Skip to main content
Penerbitan

Malaysia Jaguh Kampung Bidang Akademik?

By 25 March, 2014February 18th, 2020No Comments

Buat kesekian kalinya kita mendapat khabar keputusan SPM yang baik, dan memberangsangkan.

Secara keseluruhan, keputusan SPM 2013 adalah lebih baik jika dibandingkan dari segi keputusan Gred Purata Negara (GPN), iaitu pada 4.93 mata berbanding dengan 5.08 mata pada tahun 2012 (purata yang lebih kecil menunjukkan keputusan yang lebih baik).

Lebih ramai pelajar yang berjaya mendapatkan keputusan cemerlang A dalam semua subjek iaitu 13,970 pelajar berbanding 13,720 iaitu peningkatan sebanyak 0.05 peratus dari tahun sebelumnya.

Pun begitu, samada keputusan ini mencerminkan keadaan sebenar pendidikan awam kita amatlah diragui. Maklumat mengenai markah lulus dan gred dalam peperiksaan ini dikategorikan sebagai rahsia dibawah Akta Rahsia Rasmi. Bagaimanakah kita boleh menilai prestasi pelajar kita sekiranya kita tidak mengetahui markah yang sebenar yang didapati oleh pelajar-pelajar kita?

Satu lagi statistik yang amat menggusarkan ialah sebanyak 68,208 orang calon SPM gagal dalam peperiksaan itu, dengan 128 orang calon gagal dalam semua mata pelajaran yang diambil. Begitu ramai pelajar kita tidak dapat menguasai peringkat pembelajaran menengah. Tidakkah ini menunjukkan kepada kita yang sistem pendidikan negara kita berada dalam sebuah krisis yang semakin meruncing?

Sebaiknya kita juga membandingkan prestasi negara di peringkat antarabangsa; Hal ini kerana; bila masa kita membandingkan dengan negara-negara lain, contohnya dalam keputusan Trends in International Mathematics and Science Study (TIMMS) dan Programme for International Student Assessment (PISA), hakikatnya berlainan sama sekali. Prestasi pelajar Malaysia dalam bidang Matematik dan Sains menurut laporan TIMMS turun dari tahun ke tahun. Dalam matapelajaran Matematik, pelajar Malaysia telah mendapat markah purata sebanyak 519 pada tahun 1999, dan turun ke 410 pada tahun 2011. Bidang sains juga begitu dengan 492 markah pada 1999 dan turun ke 426 pada tahun 2011.
Kita semua sudah sedia maklum dengan keputusan PISA pada tahun 2012 yang meletakkan Malaysia dibawah sesetengah negara yang jauh lebih miskin. Vietnam umpamanya, telah memperlihatkan prestasi yang amat memberangsangkan sekali. Singapura jauh meninggalkan kita. Walaupun kita berkongsi sejarah, tetapi, perbezaan prestasi pelajar Malaysia dan Singapura bagaikan langit dan bumi.

Jelas pelajar Malaysia jelas tidak boleh bersaing diperingkat antarabangsa. Persoalan saya, adakah keputusan SPM ini dimanipulasikan oleh kerajaan untuk mengabui mata rakyat?

Penilaian Berasaskan Sekolah yang cuba diimplementasikan di sekolah lebih banyak membawa masalah. Apabila kebanyakan perkara yang telah mendapat bantahan daripada guru dimansuhkan oleh Kementerian, saya tertanya-tanya kenapakah pihak kementerian tidak melibatkan tenaga pengajar dalam merangka sistem PBS ini? Terbukti, maklum balas yang mereka kemukakan amat berguna dalam merangka polisi tersebut, seharusnya kerajaan perlu melibatkan guru-guru sebelum sesuatu polisi itu diterapkan secara meluas.

Laporan The Malaysian Insider pada 6 Mac 2014 juga menyebutkan kegagalan untuk universiti-universiti Malaysia untuk disenaraikan dalam senarai universiti terbaik Times Higher Education World Reputation. Menurut laman web Times Higher Education, tidak ada sebuah pun universiti di Malaysia yang disenaraikan dalam senarai 400 universiti terbaik di dunia.

Sebagai perbandingan, 5 universiti terbaik di Asia ialah The University of Tokyo dari Jepun menduduki tangga ke 23, Universiti Kebangsaan Singapura (NUS) dari Singapura (26), Universiti Hong Kong (43), Universiti Kebangsaan Seoul dari Korea Selatan (44) dan Universiti Peking dari China (45).

Universiti Malaya, yang pada suatu masa dahulu merupakan sebuah institusi yang amat kita banggakan juga gagal untuk disenaraikan. Kenapakah situasi di negara kita semakin hambar sedangkan negara-negara lain terus maju meninggalkan kita? Kegagalan ini sekali lagi memberikan sebuah tanda yang jelas bahawa sistem pendidikan kita sedang berada dalam sebuah krisis yang amat membimbangkan.

Kenapakah krisis ini berlaku? Setelah hampir tahun 60 selesa dalam tampuk pemerintahan, apakah kerajaan Barisan Nasional telah ketandusan idea untuk bagaimana mengemudikan negara kita ke arah yang lebih baik? Apatah lagi apabila cadangan demi cadangan yang bernas daripada pembangkang di tolak mentah-mentah, hanya kerana idealogi politik yang berbeza. Barisan Nasional telah lupa yang rakyat sepatutnya menjadi tumpuan utama, bukan menghabiskan masa untuk memikirkan bagaimana untuk memenuhkan poket peribadi masing-masing.

Demi anak-anak Malaysia, saya telah mengutuskan sepucuk surat kepada Menteri Pendidikan pada minggu lepas, antara lain meminta Yang Berhormat Menteri mengadakan perbincangan dengan pihak-pihak yang berkepentingan, termasuk wakil dari profession perguruan, ahli politik bipartisan dan wakil-wakil daripada kerajaan tentang cara-cara untuk mengatasi masalah-masalah ini.
Krisis kontradiksi pendidikan sewajibnya mendesak kerajaan untuk mengambil sikap lebih terbuka dan inklusif dalam merangka polisi-polisi pendidikan, supaya penyelesaian yang terbaik dapat dicungkil dari minda-minda akademia tersohor di dalam dan luar negara. Perkara ini perlu diberi keutamaan agar Malaysia akan terus dapat bersaing dengan dengan negara-negara lain, terutama dalan era globalisasi ekonomi yang semakin rancak dari hari ke hari. Jangan kita cuma “syok sendiri”, dan hanya menjadi jaguh kampung, walhal negara-negara serantau semakin maju kehadapan.

Sedarlah! Masa depan pendidikan anak anak berada di dalam tangan kita!

Artikel ini juga disiarkan dalam Sinar Harian:
http://www.sinarharian.com.my/kolumnis/jaguh-kampung-bidang-akademik-1.263581