8 Januari 2013
Saya percaya setiap ahli politik perlu melihat dan menilai sesuatu perkara dari kaca mata seorang pengundi. Oleh itu sebagai seorang Muslim, Melayu, wanita, ibu dan wakil generasi muda; berdasarkan Daftar Pemilih terkini, wanita merangkumi 50.19 peratus jumlah pengundi keseluruhan – memberikan golongan kami kuasa memilih yang besar tetapi juga tanggungjawab sama besar dalam menentukan masa depan negara lebih baik.
Mengikut pandangan lazim, seorang pengundi akan menggunakan akal dan analisa, diganding dengan perasaan hati, kadangkala emosi dalam membuat pilihan di peti undi.
Paling mencabar adalah memberikan ruang mengguna akal fikiran untuk atasi sentimen perasaan emosi yang mudah diapi-apikan dengan isu menakutkan melalui hujah perkauman, agama atau kehilangan kuasa kelompok.
Dalam Islam, kita disaran tidak menurut nafsu atau perasaan hati yang tidak berpaksikan pemikiran tenang dan menilai semua fakta sesuatu perkara mengikut prinsip kemuliaan dan kebenaran.
Justeru, pada pilihan raya umum akan datang, bagaimana seorang Muslim, Melayu, wanita, ibu dan generasi muda, malah semua pengundi membuat penilaian dan menjalankan tanggungjawab perlu berdasarkan apakah akan menjamin masa depan semua, terutama untuk anak-anak, pewaris negara nanti.
Dengan itu mungkinkah persoalan-persoalan berikut memberikan garis panduan untuk berfikir secara rasional dan bukan mengikut emosi dalam membuat pilihan terbaik? Siapakah lebih beriman, berilmu dan beretika mewakili rakyat membentuk sebuah kerajaan yang akan membela hak rakyat dan tidak mengutamakan kroni dan keluarga dalam pemberian projek berbilion ringgit?
Siapa yang akan hapuskan gejala rasuah yang membarah dan menjarah harta rakyat? Siapa lebih beramanah, bertanggungjawab dan berkebolehan mengurus pentadbiran kerajaan tanpa pembaziran dan penindasan?
Siapa dapat menjamin masa depan anak-anak yang diamanahkan dengan merangka sistem pendidikan, termasuk pendidikan percuma agar modal insan negara lebih berdaya maju dan kompetitif dalam dunia penuh cabaran?
Siapa lebih mampu mengurus ekonomi negara agar kewangan seimbang dan bukan defisit – hutang negara dikurangkan – projek dan pembelian harta kerajaan tidak mahal serta membazir – dasar ekonomi yang telus, adil dan berdaya maju?
Siapa dapat menurunkan harga barang, minyak, kereta, rumah yang akan memberikan kesejahteraan dan keadilan ekonomi untuk semua? Siapa akan perkasakan wanita dan golongan ibu dengan skim caruman wanita tahunan – kemudahan penjagaan anak tersusun – peningkatan penglibatan wanita dalam pucuk kepimpinan dan pemberian peluang merapatkan jurang jantina dalam semua sektor pekerjaan?
Siapa dapat upayakan generasi muda dengan peluang pekerjaan, pendidikan, perniagaan dan kepimpinan dalam membangunkan masyarakat dan negara? Siapa dapat menjamin keselamatan dan membendung kadar jenayah yang semakin tinggi dengan menumpukan tenaga anggota keselamatan lebih kepada memerangi penjenayah dan bukan merisik rakyat?
Siapa dapat beri yang terbaik untuk penjawat awam dari segi memberikan ruang menjalankan tugas secara profesional tanpa gangguan politik – kemudahan hidup – skim gaji dan kenaikan pangkat yang adil?
Siapa dapat menyemak semula dan memperbaiki hak milik tanah peneroka Felda, tanah Kampung Baru Kuala Lumpur serta hak pemilik tanah mahupun perumahan rakyat di seluruh negara agar tidak menjadi mangsa pengambilan tanah untuk keuntungan golongan korporat?
Siapa akan melaksanakan skim gaji minimum yang mampu memberikan rasa terjamin dan kemampuan menyara keluarga tanpa perlu berhutang dengan bank atau ah long setiap bulan?
Siapakah akan menyatukan rakyat majmuk dengan memelihara keseimbangan hak setiap kaum berdasarkan Perlembagaan Persekutuan serta institusi raja-raja Melayu dengan lebih saksama dan harmoni?
Akhir sekali, rakyat wajib menilai pihak mana berusaha memberi fakta agar rakyat dapat berfikir dan pihak mana pula hanya guna sentimen dengan berbagai konspirasi menakutkan atau membangkitkan amarah dan emosi dalam menghadapi PRU?
Jawapannya mungkin terletak pada siapa sedia berdebat dan siapa tidak mahu berdebat agar rakyat tahu siapa patut diberikan amanah mewakili rakyat membina Malaysia lebih baik untuk semua. Tahun baru, pilihan baru!
Dipetik dari Sinar Harian
http://www.sinarharian.com.my/kolumnis/tahun-baru-pilihan-baru-1.118965