Skip to main content
Press Release

RAKYAT MEMERLUKAN KUMPULAN WANG SIMPANAN PETROLEUM

By 20 February, 2014February 18th, 2020No Comments

KENYATAAN MEDIA
UNTUK KELUARAN SEGERA

RAKYAT MEMERLUKAN KUMPULAN WANG SIMPANAN PETROLEUM

Minggu lepas, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan dividen terbesar sejak tahun 2000; berjumlah 6.35 peratus bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Disember 2013. Pengumuman ini telah meletakkan KWSP sebagai salah satu institusi kewangan yang paling menguntungkan lagi berprestasi tinggi dalam negara.

Kejayaan KWSP mengingatkan saya kepada khazanah petroleum yang diwarisi warga Norway. Kerajaan Norway juga berjaya mewujudkan sebuah Dana Persaraan; iaitu Government Pension Fund – Global, yang berjaya, sekitar Januari 2014 melahirkan warga Norway yang ‘jutawan’, hasil pengurusan kekayaan khazanah petroleum yang bijak, berhemah dan futuristik. Dengan kenaikan harga bahan api pada tahun 2013, Tabung Global Norway telah mencatatkan keuntungan bernilai RM2.7 trillion – antara tabungan terbesar di dunia.

Ternyata, Norway tidak bersendirian dalam pewujudan Tabung Petroleum dalam menjamin masa depan rakyatnya. Malaysia juga pada 19 Februari, 1988 telah mewujudkan Kumpulan Wang Amanah Negara di bawah National Trust Fund Act 1988 (Act 339).

KWAN dikelola oleh Bank Negara dan bertujuan untuk memastikan penggunaan khazanah petroleum yang optimum dan berpanjangan buat rakyat Malaysia. Pun begitu, dana yang kebanyakannya disalur dan disumbang oleh Petronas [yang menyumbang RM1 bilion pada Mac 2012]

Pelaburan khazanah petroleum mampu melahirkan pulangan yang amat besar seperti mana yang telah dilakukan di Norway. Kerajaan tidak boleh berpuas hati cuma dengan sumbangan Petronas kepada Kumpulan Wang Amanah Negara, kerana menurut kenyataan Perdana Menteri pada 2011, KWAN cuma bernilai RM5.43 billion! Bandingkan angka ini dengan RM2.7 trillion yang dipunyai oleh Norway; ternyata kita jauh ketinggalan. Masalah utama dana KWAN adalah syarat dan terma penggunaannya mampu dikawal Perdana Menteri – termasuklah dalam membiayai pembangunan Putrajaya atau apa-apa pembangunan infrastruktur yang dipersetujui oleh Ketua Eksekutif.

Justeru, saya ingin mencadangkan supaya Kerajaan Malaysia mengambil inisiatif untuk menubuhkan Tabung Hasil Minyak Negara dengan segera, sekiranya tidak mampu menjaga tabungan KWAN untuk pelaburan sejati masa depan rakyat Malaysia. Bayangkan sekiranya Tabung ini dijaga pelaburannya sejak penubuhannya pada 1988, barangkali masalah ekonomi yang sedang dihadapi oleh negara pada ketika ini tidak akan timbul.

Semenjak Petronas ditubuhkan, Kerajaan telah mendapat keuntungan lebih daripada RM700 billion – merangkumi 40 tahun lepas.

Wang ini sekiranya dapat dilaburkan dengan bijak seperti yang dilakukan oleh KWSP, sudah tentu akan memberikan pulangan yang besar kepada rakyat, dan bakal memberi perlindungan kepada ekonomi Malaysia, yang pada ketika ini terumbang-ambing akibat ketidak-stabilan ekonomi sedunia.

Petronas tidak boleh terus-menerus dijadikan sebagai tabung peribadi Perdana Menteri dan anggota kabinetnya, dengan penggunaan hampir 40 peratus daripada hasil pendapatan yang dijana oleh hasil petroleum dalam belanjawan; berbanding dengan Norway yang cuma membenarkan 4 peratus digunakan. Hakikat sebegini menunjukkan seolah-olah kerajaan tidak sedar bahawa sumber kekayaan hasil minyak ini akan kering akhirnya.

Sebagai langkah awal, saya akan membangkitkan cadangan penubuhan Tabung Hasil Minyak Negara Malaysia yang tidak boleh dipengaruhi penggunaannya oleh mana-mana Perdana Menteri untuk projek gajah putih; tetapi bersyarat hanya untuk pelaburan masa depan rakyat. Tabung Hasil Minyak Negara juga diletakkan di bawah seliaan parlimen dan hanya boleh disalurkan waktu darurat menerusi undi majoriti dua pertiga ahli Dewan Rakyat. Cadangan ini perlu mendapat sokongan dwipartisan demi masa depan generasi akan datang yang lebih terjamin dan terpelihara.

NURUL IZZAH ANWAR
AHLI PARLIMEN LEMBAH PANTAI
NAIB PRESIDEN KEADILAN