Kenyataan Media
15 Oktober 2012
UNTUK SEBARAN SEGERA
Felda Holdings Berhad melalui anak syarikatnya Felda Palm Industries Sdn Bhd telah menghantar notis kepada penjual-penjual Fresh Fruit Bunches (FFB) bahawa ia tidak akan membayar harga penuh buah kelapa sawit. Kebanyakan dari penjual FFB kepada kilang-kilang Felda adalah peneroka-peneroka Felda.
Felda pada dasarnya akan mengabaikan harga pasaran dan sebaliknya membayar harga sekitar 10% lebih murahdari harga pasaran. Fomula mereka adalah berdasarkan harga pasaran CPO yang ditolak RM200 setiap ton metrik (MT).
Enam bulan yang lalu, CPO berada pada harga RM3 600/MT, kemudian merosot kepada RM2 250 /MT pada 2hb Oktober, dan kini sedang mula meningkat kepada RM2 500/MT. Namun, pada bulan lepas, para peneroka telah mula merasai keperitan disebabkan pendapatan mereka merosot sebanyak 50%. Bagi para peneroka, langkah terbaru Felda ini adalah bak kata pepatah Melayu,”sudah jatuh ditimpa tangga”.
Terdapat dua perkara di sini: satu adalah isu perundangan dan satu lagi adalah isu ketamakan korporat.
Pertama sekali, kami percaya bahawa ia adalah tidak adil dan satu langkah haram untuk secara “unilateral” memaksa diskaun terhadap para peneroka. Di dalam kebanyakan kes, Felda adalah pembeli tunggal FFB dari peneroka disebabkan kedudukan kilang yang berdekatan dengan ladang-ladang peneroka. Kebanyakan peneroka pula punyai kontrak untuk menjual hasil kepada Felda dalam usaha melangsaikan hutang mereka. Disebabkan itu, para peneroka tidak mempunyai pilihan untuk menjual FFB milik mereka kepada kilang-kilang lain. Ini merupakan satu bentuk monopoli yang mengikat peneroka dengan Felda. Pasukan guaman dari KEADILAN akan meneliti perkara ini secara terperinci seandainya terdapat pelanggaran dari segi undang-undang termasuk, dan tidak terhad kepada, Akta Persaingan.
Kedua, umum wajib mengetahui bahawa 51% saham Felda Holdings dimiliki para peneroka sementara hanya 49% dimiliki FGVH. Namun, notis tersebut telah diberikan dan ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Felda Global Venture Plantations (Malaysia) Sdn Bhd, sebuah anak syarikat FVGH. Mengapakah pemegang saham minority (FGV) mengatasi majoriti di dalam hal ini, sementara menetapkan diskaun yang memangsakan para peneroka? Langkah terbaru ini jelas dikelolakan FVGH dan menggambarkan bahawa bukan hanya para peneroka menjadi mangsa urus niaga yang teruk, para peneroka juga diminta memberikan subsidi kepada FGVH untuk menguntungkan para pemegang saham mereka. Jika harga CPO merosot, bukankah setiap pihak harus menanggung kerugian? Mengapakah para peneroka diminta mengambil lebih banyak tanggungjawab berbanding pihak lain? Ini adalah satu kes ketamakan korporat yang membuli para peneroka.
KEADILAN mencabar kerajaan untuk mengeluarkan amaran tegas kepada Felda dan FGVH supaya segera menarikbalik notis tersebut. Kami juga ingin menasihati para peneroka supaya menyedari mereka sebenarnya mempunyai kepentingan majoriti di dalam Felda Holdings.Tawaran KEADILAN kepada semua peneroka adalah untuk membantu mereka dalam menuntut agar notis tersebut ditarikbalik. Langkah ini sehaluan dengan Belanjawan Pakatan Rakyat 2013 yang menganjur jaringan sosial keselamatan yang komprehensif untuk warga luar bandar termasuklah peneroka.
NURUL IZZAH ANWAR
Ahli Parlimen Lembah Pantai, merangkap
Naib Presiden, Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN)