Skip to main content
ParliamentSoalan Parlimen

Soalan & Jawapan YB Nurul Izzah-MP Lembah Pantai

By 22 June, 2011February 18th, 2020No Comments

MESYUARAT KEDUA, PENGGAL KEEMPAT PARLIMEN KEDUA BELAS (2011)


TARIKH                     :           13 JUN 2011

SOALAN :

Puan Nurul Izzah Binti Anwar [ Lembah Pantai-PKR ] Minta MENTERI DALAM NEGERI menyatakan bilakah pihak Kementerian akan memansuhkan Ordinan Darurat yang masih berkuatkuasa memandangkan jawapan Menteri bersetuju dengan pemansuhan ini.

JAWAPAN :

Tuan Yang Dipertua,

Saya mengucapkan terima kasih kepada ahli Yang Berhormat Lembah Pantai yang mengemukakan pertanyaan.

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat dan Dewan yang mulia ini, Kementerian Dalam Negeri tidak pernah bersetuju dengan pemansuhan Ordinan Darurat (Kenteraman Awam dan Mencegah Jenayah) 1969 dan tiada pengumuman ataupun kenyataan pernah dibuat oleh Kementerian berkenaan pemansuhan Ordinan tersebut.

Tuan Yang Dipertua,

Kerajaan tidak berhasrat untuk memansuhkan Ordinan tersebut memandangkan ianya masih berkesan dalam menangani ancaman terhadap ketenteraman awam dan menghapuskan jenayah yang berunsur kekerasan. Namun demikian, Kerajaan dalam usaha untuk melakukan penambahbaikan terhadap Ordinan tersebut melalui pindaan undang-undang pencegahan yang akan dibentangkan di Parlimen sedikit masa lagi.

——————————————————————————————

TARIKH                     :           15 JUN 2011 (RABU)

SOALAN                    :           NO. 18

Puan Nurul Izzah Binti Anwar [ Lembah Pantai-PKR ] Minta MENTERI PENGAJIAN TINGGI menyatakan langkah-langkah memperbaiki rangkaian maklumat kutipan pinjaman yang berkualiti rendah menyebabkan hanya RM600 juta Berjaya dikutip daripada peminjam-peminjam setakat ini.

JAWAPAN

Tuan Yang di-Pertua,

Sehingga 30 April 2011, jumlah pembiayaan pendidikan PTPTN yang sepatutnya dibayar balik oleh 969,506 peminjam adalah sebanyak RM5.53 bilion. Daripada jumlah tersebut, seramai 693,155 peminjam telah mula membayar balik dengan amaun kutipan sebanyak RM2.45 bilion dan komitmen keseluruhan yang perlu dibayar sebanyak RM3.81 bilion.

Sementara itu, seramai 51,021 peminjam telah diluluskan penangguhan bayaran balik yang melibatkan amaun sebanyak RM0.48 bilion. Manakala, bilangan peminjam yang masih gagal membuat bayaran balik ialah seramai 225,330 peminjam yang melibatkan amaun tunggakan sebanyak RM1.24 bilion.

Tuan Yang Di Pertua,

PTPTN dalam proses menambahbaik sistem bayaran balik pinjaman yang mempunyai kesemua fungsi pengurusan bayaran balik pinjaman termasuk penguatkuasaan, pemantauan dan amaran awal.

Pada masa ini, pelbagai kaedah dan usaha telah dilakukan untuk memudahkan peminjam membuat bayaran balik serta meningkatkan prestasi bayaran balik pinjaman antaranya:

i.          memperbanyakkan dan mempelbagaikan saluran bayaran balik seperti mewujudkan kaedah bayaran balik melalui potongan gaji secara tetap melalui Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDNM) dan kemudahan pembayaran melalui kaunter atau secara atas talian (online) oleh PTPTN dan ejen-ejen yang dilantik seperti Pos Malaysia dan bank (Maybank, Bank Islam, CIMB Bank, RHB Bank, Public Bank dan Bank Simpanan Nasional);

ii.      menjalin kerjasama dengan IPT untuk mengadakan taklimat kepada pelajar tahun akhir/ bakal graduan tentang kemudahan dan kepentingan membuat bayaran balik pinjaman;

iii.        mengeluarkan surat arahan bayaran balik (bagi peminjam yang telah tamat tempoh pengeluaran dan patut mula membuat bayaran balik) dan surat-surat peringatan (bagi peminjam yang masih tidak membuat bayaran balik/tidak member maklumbalas);

iv.     bekerjasama dengan agensi-agensi Kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan, pihak swasta dan melantik ejen bagi mengesan peminjam.

v.         bekerjasama dengan Jabatan Imigresen Malaysia untuk menahan peminjam ingkar daripada keluar negara; dan

vi.       melantik panel peguam bagi urusan penghantaran Surat Peringatan Terakhir, Letter Of Demand (LOD), saman dan penghakiman.

