Skip to main content
Press Release

UMNO PARTI MENGGELAPKAN MASA DEPAN MELAYU

By 8 December, 2013February 18th, 2020No Comments

UNTUK SEBARAN SEGERA
KENYATAAN MEDIA

Perhimpunan Agung UMNO sudah berlangsung tetapi malangnya masih belum kelihatan kesungguhan daripada para pemimpin UMNO untuk membangkitkan isu-isu semasa yang ketara yang akan menggelapkan masa depan Melayu.

Pertama; Orang lain berhutang boros, rakyat kena bayar.

Isu peningkatan kos sara hidup yang semakin menekan rakyat kebanyakan tidak langsung diambil endah, malahan, Presiden UMNO, Dato’ Seri Najib Tun Razak masih mengekalkan retorik lamanya dengan pendekatan, “rakyat perlu terus bersabar dan berkorban untuk keutuhan kewangan negara.”

Baru-baru ini, agensi penarafan antarabangsa Moody’s telah menaikkan taraf kredit Malaysia kepada A3, dilaporkan atas dasar penyatuan dan pembaharuan fiskal yang berkemungkinan semakin baik, disebabkan langkah-langkah penstrukturan semula subsidi yang telah diambil oleh kerajaan. Persoalan yang gagal diketengahkan di Perhimpunan Agung UMNO adalah, bagaimana pengadaran kredit Malaysia diturunkan terlebih dahulu? Mengapalah tidak seorang pun pemimpin atau delegasi yang membangkitkan kesan dari ketirisan, korupsi dan pemborosan salah urus ekonomi ini?

Akibat keborosan dan ketirisan pemerintah, rakyat terpaksa menanggung melalui ‘cukai pemiutang’’ seperti GST, kenaikan harga petrol, gula, tarif letrik dan cukai pintu DBKL yang berganda pada tahun depan – untuk menaikkan taraf kredit negara untuk membolehkan lebih banyak hutang negara diserahkan kepada mereka yang terpilih dalam Agenda Pemerkasaan Ekonomi Melayu (elit UMNO).

Rakyat sudah pun jelas dan tahu seperti yang diumumkan mantan Presiden UMNO Tun Dr.Mahathir bahawa Najib dan konco-konconya adalah perasuah besar kerana rasuah sekarang dibawah Najib dikatakan berganda lagi dasyat berbanding zaman beliau memerintah.

Apakah membasmikan barah rasuah tidak penting bagi UMNO?

Kedua; Orang menjerit gagah, negara tergadai membisu.

Jeritan-jeritan 1Melayu jelas menunjukkan sikap paranoia yang sengaja melepas pandang isu keselamatan serta pembelaan kedaulatan negara yang seharusnya diutamakan.

Perakuan bersumpah Datuk Mat Zain Ibrahim mengenai kedaulatan negara ke atas Pulau Batu Putih, pencerobohan wilayah Malaysia oleh para pengganas Sulu, isu pemberian kad pengenalan biru dan pembunuhan warga Taiwan di Sabah langsung tidak mendapat perhatian.

Saya masih lagi tidak melihat mana-mana pemimpin atau perwakilan yang menuntut agar isu TPPA yang bakal merobah arena ekonomi tempatan melalui ‘penjajahan ekonomi’, termasuk ekonomi Melayu Bumiputra sendiri didebatkan secara khusus.

Apakah keselamatan dan kedaulatan negara tergadai tidak penting bagi UMNO?

Ketiga; Orang belajar tinggi, rakyat dididik rendah

Isu kemerosotan kualiti pendidikan seperti yang dilaporkan dalam kajian PISA tidak mendapat perhatian sepenuhnya. Apakah perasaan ibubapa apabila mendapat tahu bahawa anak-anak dari Singapura, Korea Selatan dan Vietnam dari darjah 5 dan 6 berpendidikan sataraf dengan para pelajar Tingkatan 3 dari negara kita.

Kegagalan dalam meningkatkan mutu dan pencapaian pendidikan agar kekal bersaing secara global akan terus menggelapkan masa depan anak-anak kita yang akan mewarisi kadar gaji yang malar dan budaya berhutang semata-mata untuk menyara kos hidup yang semakin meninggi.

Masa depan anak-anak Melayu nampaknya perlu terus dibantu ibubapa dengan menumpang rumah, meminjam belanja dan berkongsi kereta.

Apakah pendidikan berkualiti untuk berpendapatan tinggi tidak penting bagi UMNO?

Kesimpulannya, UMNO hanya selesa berada dalam kepompong atau tempurung dan tidak mahu berfikir tentang cara-cara untuk memajukan negara secara keseluruhan melainkan memusatkan kuasa dan kekayaan melalui berbagai usul-usul dan penjenamaan semula dasar ekonomi hanya untuk kepentingan ahli UMNO terpilih sahaja.

Jelas, masa depan Melayu dan Malaysia akan terus menggelap dibawah UMNO jika tidak melaksanakan rekonsiliasi nasional agar usaha melibatkan secara inklusif semua pihak dapat membina masa depan yang cerah.