Skip to main content
MediaStatements

Isu tangkapan mahasiswa di UPSI

By 1 January, 2012February 5th, 2021No Comments

KENYATAAN MEDIA
1 Januari 2012
Untuk Sebaran Segera

Tuntutan Mahasiswa melalui Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dan BEBAS bagi memansuhkan AUKU adalah suatu usaha berterusan golongan Mahasiswa untuk menuntut hak dan kebebasan buat seluruh mahasiswa di Malaysia.

BEBAS bersama SMM terus memperjuangkan pemansuhan AUKU dan Kebangkitan Mahasiswa terus dicerna dalam Himpunan diluar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada malam tahun baru 2012.

Tetapi amat malang kerana tindakan luar batasan dan keterlaluan pihak Polis dan FRU dengan melakukan tangkapan terhadap mahasiswa dan akibat rempuhan oleh pihak polis iaitu Pengerusi BEBAS, Sdr Safwan Anang cedera dan kini berada di Hospital Tanjung Malim, Perak.

Seramai 15 mahasiswa ditangkap di dalam Himpunan Menuntut Kebebasan Akademik dan Pemansuhan AUKU itu. Tindakan tersebut adalah tidak demokratik, bersifat “negara polis” (police state) langsung mempalitkan titik hitam di awal sambutan Tahun Baru 2012 ini memberikan mesej yang jelas kepada rakyat Malaysia dan umumnya bahawa kerakusan Kerajaan UMNO-BN menggunakan Polis untuk mengekang hak dan kebebasan bersuara yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Ini juga bertentangan dengan Akta Perhimpunan Aman 2011 yang diumumkan oleh Perdana Menteri dan seterusnya diluluskan oleh Parlimen Malaysia baru-baru ini.

Saya menempelak tindakan polis terhadap tangkapan mahasiswa dan ini lebih menyedihkan apabila ada yang tercedera. Saya tekankan bahawa Mahasiswa atau anak muda punyai hak menuntut kebebasan dan pemansuhan AUKU dan tindakan menangkap dan merempuh mahasiswa yang datang berhimpun di bawah Suara Mahasiswa tidak merupakan satu kesalahan. Sewajarnya pihak polis menjaga dan mengawal keadaan dan bukan melakukan rempuhan sehingga mendatangkan kecederaan terhadap mahasiswa.

Saya yakin dan percaya, Gerakan Mahasiswa tidak akan lemah dengan pencabulan pihak polis dalam insiden di UPSI semalam. Mahasiswa dan Anak Muda perlu terus memperjuangkan agenda perubahan yang digarap bersama dalam mereformasikan Universiti, Kebebasan Akademik dan Pemansuhan AUKU dan Akta-akta yang ‘menggari’ dan ‘memenjarakan’ mahasiswa.

YB Nurul Izzah Anwar
Ahli Parlimen Lembah Pantai dan
Naib Presiden KEADILAN