Kontroversi pengumuman Perdana Menteri bahawa tema Hari Kebangsaan tahun ini iaitu ‘Janji DiTepati’ yang dipinjam terus daripada cogankata kempen BN telah menimbulkan beberapa andaian para penganalisa politik.
Pertama, kerajaan bangkrap idea. Nampaknya bukan sahaja hutang negara hampir bangkrapkan kita tetapi khazanah perbendaharan kata ‘dua perkataan’ itu mencerminkan kerajaan sudah muflis tema yang seharusnya menyatukan dan bukan memecah-belah perayaan kemerdekaan milik kita semua.
Kedua, kerajaan keliru status Hari Kebangsaan sebenarnya milik rakyat dan bukan semata-mata hak mutlak BN. Kemungkinan setelah 55 tahun memerintah, keangkuhan dan jerebu minda telah mengabur makna dan erti sebenar sebuah kemerdekaan.
Ketiga, kerajaan terdesak menjaja tafsiran ‘Janji DiTepati’ sebagai umpan psikologi agar rakyat rasa terhutang budi di atas pemberian jalanraya, sekolah, BR1M dan sebagainya – yang memang menjadi tanggungjawab kerajaan serata dunia.
Walau bagaimanapun, pada hemat saya Janji apa yang diTepati yang dimaksudkan sepatutnya adalah Janji Kemerdekaan yang masih belum tertunai.
Janji yang dimaksudkan kerajaan lebih merupakan tanggungjawab asas yang wajib dilaksanakan oleh sebuah kerajaan, bak bapa yang wajib menyediakan tempat tinggal, pakaian, makanan dan nafkah untuk keluarganya dan tidak perlu dibalut dengan konsep Janji.
Tanggungjawab atau dalam fahaman kerajaan iaitu ‘Janji’ pembangunan seperti membina jalanraya dan sekolah, memberi perkhidmatan kesihatan, keselamatan, pertahanan dan sebagainya adalah perkara asas yang semua kerajaan di dunia wajib tunaikan.
Tetapi yang mesti kita persoal adalah mengapa ‘Prinsip diMungkiri’. Maksud saya di dalam menunai ‘Janji’ membina jalanraya, mengapa ‘Prinsip Telus dan Berhemah’ dimungkiri apabila lebuhraya diswastakan dengan jaminan keuntungan melalui tol atau pampasan tol diserahkan kepada syarikat-syarikat kroni. Konsesi-konsesi tol ada terikat hingga ke tahun 2038 dan hasil kutipan pada tahun 2010 contohnya adalah sebanyak RM2.6 billion. Malang, yang sepatutnya di’Janjikan’ kepada rakyat pula di’Janjikan’ kepada kroni.
‘Janji’ menyediakan bekalan elektrik pula melanggar prinsip ‘Rakyat Didahulukan’ apabila perjanjian IPP yang berat sebelah sehingga Petronas dianggarkan menanggung kerugian sebanyak RM21 billion setiap tahun dan rakyat terpaksa menanggung kos dari caj kadar elektrik sedangkan Syarikat Pengeluar Elektrik Bebas terlepas dari menanggung kenaikan harga bahan api seperti gas dan arang batu. Jalan yang diambil adalah dengan menghukum rakyat, apabila tarif elektrik dinaikkan supaya kenaikan harga bahan api ditanggung rakyat. Pihak kerajaan tidak dapat berselindung dan cuba menenangkan rakyat dengan mengambil langkah kononnya memotong subsidi korporat.
‘Janji’ transformasi ekonomi menjadi temberang apabila unjuran pertumbuhan KDNK tersasar jauh. Kaedah permainan nombor dengan memanipulasi jumlah hutang negara yang tidak termasuk ‘Contigent Liability’ iaitu liabiliti luar jangka yang akan meninggalkan kesan terhadap angka-angka sebenar. Perubahan tahun dasar atau base year baru-baru ini untuk statistik ekonomi negara daripada tahun 1980 kepada 2005 yang menampakan ‘kenaikan’ pencapaian pertumbuhan GNI daripada RM498.5b (2005) kepada RM661.8b (2009) adalah silap mata dengan menyembunyi perkara sebenar.
Kadar defisit fiskal yang dihadapi negara pada 2011 berdasarkan KDNK dianggar sebanyak 4.8% dan defisit belanjawan telah berlaku selama 15 tahun sejak tahun 1997 di mana hutang kerajaan meningkat dari RM89b kepada RM470b hingga Mac 2012. Kerajaan pusat pula meminta belanjawan tambahan sebanyak RM13.8b tahun ini, dan jumlah itu bakal membuat kedudukan ekonomi negara semakin tenat.
‘Janji’ transformasi perkhidmatan awam yang pada awalnya diberi nama SBPA terkandas apabila kenaikan gaji yang hanya dijanjikan kepada golongan atasan dikecam hebat oleh golongan terbanyak yang dipinggirkan merupakan satu ketentuan bahawa apa yang pasti adalah janji flip-flop.
‘Janji’ reformasi demokrasi yang dibuat pada Hari Malaysia 2011 untuk memansuhkan ISA, Akta Buang Negeri 1959, Akta Kediaman Terhad 1933, serta mengkaji semula Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan juga Seksyen 27 Akta Polis 1967, hanya separuh yang direformasikan di mana ciri-ciri dasar anti-demokratik undang-undang lapuk masih dikekalkan seperti ISA yang di-SOSMA-kan melalui penindasan yang lebih teruk akan dihadapkan kepada rakyat dan bakal merampas hak rakyat untuk bebas bersuara dan berkumpul berdasarkan perlembagaan.
‘Janji’ reformasi pilihanraya telah diputarbelit hingga membuat perut rakyat sembelit dek kegagalan memastikan pilihanraya adil dan bebas. Tindakan kerajaan membantah secara rasmi diplomat negara jiran menjadi pemerhati Bersih 3.0 yang adalah tugas biasa para diplomat, membayangkan hasrat kerajaan untuk menghalang pemerhati antarabangsa untuk PRU13 kelak. Rakyat dimomok kononnya ia adalah gangguan asing terhadap urusan negara. Hujah yang sama diguna oleh kerajaan Israel yang menghalang diplomat asing memerhati ‘jenayah’ sebuah rejim kejam di bumi Palestin. Nampaknya rejim BN yang sering mendabik dada kerana Malaysia adalah “Negara Demokratik Terbaik Dunia” hanyalah satu slogan dari seorang Demokrat Palsu yang makin dikenali dunia.
Oleh itu, kita berhak menuntut kerajaan menunaikan Janji Merdeka dan tidak berkiblatkan ideologi politik serta propaganda yang bermegah diri, sombong dan dibutakan keinginan untuk terus berkuasa.
Akhir sekali, janji hanya tinggal janji menjadikan tema ‘Janji DiTepati’ sebagai janji kosong yang memungkiri pelbagai prinsip demokrasi.
Oleh itu adalah lebih tepat lagi bertanya: untuk siapa ‘Janji DiTepati’?
(Pertama kali disiarkan di Sinar Harian pada 3 Julai 2012)