NURUL IZZAH ANWAR
Sinar Harian
1 Oktober 2013
Kita diingatkan tentang masa menerusi Firman Allah SWT di dalam surah al-Asr;
“Demi Masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian.Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.”
Terkandung di dalam Surah Al Asr keperluan meneruskan usaha menyebar kebenaran – walau pahit, walau dicemuh dengan penuh kesabaran. Begitulah pegangan yang dituntut pada akidah tauhid dan usaha melaksanakan tuntutan agama berpandukan Maqasid Syariah. Maqasid Syariah – yang secara umumnya boleh dinukil menerusi 5 prinsip Islam yang asas – dari menjaga dan memelihara agama, jiwa, akal, keturunan dan juga harta – merupakan tunggak syariah dalam usaha mewujudkan kebaikan, menolak keburukan dan mengelakkan kemudaratan.
Surah ini juga membuat kita merenung konsep ‘masa’ dalam kehidupan di alam fana ini, sementara menuju ke alam baka yang kekal selama-lamanya.
Masa yang lalu tidak akan kembali. Masa depan belum tiba lagi dan hanya masa kini yang kita ada; Persoalannya adalah masa untuk apa?
Oleh kerana masa itu menjadi pengukur pengisian kehidupan, kita harus memandang ke hadapan demi membina serta memenuhi masa kehidupan agar ia lebih baik, lebih bermakna dan lebih diberkati hendaknya.
Maka kita disaran memiliki nawaitu untuk menjadikan hari esok lebih baik dari hari ini.
Aspirasi untuk masa depan memerlukan kita menjangka serta merangka rupa bentuk masa depan yang lebih baik.
Kaedah pemikiran yang kehadapan (futuristic thinking) dengan memikirkan implikasi sesuatu tindakan di dalam sesuatu situasi atau ‘Maalat al-Af’al’ menjadi asas kepada pendekatan ‘Fiqh Tawaqqu’ dalam penulisan Sheikh Abdullah Ben Bayyah yang bermata airkan perbahasan al-Imam al-Syatibi dalam kitab beliau yang popular, iaitu al-Muawafaqat.
Di sini Fiqh membawa maksud memahami sesuatu perkara. Dari segi syarak pula, Fiqh bererti pengetahuan tentang hukum-hukum syarak yang berkaitan dengan perbuatan mukallaf yang difahami melalui dalil-dalil tafsili.
Hasil daripada gabungan Fiqh dengan Tawaqqu’, maka terbentuklah satu istilah yang tersendiri iaitu ‘Fiqh Tawaqqu’ yang membawa definisi ilmu tentang kaedah-kaedah mengistinbat hukum-hukum syarak yang sesuai dengan zaman masa depan.
Oleh demikian, kita harus menjangka keadaan yang akan berkembang menjadi satu kemudaratan di masa depan dan berusaha mengurangkannya dengan tindakan-tindakan sewajarnya dari sekarang.
Pada masa yang sama usaha menjadikan hidup kita agar ‘lebih baik’ sudah tentu memerlukan ‘perubahan’ iaitu islah. Dan maksud islah dalam konteks pembangunan negara kita adalah ‘reformasi’.
Reformasi yang bererti perubahan ke arah yang baik menjadi satu bentuk jihad untuk membawa kebaikan dan keberkatan sejagat.
Dari semua ini, dapat saya rumuskan bahawa manusia bertanggungjawab terhadap penggunaan masa melalui pendekatan ‘Fiqh Tawaqqu” dengan berjihad melalui ‘islah’ yakni perubahan atau reformasi didalam mengisi dan membina kehidupan masa depan yang lebih baik berpandukan Maqasid Syariah.
Pada hemat saya, pendekatan ini dapat membawa nafas baru kepada Politik Islamiyah lebih-lebih lagi pada pasca-Kebangkitan Dunia Arab atau ‘Arab Spring’ yang berusaha mendemokrasikan negara arab yang sudah lama dibelenggu autokrasi walaupun pendemokrasian tersebut sudah mengundur ke belakang atau ‘regressive’ – semuanya gara-gara tidak memahami asas-asas Maqasid Syariah.
Suasana politik tanah air pasca Pilihanraya Umum ke 13 juga menampakkan unsur-unsur pengunduran pendemokrasian dengan usaha mengembalikan undang-undang drakonian mirip ISA sekarang serta pengekalan dasar-dasar perkauman di dalam politik, pendidikan dan ekonomi negara.
Persoalannya adalah, apakah bentuk masa depan negara dengan pengunduran pendemokrasian itu dan adakah ia akan membawa lebih kemudaratan daripada kebaikan untuk rakyat?
Sekiranya rasuah dibenarkan terus berkembang seperti sekarang sudah tentu di masa depan ia akan membangkrapkan negara, melebarkan jurang kemiskinan, menaikan harga barang, menyempitkan peluang pekerjaan serta perniagaan dan memaksa majoriti rakyat bergantung kepada bantuan kewangan tahunan untuk kelangsungan kehidupan.
Sekiranya proses pilihanraya terus berat sebelah seperti sekarang sudah tentu implikasinya di masa depan akan merugikan negara dan rakyat bilamana undi majoriti 52% tidak ada makna dan dengan hanya 17% undi mewakili 112 kerusi dapat membentuk kerajaan adalah menafikan hak demokrasi sebenar.
Sekiranya kualiti pendidikan terus merudum dan kos pendidikan pula melambung tinggi sudah tentu implikasinya di masa depan adalah kemerosotan daya saing dan keupayaan anak-anak kita terus membangunkan ekonomi dalam suasana global yang mencabar.
Sekiranya sistem Parlimen tidak dibenarkan berfungsi sebagai penimbang-tara kepentingan suara rakyat dalam konsep pemisahan kuasa berperlembagaan melalui jawatankuasa tetap untuk memantau kementerian-kementerian serta projek-projek mega maupun Parlimen diberikan kuasa meratifikasikan perjanjian-perjanjian antarabangsa seperti Perjanjian Trans-Pasifik, sudah tentu implikasi untuk masa depan bakal mudarat.
Saya yakin jawapan untuk membina masa depan yang lebih baik dan mengelakkan kemudaratan terletak pada pendekatan Fiqh Tawaqqu’ yang akan menaikkan martabat Islam sebagai agama alam sejagat dalam semua bidang termasuk politik kenegaraan dahulu, sekarang dan selama-lamanya.
Masa depan adalah milik kita jika kita bertindak sekarang untuk mengatasi kemudaratan yang nyata dibawa pihak yang leka tanggungjawab dan lupa akhirat.
Maka, jadikanlah masa depan, masa kita!
Dipetik dari:
http://www.sinarharian.com.my/karya/pendapat/masa-depan-masa-kita-1.207312