Skip to main content
Education

Balik raya: Lembah Pantai di hatiku

By 16 August, 2012February 18th, 2020No Comments

Alhamdulillah, Hari Raya Aidilfitri akan menyusul selepas Ramadan sebagai tanda kemenangan setelah pengorbanan dilunaskan selama sebulan, Insya-Allah.

Ibadah membawa seribu erti yang meliputi pelbagai pengalaman berpuasa daripada anak kecil yang mengira waktu tangan jam menanti Maghrib, remaja bertarung menahan lapar dahaga, kaum ibu yang sibuk persediaan sahur, buka puasa dan juga persediaan raya yang dibantu suami tercinta, malah seluruh keluarga semua menanti takbir raya dengan penuh kesyukuran.

Semestinya, kita bersyukur apa dianugerahkan ALLAH kepada kita sebagai sebuah negara majmuk yang kaya sumber, kaya bakat modal insan, kaya budaya dan kaya sejarah.

Tetapi setelah 55 tahun Merdeka, kita masih miskin demokrasi, miskin penyamarataan ekonomi, miskin media yang bebas, miskin pilihan raya yang bebas dan adil dan paling merisaukan kita masih miskin jati diri sebagai warga sebangsa, senegara, sejiwa.

Oleh demikian, pada bulan mulia ini saya mengambil kesempatan merenung akan nasib negara dan juga perjalanan tugas serta amanah saya pegang sebaik mungkin sebagai wakil rakyat untuk kawasan Lembah Pantai.

Alhamdulillah, saya bersyukur kerana sebagai wakil rakyat bertanggungjawab untuk melaksanakan dua peranan penting iaitu sebagai penggubal undang-undang di Parlimen dan sebagai pemberi khidmat di kawasan Parlimen menjadi pemudah cara antara rakyat dan pihak berkuasa tempatan.

Peranan dan sumbangan saya sebagai pemberi khidmat di kawasan Parlimen adalah melalui lawatan meninjau keadaan kawasan dan program khidmat masyarakat kerana walaupun Pakatan Rakyat menang 10 daripada 11 kerusi di Kuala Lumpur serta tidak diberikan peruntukan RM2 juta untuk kawasan Parlimen, saya tetap bersyukur kerana mendapat sokongan dan bantuan dari banyak pihak untuk menjayakan program-program demi rakyat.

Selain itu, saya akan teruskan agenda membanteras jenayah di Lembah Pantai termasuk memenuhi tuntutan jemaah masjid agar kerajaan mengambil tindakan sewajarnya ke atas kawasan lampu merah di Brickfields termasuk dikembalikan tanah IPD Brickfields yang bertaraf tanah insitusi dengan dibina semula Balai Polis dan bukan Pondok Polis di Brickfields.

Ops Tawan dilaksana PDRM di Bangsar perlu diperluaskan ke kawasan Brickfields, Pantai Dalam dan Kg Kerinchi malah seluruh negara agar nikmat keselamatan dapat dirasai semua lapisan dan bukan hanya di pusat komersil dan perumahan seperti di Bangsar saja.

Saya juga bertekad bekerjasama dengan penduduk dan SPAD dalam memartabatkan pengangkutan awam agar perjalanan penduduk ke tempat kerja, bersantai malah ke sekolah berjalan lancar dan masalah kesesakan diurus dengan lebih teratur dan berkesan.

Di samping itu saya rasa terkilan kerana kesediaan saya menyahut jemputan berdebat mengenai Skim Pembiayaian PPR-PA yang dibuat Senator Datuk Raja Nong Chik di mana saya mencadangkan Skim Sewa Hingga Milik Tanpa Faedah berbanding penggunaan dana KWSP pada kadar pinjaman enam peratus tidak ditunaikan.

Di dalam isu keganasan politik seperti yang berlaku pada Malam Berdarah Lembah Pantai di mana warga emas dan anak kecil cedera dibaling batu ketika program ceramah umum, akan diteruskan usaha meminta Suhakam menjalankan siasatan termasuk meminta PDRM menyiasat laporan-laporan polis yang telah dibuat.

Dan wawasan saya untuk Lembah Pantai malah seluruh Wilayah Persekutuan adalah untuk dikembalikan hak pilihan raya tempatan dengan hak mengundi Datuk Bandar sendiri agar rakyat dapat menentukan segala perkhidmatan kerajaan tempatan memenuhi aspirasi dan kehendak rakyat.

Di persada antarabangsa, tugas saya adalah menghadiri persidangan dan perjumpaan untuk menegakkan isu-isu seperti kepimpinan wanita dalam politik, memperkukuh ruang demokrasi serta peranan generasi muda dalam pembangunan negara.

Di peringkat nasional, saya terlibat merangka dasar mesra rakyat seperti pendidikan percuma bermula pemansuhan hutang PTPTN, cadangan hapuskan cukai kereta berganda, mansuh sistem monopoli sumber makanan, penyemakan semula perjanjian konsesi tol lebuh raya dan penjana kuasa elektrik, serta meletakkan Petronas di bawah seliaan Parlimen menjadi garis politik gagasan Pakatan Rakyat yang saya perjuangkan.

Tanggungjawab menarik perhatian umum terhadap beberapa kepincangan kerajaan seperti pendedahan isu NFC, Scorpene, sistem radar ruang udara yang terdedah kepada risiko serta sistem pertahanan NCO yang masih belum selesai mengundang risiko kecil terhadap diri saya berbanding kepentingan umum yang jauh lebih besar dan akan saya teruskan insya-Allah.

Di Parlimen pula saya ketengahkan agenda pemulihan demokrasi melalui usul seperti Pemansuhan Deklarasi Darurat, Pemansuhan Auku, Pemansuhan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan dan pindaan Akta Pembangunan Petroleum.

Dan saya bersyukur apabila Perdana Menteri melaksanakan beberapa pindaan terhadap usul sama tadi. Walaupun tidak dilaksana sepenuhnya, ia tetap membuktikan agenda Parlimen mampu dipengaruhi pembangkang.

Semoga ALLAH berkati usaha jadikan Malaysia lebih baik.

(Pertama kali disiarkan di Sinar Harian pada 14 Ogos 2012)