Skip to main content
Penerbitan

Kepentingan Nasional atau Kepentingan Barisan Nasional?

By 25 February, 2014February 18th, 2020No Comments

Menurut Blog Rasmi Jabatan Peguam Negara, Kepentingan Nasional bermaksud:
“kepentingan negara secara khusus…perkataan Nasional adalah merujuk kepada negara dan kebangsaan. Kepentingan nasional ialah keutamaan yang perlu wujud dalam sesebuah negara bagi menjamin kestabilan dan kemantapan proses berorganisasi. Prinsip asas kepentingan nasional ialah menjadikan negara dan bangsa sebagai fokus terpenting serta lebih mementingkan hak asasi sejagat bagi setiap warganegara seperti pendidikan, pembangunan, keselamatan, ekonomi dan hak-hak sosial serta perpaduan masyarakat berbilang kaum..”

Tema ini sering digunapakai oleh kerajaan persekutuan yang sedia ada – dan terbaru, dalam menjawab persoalan kelewatan pembinaan serta operasi Lapangan Terbang KLIA2; termasuklah peningkatan kos yang bermula dengan RM 1.8 bilion, kini RM 4 bilion.

Bak kata Pemangku Menteri:

“Pihak yang terlibat dalam pembinaan dan operasi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) diminta meletakkan kepentingan nasional bagi menjayakan permulaan operasinya pada 2 Mei ini.”

Walau dari pembacaan kasar tentunya saya suka dengan usaha mengutamakan kestabilan negara; namun tanpa pemimpin yang seiring meletakkan kepentingan nasional sebagai prasyarat pelaksanaan kerja dan tanggungjawab, maka terma kepentingan nasional tidak akan bermakna.

Pertama, dalam menyamakan kepentingan negara dengan kepentingan wakil Barisan Nasional, prasyarat utamanya adalah pemulihan demokrasi negara. Ketika ini, Suruhanjaya Pilihanraya diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Kepentingan pilihanraya itu seolah-olah milik dan kepentingan Perdana Menteri; hakikat ini merupakan sebuah konflik kepentingan yang begitu besar.

Justeru, dapatlah Memanda Perdana Menteri menggunakan kuasa untuk menentukan arah tuju dan keputusan suruhanjaya ini mengikut kepentingan partinya. Keputusan Pilihanraya Umum ke-13 yang berlangsung telah menjurus kepada senario sebegini; di mana Barisan Nasional telah berjaya menubuhkan kerajaan dengan cuma 47 peratus undi popular.

Suruhanjaya Pilihanraya, institusi yang melindungi sistem pilihan rakyat; pimpinan dan hierarkinya, perlu dirombak.

Kedua, institusi pilihanraya yang independen perlu diganding dengan media yang bebas, adil dan sihat mengkritik pimpinan politik demi kepentingan rakyat.

Di negara jiran, Indonesia, sering disebut bahawa pers (media) memiliki kemampuan untuk mempengaruhi masyarakat luas – kemampuan yang memberi kesan kepada kestabilan ekonomi politik yang berkait dengan kepentingan nasional.

Telah acap kali saya nyatakan sebelum ini, media yang bebas dan adil adalah aspek yang amat mustahak untuk sebuah demokrasi yang sihat. Media yang bebas dan adil menggalakkan pertukaran pendapat secara sihat, dan memberikan peluang kepada semua parti untuk menerangkan dengan terperinci idea-idea serta apakah polisi yang akan diterapkan sekiranya terpilih untuk memimpin negara, untuk membawa negara ke paras yang lebih tinggi dari pelbagai segi, termasuk kesejahteraan dan kemakmuran rakyat jelata. Penerangan juga perlu dalam mengelak keruntuhan Stadium Sultan Mizan, kerugian hampir RM12 bilion projek PKFZ, kelewatan operasi KLIA2 dan kegagalan penternakan NFC secara keseluruhan bernilai RM 250 juta.

Demi kepentingan nasional, undang-undang yang menyekat kebebasan media termasuk Akta Mesin Cetak dan Percetakan (PPPA 1984) harus dimansuh. Akta ini secara langsung memberikan kuasa kepada kerajaan untuk menyekat mana-mana pihak daripada menerbitkan akhbar mereka sendiri. Sudah tentu kuasa ini akan digunakan untuk menyekat mereka yang dilihat sebagai mengkritik kerajaan.

Ketiga, demi kepentingan nasional jua, prinsip federalisme yang sebenar harus terlaksana. Pemusatan kuasa oleh kerajaan perlu dipecahkan untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi dengan lebih pesat dan lebih meluas kesannya. Demi kepentingan nasional, kekayaan negara ini perlu dikongsi dengan lebih adil, dengan nisbah 60:40 yang mana 40 peratus daripada cukai yang dikumpulkan oleh kerajaan pusat harus dikembalikan kepada kerajaan negeri untuk perancangan pembangunan di peringkat kerajaan negeri. Kerajaan negeri perlu diberikan kuasa untuk menentukan arah tuju pembangunan di negeri mereka sendiri.

Keempat, demi kepentingan nasional, yang memulangkan hak berpendidikan kepada rakyat, Sistem Pengurusan Sekolah (SPS) dan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang diperkenalkan beberapa tahun dahulu seharusnya diteliti dahulu sebelum dilaksana.

PBS mengakibatkan guru-guru yang sepatutnya bertumpu kepada silibus yang perlu diajar; sebaliknya melakukan kerja-kerja pengkeranian. Apa sudah terjadi dengan Jawatankuasa Khas Kaji Beban Guru – hanya bernyawa ikan dengan rangka yang rapuh?

Demi kepentingan nasional, reformasi pendidikan perlu dijalankan sekarang. Saya pernah mencadangkan satu Majlis Perundingan Pendidikan Kebangsaan yang melibatkan semua pihak berkepentingan termasuk ibubapa, ahli politik, badan-badan bukan kerajaan dan pakar-pakar antarabangsa ditubuhkan untuk menggariskan halatuju pendidikan yang terbaik secara adil dan telus. Ini juga termasuk memberikan semua laporan-laporan pakar dunia pendidikan yang disimpan kerajaan ketika merangka Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 – 2025 untuk penelitian rakyat.

Kepentingan nasional amat penting, dan janganlah cuma bermain di bibir pemimpin.

WS Rendra pernah berkata: Perjuangan adalah pelaksanaan kata-kata.

Apabila kepentingan nasional digerakkan oleh pemimpin, maka kepentingan nasional dan bukannya kepentingan Barisan Nasional diutamakan. Menteri akan diadili dengan kemampuan menyelamatkan wang rakyat, meluluskan bangunan serta bumbung yang tidak runtuh; hospital yang tidak retak, lantas menyediakan prasarana yang selamat, stabil dan mensejahterakan rakyat.

Sebagai tanda bukti kepada kesungguhan ini, satu usul dwipartisan di persidangan parlimen pada bulan Mac akan datang boleh dibuat untuk menubuhkan sistem Jawatankuasa Tetap Parlimen di dalam dasar fiskal, pertahanan, keselamatan dalam negeri, pengangkutan, dan kesihatan, antara lain. Bukankah hak-hak asasi ini sekiranya dipertahan akan membawa kepada kestabilan dan kesejahteraan rakyat, atau dalam kata lain, kepentingan nasional? Demi kepentingan nasional, telitilah kata-kata dalam laman web Peguam Negara wahai Memanda Perdana Menteri!