. Paling tidak, hanya mampu mengusulkan cadangan yang belum dikupas sempurna inti baik buruk pelaksanaannya. Membiarkan ibu bapa, guru dan para ulama’ mencari solusi buat merawat golongan muda yang semakin caca merba.

* * *

Biar didaulat sebagai pendurhaka nusa, wanita ini begitu tenang menjawab setiap tanya; tanpa ragu dan gugup. Tanpa ekspresi khuatir jika jawatannya sampai terlepas. Tentu; kerana dia tidak termasuk dalam barisan yang berlumba mengejar mahkota dunia itu. Dan wanita ini tidak bersembunyi di balik dunianya. Dia hadapi segala tuduhan dan cemuhan itu dengan jiwa besarnya.

Kerana hidup harus memilih, maka dia telah memilih. Dia memilih untuk menyampaikan kebenaran. Memilih untuk menyelamatkan yang lebih besar dari kerajaan, iaitu rakyat kebanyakan.

Jiwa besar dan keberaniannya mempertahankan kebenaran terpancar jelas di dalam bait-bait ucapannya. Tasbih kejujuran terus erat dalam genggamannya. Arah jalannya cuma satu; melawan ketidakadilan dan kebobrokan pemerintah yang zalim. Ketika hukum tidak lagi sanggup bersuara dan nilai-nilai kebenaran menjadi musuh, maka katakan apa lagi yang masih tersisa untuk dirinya?

Jangan tanyakan nilai setitik kebenaran itu pada mereka yang telah – dan sedang mengenggam dunia. Mereka yang telah berhasil menimbun pasir, akan merasa kebenaran itu laksana ombak yang justru itu bisa meruntuhkan istana mereka. Namun bagi mereka yang berjuang demi meletakkan keadilan kembali di tempatnya, keberanian menyampaikan kebenaran adalah angin sorga.

Betapa ironis wanita ini dikecam hanya kerana hegemoni sebuah kepentingan. Hanya kerana ego pribadi oleh golongan yang merasa terancam kekuasaannya. Agar kuku-kuku kekuasaan itu kejap terpacak, mereka sanggup melakukan segala-galanya.

* * *

Nurul ‘Izzah, srikandi yang luhur budi dan pekerti, dilihat cukup tabah dalam persada politik negara biarpun terhujat dengan bermacam-macam halangan. Dilengkapi dengan naluri kewanitaannya yang halus, di samping teguh berpegang pada prinsip menentang kezaliman, dia mampu dinobat sebagai salah seorang ikon wanita dan generasi muda yang berpotensi menjadi pemimpin peringkat nasional.

Biarpun tertampar pedih dengan kemelut situasi yang tercetus, tetap saja dia menerus kesinambungan legasi kepimpinan waja Bapanya. Benarlah, biar kebenaran itu cuba disembunyikan, namun gemerincingnya tetap hadir menggegarkan.

Ainis Azreen, gadis yang optimis terhadap perubahan. Gemar menyusun peristiwa-peristiwa dari hakikat pengalaman.