Tuan Yang Di Pertua,

Pada 5 Mei 2010, Kerajaan telah bersetuju supaya pengurusan bayaran balik pinjaman pendidikan PTPTN melalui LHDNM menggunakan kaedah potongan gaji berasaskan gaji yang diterima oleh peminjam dilaksanakan.

Beberapa siri perbincangan telah diadakan yang melibatkan LHDNM, Kementerian Kewangan, Kementerian Pengajian Tinggi, Jabatan Peguam Negara dan PTPTN bagi memperhalusi pelaksanaannya seperti penetapan had threshold bagi permulaan bayaran balik pinjaman pendidikan, menetapkan kadar bayaran balik atas pendapatan bulanan peminjam, pemberian nombor fail cukai kepada pelajar baru dan pindaan akta PTPTN (Akta 566) dan akta-akta lain yang berkaitan. Pindaan akta berkenaan perkara tersebut dijangka dibentangkan di Parlimen pada tahun ini.

——————————————————————————————

TARIKH                     :           15 JUN 2011 (RABU)

Soalan:-

Puan Nurul Izzah Binti Anwar [ Lembah Pantai-PKR ] Minta MENTERI BELIA DAN SUKAN menyatakan apakah tindakan tata tertib yang diambil di atas kelewatan menutup laporan kewangan Sukan Komanwel 1998 oleh Sukom Ninety Eight Berhad (SUKOM 98) yang tertunggak selama 13 tahun dan apakah peraturan baru jika ada untuk mengelak daripada kecuaian seperti ini berulang.

JAWAPAN

1.         SUKOM ’98 Berhad merupakan sebuah syarikat yang bertanggungjawab menganjurkan Sukan Komanwel 1998 dan ditubuhkan di bawah Akta Syarikat 1965. Memandangkan statusnya sebagai sebuah syarikat, maka pihak Kementerian tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengambil sebarang tindakan tata tertib di atas kelewatan syarikat menutup laporan kewangan Sukan Komanwel 1998.

2.         Dalam usaha mengelakkan daripada perkara yang sama berulang dalam sesuatu penganjuran acara sukan, Kementerian sentiasa mengambil pendekatan dengan merujuk Pekeliling Perbendaharaan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan dari masa ke semasa, serta dasar dan peraturan-peraturan yang sedia ada.

——————————————————————————————

TARIKH                    :           16 JUN 2011 [ KHAMIS ]

SOALAN                    :

Puan Nurul Izzah Binti Anwar [ Lembah Pantai-PKR ] Minta PERDANA MENTERI menyatakan dakwaan Laporan Bank Dunia berjudul Malaysia Economic Monitor: Brain Drain bahawa Kerajaan aktif untuk menggerakkan ETP yang berasaskan pelaburan; namun itu begitu giat melaksanakan Model Ekonomi Baru (NEM) yang bertujuan untuk menyelesaikan kebuntuan struktur ekonomi.

JAWAPAN:

Tuan Yang di-Pertua,

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, dakwaan Laporan Bank Dunia yang menyatakan Kerajaan hanya aktif untuk menggerakkan ETP yang berasaskan pelaburan tetapi tidak begitu giat dalam melaksanakan Model Ekonomi Baru (MBE) adalah tidak benar. Laporan Model Ekonomi Baru Ekonomi Bahagian Akhir: Langkah Dasar Strategik telah memberi maklumat yang lebih luas dan terperinci mengenai langkah dasar di bawah Inisiatif Pembaharuan Strategik (SRI).

Bagi membincangkan pelan tindakan SRI serta tindakan terperinci untuk mencapai matlamat MBE, Majlis Perundangan Ekonomi Negara (NEAC) dengan kerjasama PEMANDU telah mengadakan makmal SRI selama 6 minggu, bermula pada 21 Februari 2011 sehingga 1 April 2011. Daripada 51 langkah dasar dalam MBE, sebanyak 37 langkah dasar telah dibincangkan dalam 6 makmal SRI iaitu :

i.          Daya saing, standard dan perundangan;

ii.          Peranan kerajaan dalam perniagaan;

iii.         Pembangunan sumber manusia;

iv.         Kewangan sector awam;

v.         Penyampaian sector awam; dan

vi.         Langkah afirmatif/mengurangkan jurang ketaksamaan.

