NURUL IZZAH
27 November 2013
KADANGKALA kita lupa segala apa yang berlaku ada hikmahnya, perancangan teliti telah dibuat oleh yang maha Esa. Noktah hitam yang jelas; pemecatan dan seterusnya fitnah berlaku kepada ayahanda, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998 mempunyai hikmah tersembunyi.
Selepas kita merentasi duka dan lara pimpinan utama yang terpenjara, Parti Keadilan Nasional telah bangkit untuk melakar sejarah mengejutkan masyarakat; majoritinya Melayu penyebab undi buat Umno jadi kerdil dan minoriti – untuk bersama-sama berjuang demi Malaysia lebih baik bersama-sama pembangkang pada pilihan raya 1999.
Kebangkitan ini diserlahkan dengan kejatuhan Barisan Nasional (BN) di Terengganu dan Kelantan.
Benar, sebelum pada itu, bibit-bibit kesedaran telah pun ada pada masyarakat Melayu, dan pilihan raya umum pada 1990 membuktikannya. Parti Semangat 46 dipimpin Tengku Razaleigh Hamzah menjadi salah satu daripada pencetus kesedaran politik Melayu moden. Hasil kerjasama Pas-Semangat 46 membentuk Angkatan Perpaduan Ummah (APU) telah menghadiahkan Kelantan kepada pembangkang.
Pun begitu pilihan raya 2004 sukar bagi Parti Keadilan Rakyat (PKR). Bermula dengan keengganan Pendaftar Pertubuhan mendaftarkan PKR sebagai sebuah NGO yang sah sehinggalah selepas keputusan pilihan raya melihatkan PKR hanya tinggal sebuah kerusi Parlimen sahaja. Namun, angin perubahan tetap dapat dirasai dengan pengunduran Dr Mahathir daripada tampuk teratas pimpinan negara.
Keadilan sosial inilah menjadi pembakar semangat untuk menyerlahkan lagi suara wanita dalam negara kita. Selepas menjadi parti yang benar-benar pelbagai kaum, PKR kini menongkah arus ke arah memperkasakan suara wanita dalam parti, dengan meminda perlembagaan parti untuk memastikan sekurang-kurangnya 30 peratus penglibatan mereka dalam kepimpinan parti dan membuat keputusan.
Sedari awal – selangkah dengan program mikrokredit yang dipinjamkan hanya untuk para ibu; Skim mikrokredit ini, yang diperincikan oleh Prof Muhammad Yunus menerusi Grameen Bank mensasarkan pinjaman kepada kaum ibu, dengan lebih 95 peratus daripada jumlah peminjam adalah wanita.
Saya berkesempatan bertemu beliau, si pemenang anugerah Nobel 2006, beliau menjelaskan mengapa pinjaman diberi rata-rata hanya kepada wanita – apabila diberikan dana untuk melakukan perniagaan, keseluruhan keluarga akan mendapat manfaat terbaik daripada pinjaman tersebut.
Kejayaan skim Prof Muhammad dalam membantu memperkasakan wanita mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila beliau bersama-sama dengan Grameen Bank memenangi Anugerah Nobel.
Saya cuba mengaplikasikan idea ini di Lembah Pantai menerusi program bantuan makanan MyKasih yang hanya diberikan kepada ibu-ibu sahaja. Sayang sekali, kami hanya mampu membuat program ini secara kecil-kecilan, kerana dana masih lagi disalurkan kepada BN!
Dengan visi membantu masyarakat miskin bandar, kerajaan negeri Selangor di bawah pimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim memperkenalkan skim MiMBAR. Skim ini mensasarkan peserta yang benar-benar layak untuk mendapat pinjaman mikro serta bantuan peningkatan daya saing melalui pelbagai kursus.
PKR juga mengangkat martabat anak muda dalam arena politik moden, dan aspirasi pemimpin masa depan ini diiktiraf dengan mengehadkan mereka berumur 35 tahun ke bawah sahaja dalam Angkatan Muda Keadilan. Kita mesti akur, anak muda adalah masa depan kita dan peluang mestilah diberikan untuk mereka mengasah bakat serta kebolehan memimpin.
Sabah dan Sarawak yang selama ini dipinggirkan oleh BN juga mendapat suara penting dalam kepimpinan parti. Dalam pemilihan seterusnya, salah seorang daripada naib presiden parti mestilah dari Sabah atau Sarawak; komitmen parti kepada kebajikan serta pemerkasaan rakyat di kedua-dua negeri tersebut.
Dengan keputusan dan pindaan perlembagaan parti yang progresif, PKR berserta rakan Pakatan Rakyat yang lain bersedia menggantikan BN. Sudah ramai yang menyahut panggilan ini. Sama-sama kita melangkah ke arah Malaysia yang lebih baik.
Insya-ALLAH!
Artikel ini dipetik dari:
http://www.sinarharian.com.my/kolumnis/melangkah-ke-masa-hadapan-1.224825