KENYATAAN MEDIA
20 Julai 2012
UNTUK SEBARAN SEGERA
PEMBIDA YANG KALAH MENDAPAT PROJEK SISTEM KAWALAN UDARA DI KLIA2
Setelah rakyat Malaysia dikejutkan isu masalah sistem radar yang dibangunkan Selex Sistemi Integrati (SELEX) dan Advanced Air Traffic Systems (M) Sdn Bhd (AAT) di Pusat Kawalan Trafik Udara Nasional (NATCC) di Subang, kini KEADILAN difahamkan salah satu syarikat tersebut telah mendapat projek di KLIA2 walaupun ia pembida yang kalah.
KLIA2 sebelum ini pernah menghadapi kontroversi antaranya, pemilihan tapak dengan permukaan tanah yang lembut dan tidak sesuai untuk membangunkan lapangan terbang – maklumat yang tidak diketengahkan Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) dan Kementerian Pengangkutan (MOT) kepada rakyat. Selain itu, kenaikan kos dari RM1.7 bilion kepada RM 3.6 bilion dan penundaan tarikh siap pembinaan dari September 2011 ke April 2013; menambahkan lagi kontroversi, dan tentunya penggunaan wang rakyat apabila nilai projek KLIA2 melambung tinggi nanti.
Terkini, KEADILAN telah mendapat maklumat bahawa AAT merupakan salah satu dari tiga syarikat yang telah memasukkan bidaan untuk membangunkan sistem kawalan udara di KLIA2.
Bagi projek KLIA2, syarikat AECOM dilantik menjadi konsultan kepada MAHB dan telah memulakan pengumpulan maklumat, data dan laporan sejak Februari 2010 untuk memberikan pendapat komprehensif; terutamanya di dalam tiga aspek iaitu sistem kawalan udara, prosedur dan peralatan. AECOM juga mendapati ada keraguan dalam keberkesanan sistem kawalan udara SELEX dan mengesyorkan peningkatan sistem kawalan udara supaya ia dinaiktaraf dan kekal relevan supaya dapat menangani kapasiti penerbangan dengan lebih baik dan berkesan apabila KLIA2 dibuka nanti.
Meskipun laporan penilaian teknikal AECOM bertarikh 9 Disember 2011 telah mengiktiraf kebolehan syarikat AMP Corporation (M) Sdn Bhd (AMCOP) untuk melaksanakan projek tersebut dengan baik dan telah menyarankan AMPCOP dipilih, namun akhirnya projek ini telah diberikan kepada AAT – sebuah syarikat yang, mengikut laporan penilaian teknikal tersebut, tidak memenuhi spesifikasi teknikal yang diperlukan untuk projek ini. (Lampiran 1)
Walaupun nilai bidaan AAT adalah lebih rendah daripada AMCOP, kelulusan hanya boleh diberikan sekiranya AAT menepati kesemua keperluan teknikal yang disenaraikan.
Tambahan lagi, Mesyuarat Jawatankuasa Khas Perolehan MAHB juga telah dengan jelas memberikan penilaian dan rekomendasi seperti berikut pada 15 Mac 2012. (Lampiran 2)
Pemilihan AAT mengejutkan kerana sebelum ini AAT juga terjerumus di dalam kontroversi yang mengancam keberkesanan keselamatan sistem kawalan udara di Malaysia serta para penumpang pengangkutan udara menerusi makluman dalaman tentang senarai kecacatan dan kestabilan penyenggaraan sistem radar MIP-2 di Lapangan Terbang Subang.
Insiden-insiden kecacatan di dalam sistem MIP-2 juga diakui oleh Jabatan Penerbangan Awam, dan emel dalaman pegawai DCA dan ATC yang menggambarkan sistem radar kelolaan SELEX tidak berfungsi secara memuaskan.
Diperingatkan bahawa senarai kecacatan di dalam sistem MIP-2 adalah mirip masalah teknikal yang dihadapi oleh sistem LEFCO keluaran SELEX yang dibatalkan di Cyprus. Kalau Parlimen Cyprus berani membatalkan projek, saya desak Kementerian Pengangkutan menjemput ICAO untuk mengadakan audit ke atas sistem MIP-2 dan sekaligus melenyapkan tanda tanya terhadap keberkesanan sistem radar di Malaysia.
MAHB dan MOT wajib menjawab dan menjustifikasikan penganugerahan projek sistem kawalan udara KLIA2 kepada AAT kerana kita tidak mahu keselamatan orang awam diperjudikan dengan pemilihan semberono.
Nurul Izzah Anwar
Ahli Parlimen Lembah Pantai
merangkap Naib Presiden KEADILAN