Makmal-makmal ini kemudiannya dibahagikan kepada beberapa buah makmal yang kecil untuk menterjemah langkah dasar serta inisiatif yang dirancang dalam MBE kepada langkah pelaksanaan yang terperinci dan realistic. Langkah dasar serta inisiatif yang dirancang turut mengambil kira inisiatif di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh. Hasil daripada makmal SRI ini telah dibentang kepada Jemaah Menteri.

Selain daripada penubuhan 6 makmal SRI, Kerajaan melalui Kementerian Kewangan dengan kerjasama Bank Dunia sedang menjalankan kajian mengenai kecekapan dan keberkesanan perbelanjaan dalam sektor awam (PER). Tujuan kajian ini dijalankan adalah untuk meningkatkan kawalan fisikal ke atas perbelanjaan sektor awam supaya perbelanjaan yang dibuat benar-benar berfaedah dan member nilai wang yang sebenar (value of money), mengurangkan ketirisan dan memberi faedah kepada rakyat dan seterusnya menghasilkan impak yang maksimum kepada ekonomi negara. Antaranya melalui pelaksanaan bajet berasaskan outcome atau outcome-based budgeting (OBB), dengan izin akan diperkenalkan. Pendekatan baru ini membolehkan pengurusan sumber yang lebih cekap, mengelak pertindihan pelaksanaan program dan projek serta dapat memastikan sumber yang diagih mengikut keutamaan tertinggi negara. Kajian ini akan meliputi di peringkat sektoral dan di peringkat sistem Kerajaan, iaitu pengurusan kewangan sektor awam, perolehan dan pembaharuan perkhidmatan awam. Hasil kajian ini pula akan digunakan dalam penyediaan Bajet 2012.

——————————————————————————————

TARIKH                    :           16.06.2011 ( KHAMIS )

SOALAN                   :

Minta MENTERI PERTAHANAN menyatakan mengapa Kerajaan tidak membantah siasatan Majistret Perancis mengenai pembelian Kapal Selam Scorpene sebagai gangguan luaran mencemar imej negara.

JAWAPAN:

Tuan Yang di-Pertua,

Buat masa ini, siasatan mengenai pembelian Kapal Selam Scorpene masih lagi dalam siasatan Majistret Perancis. Oleh yang demikian, pihak Kerajaan mengambil pendirian untuk tidak mencampuri sebarang urusan perundangan dalaman Kerajaan Perancis demi menjaga hubungan baik di antara Kerajaan Malaysia dan Perancis.

——————————————————————————————

TARIKH                    :           22 JUN 2011 [ RABU ]

SOALAN                   :

Puan Nurul Izzah Binti Anwar [ Lembah Pantai ] Minta PERDANA MENTERI menyatakan keputusan Kabinet tentang cadangan CEO Pemandu pada 3 Jun 2010 dalam akhbar The Star untuk mengkaji semula perjanjian dengan IPP dan juga pemilik konsesi tol sehari dengan pemotongan subsidi rakyat secara berperingkat.

JAWAPAN :

Tuan Yang di-Pertua,

IPP :

  • Kabinet sudah menubuhkan satu jawatankuasa bagi mengkaji pelbagai aspek termasuk isu pengeluar tenaga bebas (IPP) dan bekalan tenaga kepada negara pada masa depan, Beliau berkata, jawatankuasa tersebut membabitkan tiga Menteri iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop; Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui dan Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Jawatankuasa ini akan berbincang mengenai pelbagai aspek, antaranya ialah mengenai kos dan soal masa depan kerana terdapat di antara konsesi IPP akan tamat pada 2014 dan 2015. Tugas jawatan kuasa ini adalah untuk mengkaji isu-isu tersebut dan mencari jalan penyelesaian untuk kebajikan  masyarakat.

Tol :

  • Kerajaan telah menangguhkan kenaikan kadar tol bagi tempoh 5 tahun yang akan datang bagi lebuh raya di bawah PLUS Expressway & MTD group tanpa melibatkan bayaran pampasan dan pemanjangan tempoh konsesi.
  • Antara buktinya adalah keputusan kerajaan untuk menutup lebuhraya Plaza Tol Metramac Cheras 8 bulan lebih awal dari perjanjian konsesi.
  • Selebihnya, kerajaan telah berjaya menurunkan kadar tol bagi Lebuhraya NPE dari RM1.60 kepada RM1.00.

