“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan keatas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa.”
( Al-Baqarah : 183 )
Ramadhan menjelma lagi, musim ibadah yang menjanjikan rahmat dan keberkatan kepada orang yang berpuasa. Setiap detiknya mengandungi keampunan dan keberkatan. Kedatangannya dinanti oleh orang yang bertaqwa. Rasulullah SAW sering berdoa bermaksud, „Ya Allah berkati kami dalam Rejab dan Sya‟aban dan sampaikan kami Ramadhan.‟ Apabila sampai Ramadhan para sahabat saling mengucapkan ‘Ahlan wa sahlan ya Ramadhan’ bererti selamat datang Ramadhan!
Bulan Ramadhan menyingkap beberapa peristiwa yang besar untuk kita sama-sama hayati dan teladani bersama di mana pada bulan yang mulia inilah diturunkan Al-Quran yang menjadi panduan kita pada hari ini. Selain itu, berlakunya perang pertama di dalam sejarah Islam iaitu Perang Badar yang menyaksikan kemenangan umat Islam walaupun bilangan tentera Islam ketika itu hanya 313 orang berbanding tentera musuh 1000 orang. Di Bulan Ramadhan juga, Kota Mekah dapat ditawan dan dibuka kembali. Kesucian Kota Mekah dapat dirampas kembali dengan pertolongan Allah S.W.T..
Saya mengajak seluruh warga Lembah Pantai dan Umat Islam umumnya untuk kita sama-sama menghayati kedatangan Bulan Ramadhan yang mulia ini dengan pengisian yang sebaik mungkin. Melakukan muhasabah diri, menolak politik fitnah dan perkauman sempit. Mudah-mudahan ibadah yang kita jalani di bulan yang mulia ini akan diberkati dan diterima oleh Allah S.W.T..
Sekali lagi saya mengucapkan Selamat Menyambut Ramadhan al-Mubarak 1432H dan selamat menjalani Ibadah Puasa di bulan Ramadhan.
“Bersama Menegakkan Keadilan”
Nurul Izzah Anwar
Ahli Parlimen Lembah Pantai
Naib Presiden KEADILAN