Sedang Dato Seri Najib Razak memuji tiga Profesor terbaik yang disenaraikan dalam World`s Most In Infuential Scientific Mind menerusi laporan Reuters 26 Jun lalu, kita kecewa dengan berita terbaru mengenai arahan perletakan jawatan Prof Dato Dr Redzuan Othman sebagai pengarah Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihanraya (UMCEDEL).
Tindakan ini merupakan satu tindakan kontradiksi apabila tokoh terbaik yang juga cemerlang dalam reputasinya dihukum hanya kerana bercakap benar dan menjunjung prinsip-prinsip demokrasi dan pilihanraya melalui mekanisme soal selidik yang dianggap bertentangan dengan kepentingan Barisan Nasional.
Prof Datuk Dr Redzuan Othman pernah dinobatkan sebagai Dekan Terbaik pada tahun 2012, dan telah pun berkhidmat sebagai Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial UM selama 5 tahun dan juga mempelopori umcedel.
Perdana Menteri Najib Razak pernah memuji UMCEDEL pada Januari 2012 menerusi Utusan Malaysia atas hasil kajiannya yang menunjukkan bahawa BN akan terus berkuasa. Reputasi UMCEDEL sebagai pemerhati politik tanah air tidak dapat disangkal lagi apabila terus-terusan membuat kajian yang tepat dari pendapat rakyat tentang perjalanan politik dalam pelbagai isu termasuklah penemuannya tentang keputusan pilihanraya umum ke-13 yang bertepatan dengan keputusan sebenar.
Arahan perletakan jawatan ini juga satu pencabulan keatas kebebasan akademik apabila laporan dari institusi yang menjalankan kajian tentang demokrasi dan pilihanraya yang neutral dan tidak berpihak ini pun diganggu dan ditekan oleh kebimbangan parti pemerintah yang tidak selesa dengan laporan yang tidak menyebelahi mereka. Mekanisme soal selidik yang dijalankan UMCEDEL dan diketuai oleh Prof Redzuan, adalah contoh terbaik pengamalan demokrasi apabila ia menyampaikan secara jelas tuntutan dan aspirasi rakyat.
Dalam pada sistem pendidikan kita ketinggalan jauh kebelakang menerusi laporan PISA 2012,yang menunjukkan prestasi Vietnam di tangga ke-17 mengatasi Malaysia di tangga ke-52; dan hakikat bahawa tiada satupun universiti Malaysia tersenarai di dalam Times Higher Education World Reputation Ranking 2014 yang keempat,menerusi Malaysian Insider, 6 MAC lalu, parti pemerintah masih lagi bersikap tidak matang dan begitu leka mencabuli kebebasan akademik dan besikap acuh tak acuh dalam benar-benar memastikan reformasi pendidikan negara bergerak kearah yang lebih terbuka dan progresif.
Saya juga ingin mengambil kesempatan memuji tindakan Dato Saifuddin Abdullah hari ini, yang meletakkan jawatan sebagai Felo Penyelidik Kanan UM atas simbol solidariti menolak ketidakadilan ini dan mengangkat prinsip kebebasan akademik.
Justeru, saya menyeru rakyat semua perlu menyatakan solidariti dan bantahan terbuka terhadap pencabulan ini dan menggesa kerajaan menjunjung kembali demokrasi yang sebenar menerusi tuntutan agar sebuah jawatankuasa parlimen yg dwipartisan ditubuhkan bagi membincang kan isu pendidikan dengan holistik serta objektif, termasuklah soal perlantikan para akademik dan naib canselor di universiti-universiti.
Kementerian Pendidikan juga perlu menarik kembali arahan yang tidak bertanggungjawab ini dan mengembalikan semula jawatan Prof Datuk Dr Redzuan Othman, serta Datuk Saifuddin Abdullah demi kebebasan para akademik serta pengembalian amalan demokrasi yang sebenar dalam negara kita.
Jangan jadikan Profesor- Profesor di Malaysia semuanya Kangkung semata-mata!
Nurul Izzah Anwar
Ahli Parlimen Lembah Pantai
Naib Presiden KEADILAN