——————————————————————————————

TARIKH                    :           22 JUN 2011

SOALAN :

PUAN NURUL IZZAH BINTI ANWAR minta PERDANA MENTERI menyatakan mengapa penambahbaikan proses pilihan raya dengan menukar definisi undi awal untuk anggota keselamatan serta suami-isteri mereka di kem-kem diutamakan lebih daripada penggunaan dakwat dan membenarkan rakyat Malaysia di luar negara mengundi secara pos.

JAWAPAN : YB DATO’ SERI MOHAMED NAZRI ABDUL AZIZMENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI

Tuan Yang di-Pertua,

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, perlu dijelaskan bahawa SPR senantiasa responsive terhadap perubahan-perubahan semasa dengan melakukan proses rekayasa menerusi usaha pengupayaan dan penambahbaikan dalam pengurusan dan operasinya demi untuk memantapkan lagi sistem pilihan raya, sekali gus demokrasi di Malaysia.

Bagaimanapun, sebarang usaha tersebut perlu berpandukan kepada asas Perlembagaan Persekutuan dan lunas demokrasi Negara. Justeru, tidak timbul soal memilih keutamaan kerana setiap penambahbaikan dilakukan berpandukan kepada asas dan lunas tersebut.

Berhubung dengan kaedah pengundian awal, perlu dijelaskan bahawa SPR mengesyorkan tentang keperluan mengkaji kaedah pengundian awal sebagai salah satu inisiatif penambahbaikan sistem pengundian pilihan raya, yang bertujuan untuk membolehkan pemilih daripada kalangan anggota pasukan keselamatan yang layak, mengundi lebih awal.

Pada masa ini, mengikut Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Pengundi Pos) 2003 yang telah digubal berdasarkan Perkara 119 (1) (b) Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 16 Akta Pilihan Raya 1958, anggota-anggota pasukan keselamatan seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan pasangan mereka, Polis Di-Raja Malaysia (PDRM), termasuk Pasukan Gerakan Am (PGA) dan pasangan mereka, mengundi sebagai pengundi pos.

Bagaimanapun, pada Pilihan Raya Umum akan datang, jika dapat dilaksanakan, SPR mencadangkan agar kaedah pengundian pos akan hanya diguna pakai untuk anggota keselamatan yang bertugas di perbatasan selain di luar Negara.

Manakala bagi anggota keselamatan yang tidak terlibat bertugas di luar Negara dan di perbatasan, mereka diberikan kemudahan untuk mengundi dua hari atau tiga hari sebelum Hari Mengundi dan dijalankan seperti pengundian biasa yang mana penggunaan boring khas untuk undi pos tidak perlu digunakan lagi. Manakala proses pengundiannya pula akan dilaksanakan di mana-mana pusat mengundi yang akan ditentukan oleh SPR, berhampiran dengan kem-kem bagi tentera bagi ATM; atau Ibu Pejabat Polis Kontijen, atau Ibu Pejabat Polis Daerah bagi PDRM dan akan dikendalikan oleh petugas-petugas yang akan dilantik oleh SPR dengan dibantu oleh anggota ATM dan PDRM.

Ketika ini SPR masih mengkaji secara terperinci tatacara dan proses serta undang-undang dan peraturan yang berkaitan dengan kaedah itu dan akan mengemukakan cadangan pelaksanaan kaedah itu setelah kajian mengenainya dapat dimuktamadkan di peringkat SPR.

Mengenai isu hak mengundi warganegara Malaysia di luar negara seperti yang sering dijelaskan bahawa Perkara 119 (1) (a) dan (b) Perlembagaan Persekutuan, Peraturan 2 (c), (d) dan (e) Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002, dan Peraturan 3 (1) (a) Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003 telah mentapkan warganegara Malaysia yang menjadi anggota Perkhidmatan Awam Malaysia yang sedang berkhidmat di luar Negara serta pasangan mereka dan para pelajar yang menuntut sepenuh masa di luar Negara serta pasangan mereka sahaja, jika telah mendaftar sebagai pemilih, berhak mengundi, mengikut kaedah pengundian yang sedia ada dan dibuat mengikut Undang-undang yang telah ditetapkan.

