Skip to main content
Press ReleaseStatements

Kenyataan Media – Isu Adam Adli

By 10 January, 2012February 5th, 2021No Comments

KENYATAAN MEDIA
10hb Januari 2012
UNTUK SEBARAN SEGERA

Saya merujuk isu mahasiswa Adam Adli yang telah digantung pengajian selama tiga semester, di atas tuduhan mencemar nama baik Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Tindakan menggantung pendidikan Adam Adli ini adalah tindakan yang opresif, bermotifkan politik yang zalim dan jelas menghalang mahasiswa dari menyuarakan pandangan mereka.

Kalaupun suatu kesalahan telah dilakukan, tindakan yang diambil haruslah bersifat memberi pengajaran, bukannya membudayakan budaya ketakutan di kalangan orang muda.

Sebagai nadi masyarakat majoriti, mahasiswa dan anak muda wajib diberi ruang untuk berfikir secara kritikal, berbincang secara mendalam, dan bersuara dengan lantang. Di mana kah mahasiswa mampu mengalami ruang sebegini jikalau bukan di universiti? Maka secara implikasinya, jawatankuasa disiplin yang telah menjatuhkan hukuman ke atas Adam semalam lah yang sebenarnya merendahkan maruah dan nama UPSI itu sendiri, yang mempunyai sejarah yang begitu dalam dan cukup berkait rapat dengan kebangkitan semangat kebangsaan sejak sebelum Malaya mengecapi kemerdekaan.

Saya menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia agar kita bangkit dan pertahankan hak mahasiswa, kerana mahasiswa lah yang menjadi penyambung perjuangan kita demi Malaysia yang lebih baik.

Nurul Izzah Anwar
Ahli Parlimen Lembah Pantai dan
Naib Presiden KEADILAN