Skip to main content
Penerbitan

Lagu Merdeka

By 30 August, 2012February 5th, 2021No Comments

Lagu allahyarham Sudirman Haji Arshad ‘Tanggal 31’ merupakan antara lagu-lagu patriotik popular yang cukup mencerminkan suara hati rakyat sehingga kini.

Lirik-lirik lagu itu menggamitkan kita ‘Ramai-ramai menyambut Hari Merdeka’. Dan sambutan itu hendaklah ‘Disambut dengan jiwa yang merdeka’.

Tujuan lagu-lagu bertemakan Merdeka adalah untuk melahirkan semangat patriotik cintakan Negara yang menjurus kepada membina satu ‘Jiwa Merdeka’ yang menjadikan setiap warga bebas dan mampu membangun – duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi – dengan bangsa negara lain.

Justeru itu pada hemat saya, lagu Merdeka seharusnya bertitik tolak dari persoalan apakah makna patriotisme dalam erti kata sebenarnya.

Patriotisme adalah semangat cinta kepada bangsa dan Negara.

Seorang patriot akan melakukan yang terbaik untuk kepentingan Negara dan bukannya kepentingan individu atau sesuatu puak sahaja.

Apabila projek-projek dan pembelian harta kerajaan serta program penswastaan yang ditinggikan harganya berkali ganda dan diberikan secara murah dan mudah kepada kroni dan keluarga mereka yang berkuasa menggambarkan amalan korupsi yang merugikan rakyat dan memang bukan patriotik. Scorpene, NFC, Istijuara, PKFZ di antara senarai panjang yang bakal terpahat di dalam sejarah Negara sebagai penjarahan ekonomi besar-besaran.

Seorang patriot akan menuntut keadilan dan kesaksamaan di dalam segala peluang untuk merasai nikmat kemerdekaan termasuk nikmat kekayaan ekonomi dari bumi kita sendiri.

Bayangkan dianggarkan lebih RM1 trilion (RM1,000,000,000) telah dikeluarkan daripada sempadan Negara kita dan jika dikira dengan RM487 billion hutang Negara dan RM700 juta hutang isi rumah – membuktikan rakyat masih di’jajah’, di’jaja’ serta di’jarah’ kekayaan yang sepatutnya dinikmati semua rakyat.

Dan apabila Pakatan Rakyat mencadangkan penghapusan tol, pendidikan percuma, gaji minima, penurunan harga minyak dan penurunan harga kereta untuk kepentingan rakyat, ia mulanya dibantah dan disanggah oleh pihak kerajaan sebagai akan membankrapkan Negara (namun kemudiannya ada juga tol yang dihapuskan, perbincangan pendidikan percuma menjadi hangat, gaji minima ditetapkan, harga minyak RON97 turun, dan difahamkan turut ada perbincangan untuk menurunkan harga kereta). Bagaimana pula dengan ketirisan dan aliran keluar wang haram tadi yang nyata lebih mampu membangkrapkan kita semua?

Seorang patriot akan melawan segala usaha untuk memecahbelahkan rakyat termasuk penggunaan propaganda hitam yang bersifat fitnah dan cubaan menanamkan rasa takut.

Menyebut tentang propaganda hitam, berita terkini mengenai seorang wartawan barat bernama Joshua Trevino yang dipecat dari akhbar Guardian telah membongkarkan amalan kerajaan BN berbelanja besar sekitar RM94 juta untuk khidmat beliau melalui syarikat FBC di dalam menghasilkan rencana TV termasuk wawancara dengan pimpinan Negara yang disiarkan di dalam saluran BBC suatu ketika dahulu amat mengejutkan rakyat yang berjiwa merdeka.

Ini adalah kerana dakyah imej antarabangsa sebuah Negara merdeka yang hendak ditonjolkan bukan menggambarkan keadaan demokrasi sebenar Negara kita tetapi ingin mengabur mata dunia dengan propaganda yang bukan sahaja direka oleh syarikat FBC tetapi juga oleh syarikat APCO seperti yang diketahui umum.

Dan amat menghinakan patriot-patriot Negara adalah fakta bahawasanya kedua-dua syarikat ini – FBC dan APCO – ada hubungan rapat dengan sebuah Negara yang masih menjajah Palestin iaitu Israel.

Bukan sahaja pengarah-pengarah APCO terdiri daripada anggota risikan dan kerajaan rejim Israel tetapi pendedahan terbaru mengenai Joshua Trevino yang bertugas dengan syarikat FBC dahulu adalah wartawan Pro-Israel yang secara terang telah menyatakan galakan beliau untuk rejim Israel menggunakan kekerasan dengan menembak flotilla kemanusian ke Gaza pada 2011.

Tetapi, jika Negara masih di dalam belengu dijajah politiknya dan dijaja ekonominya – dimanakah perginya erti sebuah kemerdekaan?

(Rencana ini pertama kali diterbitkan di Sinar Harian, 28hb Ogos 2012)