Manakala isu cadangan penggunaan dakwat kekal tidak lagi berbangkit kerana SPR sedang berusaha mencari kaedah baru yang lebih moden dan boleh diterima oleh semua pihak. Pada masa ini SPR sedang meneliti dan mengkaji penggunaan ‘biometrik’ yang dirasakan sesuai untuk digunakan bagi tujuan pilihan raya. Namun demikian ia masih lagi di peringkat penelitian yang belum diputuskan kerana perlu melihat dari pelbagai sudut sebelum dimuktamadkan.

Sekian, terima kasih.

——————————————————————————————

TARIKH                    :           23.06.2011

Y.B Puan NURUL IZZAH BINTI ANWAR [ LEMBAH PANTAI ] Minta MENTERI KEWANGAN menyatakan:-

(a)        jumlah sumbangan Petronas kepada tabung Kumpulan Wang Amanah Nasional (KWAN), status penggunaan dan baki terkini; dan

(b)        adakah Kerajaan bersedia menetapkan 30% keuntungan tahunan Petronas dimasukkan ke dalam sebuah tabung pendidikan kebangsaan untuk pemberian biasiswa.

JAWAPAN :

Tuan Yang di-Pertua,

Untuk makluman Yang Berhormat, Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) telah ditubuhkan untuk memastikan penggunaan optimum hasil sumber-sumber asli negara yang merosot supaya dapat memberikan sumber pendapatan yang berterusan dan stabil demi faedah generasi akan datang. Pengurusan dan pentadbiran hal ehwal KWAN ini dipertanggungjawabkan ke atas Bank Negara Malaysia yang memastikan dana KWAN dilaburkan dengan wajar manakala operasi kumpulan wang ini diselia oleh Panel KWAN. Sehingga jun 2011, jumlah sumbangan PETRONAS kepada KWAN adalah sebanyak RM3.0 bilion. Dana ini adalah aktif dan ia dilaburkan di dalam pelbagai instrument kewangan. Saiz dana KWAN kini berjumlah RM5.43 bilion.

Semenjak penubuhan sehingga tahun kewangan berakhir 31 Mac 2011, PETRONAS telah membuat pembayaran sebanyak RM594.6 bilion dalam bentuk dividen, cukai, duti eksport dan perolehan petroleum kepada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan-kerajaan negeri di mana sejumlah RM65.7 bilion adalah pembayaran bagi tahun kewangan 31 Mac 2011.

Kerajaan pada masa ini telah menyediakan dana-dana bagi tujuan pendidikan negara di bawah agensi tertentu seperti Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), MARA dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Pemberian biasiswa/pinjaman adalah tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan. Oleh itu, Kerajaan tidak bercadang menubuhkan tabung pendidikan baru seperti tabung pendidikan kebangsaan.

——————————————————————————————

DARIPADA              :           Y.B PUAN NURUL IZZAH BINTI ANWAR ( LEMBAH PANTAI )

PERTANYAAN       :          LISAN

TARIKH                    :           27.06.2011


Y.B PUAN NURUL IZZAH BINTI ANWAR [ LEMBAH PANTAI ] Minta MENTERI KEWANGAN menyatakan apakah anggaran kos pendapatan cukai yang terlepas sekiranya satu program ‘Kereta Pertama Ku’ di mana pembelian pertama kereta tempatan di bawah 1,800 cc oleh rakyat Malaysia diberi pelepasan cukai dan eksais.

JAWAPAN

Tuan Yang di-Pertua,

Untuk makluman Yang Berhormat, Kerajaan belum bercadang untuk melaksanakan program ‘Kereta Pertam Ku’. Walau bagaimanapun sekiranya program ini dilaksanakan, Kerajaan menganggarkan akan kehilangan hasil dari cukai jalan dan duti eksais sebanyak RM1.7 billion setahun berdasarkan jualan tahunan kenderaan Proton dan Perodua.

——————————————————————————————

SOALAN DAN JAWAPAN BAGI PERTANYAAN BERTULIS YB NURUL IZZAH ANWAR

PERTANYAAN       :           BERTULIS

SOALAN                      :           251

minta MENTERI SAINS, TEKNOLOGI DAN INOVASI menyatakan :-

(a) jumlah dana yang diberikan beserta penerima yang telah menerima geran inovasi   MOSTI melalui Yayasan Inovasi Malaysia; dan

(b) langkah-langkah yang diambil Yayasan Inovasi Malaysia untuk membantu mengkomersilkan inovasi di kampong-kampung. Nyatakan mengikut negeri dan kampung terlibat.

JAWAPAN :

Tuan Yang Di Pertua,

Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) telah ditubuhkan bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan budaya kretiviti dan inovasi di kalangan masyarakat. Penubuhan YIM adalah atas kesedaran bahawa golongan akar umbi juga perlu diberi perhatian oleh Kerajaan untuk dibantu dalam membangunkan daya kretiviti serta daya cipta di kalangan mereka. Golongan yang dikategorikan di bawah akar umbi termasuklah pelajar sekolah, belia, wanita, komuniti luar Bandar, mereka yang tidak berkemampuan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO).

Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat, YIM menjalankan program-program pembudayaan kreativiti dan inovasi berasaskan sumbangan pihak korporat dan sektor awam. Pada masa ini pihak YIM tidak menyedia dan memberi sebarang dana atau geran kepada mana-mana pihak. YIM sebaliknya melaksanakan program kesedaran yang melibatkan komuniti sasaran secara langsung. Antara program utama YIM adalah :

(a) Program Kreativiti dan Inovasi Jiran Muda;

(b) Kuala Lumpur Innovation Forum (KLIF);

(c) Program KidsInvent!;

(d) ASEAN Youth Forum on Innovation and Creativity (AYFIC); dan

(e) Bengkel Kreativiti dan Inovasi YIM.

Bagi membantu mengkomersilkan kreativiti dan inovasi di peringkat akar umbi, YIM telah mengambil tindakan seperti berikut:

a) mengumpul maklumat tentang rekacipta dan inovasi diperingkat akar umbi melalaui Pangkalan Data Myinnobank. Sehingga kini, sebanyak 150 profail, produk, aplikasi dan rekacipta serta idea oleh akar umbi telah direkodkan dan boleh dicapai oleh orang awam melalui laman sesawang www.yim.my/databank;

b) mempromosikan hasil inovasi akar umbi sempena Malaysia Inovatif 2010 (MI2010) serta siri Karnival Inovatif 2010 di Zon Utara pada 27 Februari 2010 di Perlis, Zon Sabah pada 28 Mei 2010, Zon Timur pada 30 Julai 2010, Zon Selatan di Batu Pahat pada 25 September 2010, Zon Sarawak pada 23 Oktober 2010 dan Zon Tengah di Melaka pada 13 November 2010. Lebih daripada 50 inovasi akar umbi telahpun dipamerkan; dan

c) menyokong pengkomersilan beberapa inovasi akar umbi terpilih di bawah Program Aplikasi Teknologi Komuniti atau Program TAPMOSTI@COMMUNITY dengan kerjasama agensi seperti SIRIM, MIMOS, Agensi Nuklear Malaysia (AGM) dan Taman Teknologi Malaysia (TPM). Antara projek-projek yang dikomersilkan adalah seperti Usahawan Minyak Kelapa Dara (VCO) di Kg Khosim, Kota Marudu, Penghasilan Sistem Extraksi Berinovasi MF-KARL di Telupik, Sabah, Penghasilan Benih Vanilla Kultur Tisu Berkos Rendah dan Sistem Kawalan Sekitaran Pada Peringkat Pertumbuhan Awal di Kg Toporoi, Kota Marudu, Sabah, Projek Penghasilan Makanan Ikan Air Tawar di Lubok Antu, Sarawak, Teknologi Makanan Ternakan Daripada Pelepah Kelapa Sawit di Endau, Johor, Enjin Sangkut Inovasi di Guar Chempedak, Kedah dan Teknologi Seramik & Tembikar di Kuala Pilah dan Kg. Baru Sirusa, Bagan Pinang.

Di samping langkah-langkah di atas, YIM kini dalam proses melaksanakan program inkubasi inovasi akar umbi dengan kerjasama Taman Teknologi Malaysia (TPM). Di bawah program ini, para perekacipta dan innovator akan dibimbing dan dibantu dalam pelbagai aspek pelan pembangunan perniagaan, produk, kewangan dan pemasaran. Selain daripada itu, pusat inovasi setempat atau Innospace telah dilancarkan di Sabah dan Sarawak bagi menyediakan platform bagi perkara perekacipta akar umbi membangun dan mengembangkan idea, membuat prototaip dan pemodelan, member khidmat nasihat dan pakar rujuk kepada pengguna serta pendaftaran paten.

——————————————————————————————