Skip to main content
Education

Diagnosa Krisis Malaysia untuk Perhimpunan Agong UMNO

By 2 December, 2014February 5th, 2021No Comments

Apakah diagnosis yang boleh kita berikan kepada Malaysia sebagai bahan perbahasan di PAU nanti?

Pertamanya, berkisar tentang persoalan samada Islam dan Melayu sedang diancam. Ternyata persoalan tersebut harus juga berkait samada rasuah, salah guna kuasa, dan ketirisan juga mengancam melemahkan Islam dan Melayu?

Sekiranya kita gagal untuk meletakkan kesemua diagnosis ini dalam konteks yang sepatutnya maka kita akan gagal mencari penawar atau penyelesaiannya.

Sebenarnya, simptom pertama dapat dilihat menerusi pendakwaan-pendakwaan yang terpilih yang dilakukan oleh kerajaan terhadap individu-individu yang berani bangun mempersoalkan tindak-tanduk kerajaan yang boros serta arah tuju negara yang adakalanya menyimpang dari landasan positif.

Berdasarkan jawapan yang saya terima di Parlimen: majoriti pendakwaan dibawah akta hasutan daripada tahun 2012 ke 2014 yang dilakukan adalah ke atas pemimpin-pemimpin politik pembangkang. Yang menarik perhatian saya, tidak ada pendakwaan yang berlaku ke atas sesiapapun pada tahun 2012, iaitu sebelum Barisan Nasional kehilangan undi popular dalam PRU13.

Kebangkitan golongan akademik juga disekat. Pemimpin-pemimpin mahasiswa dan pendidik seperti Adam Adli, Fahmi Zainol, Prof Azmi Sharom cuba dipatahkan hujah mereka dengan menggunakan kekerasan, bukannya dengan menggunakan landasan ilmu.

Simptom kedua, saban tahun laporan Ketua Audit Negara memberikan gambaran yang begitu buruk sekali berkenaan dengan pengurusan kewangan negara. Ketirisan-ketirisan yang berlaku dibiarkan sahaja tanpa adanya kepertangungjawaban kepada sesiapapun, apatah lagi tindakan susulan yang meyakinkan untuk merektifikasi kesilapan lampau.

Kes-kes yang berlaku seperti penyalahgunaan kewangan negara dalam 1MDB dan PKFZ yang membabitkan sekurang-kurangnya RM54 billion ringgit wang rakyat masih lagi tidak kelihatan pesalahlakunya. Sewajibnya kita berasa gusar dengan status kewangan negara semakin kronik keadaannya.

Simptom ketiga, kedudukan Malaysia, dalam ranking rasuah dan pendidikan semakin mencorot. Dalam Indeks Persepsi Rasuah (Corruption Perception Index) Malaysia menduduki tangga ke 53 daripada 177 negara pada tahun 2013. Menurut kajian oleh Ernst and Young (Asia-Pacific Fraud Survey Report 2013) Malaysia merupakan salah sebuah negara yang dianggap mempunyai masalah rasuah yang terburuk seangkatan dengan negara China.

Laporan TIMMS dan ujian PISA jelas menunjukkan bahawa kualiti pendidikan yang diterima oleh anak-anak Malaysia semakin menurun. TIMMS tahun 2011 menunjukkan sebanyak 35 peratus daripada pelajar kita berada dibawah tahap minimum dalam pelajaran Matematik dan 38 peratus dibawah tahap minimum dalam pelajaran sains. Bandingkan peratusan ini dengan 7 peratus dan 13 peratus masing-masing pada tahun 1995.

Dalam ujian PISA 2012, pelajar Malaysia berada lebih kurang 2.5 tahun di belakang pelajar Vietnam dalam mata pelajaran Matematik, dan dalam mata pelajaran Sains pula, pelajar Malaysia berada 2.8 tahun di belakang pelajar Vietnam. Dan berbanding pelajar Singapura, Korea dan China, pelajar Malaysia terkebelakang sebanyak 4 tahun!

Kesemua simptom ini menunjukkan ke arah sebuah kerajaan yang hanya berminat untuk memusatkan kuasa dan kekayaan kepada sesetengah individu. Penyakit yang dihadapi oleh Malaysia ini hanya boleh diubati oleh pemimpin yang mempunyai  “political will” untuk mengubah.

Diagnosa saya, kemelut-kemelut ini disebabkan oleh defisit demokrasi yang merupakan barah yang membantutkan pembangunan negara. Bukan sahaja rakyat menghadapi Bajet Defisit yang bakal melebar dengan anggaran pendapatan petroleum yang semakin merosot di pasaran dunia malah rakyat sedang menghadapi Defisit Demokrasi yang nyata juga semakin merosot.

Jika kita merumuskan segala permasalahan yang dihadapi daripada Defisit Kualiti Pendidikan kepada Defisit Kesederahanaan (moderation) kepada pelebaran jurang pendapatan (income inequality) kesemua ini mesti dirangkakan dalam konteks Defisit Demokrasi.

Preskripsi yang mesti diberikan kepada Malaysia ialah reformasi institusi-institusi asas kerajaan. iaitu reformasi parlimen, politik dan reformasi pilihanraya (Parliamentary reforms and Electoral reforms).

Penawar pertama kepada defisit demokrasi ialah reformasi parlimen. Reformasi Parlimen seperti yang disebutkan oleh Ketua Pembangkang peraturan-peraturan mensyuarat yang lebih efisyen, ratifikaso perjanjian-perjanjian antarabangsa, mewujudkan sesi soaljawab Perdana Menteri mingguan (Prime Minister Question Time). Penubuhan Jawatankuasa-jawatankuasa tetap bermula dengan penubuhan jawatankuasa tetap fiskal parlimen. Kesemua ini akan dapat memberikan pemisahan serta timbang tara kuasa yang lebih bererti dan mementingkan hak rakyat.

Penawar kedua, Reformasi Pilihanraya, Hakim Mahkamah Rayuan, Yang Arif Prasad Abraham dalam penghakiman beliau dalam kes dakwat kekal bersetuju dengan Pakatan Rakyat yang Suruhanjaya Pilihanraya mempunyai tanggungjawab untuk menjalankan tugas-tugas mereka sebagaimana yang ditetapkan dalam perlembagaan dan suruhanjaya ini boleh dipersoalkan oleh rakyat. Hal-hal yang dibangkitkan dalam kes ini adalah masalah-masalah serius dalam proses demokrasi dan perlu dibicarakan di mahkamah.

Harus kita ingat, Mejar Zaidi Ahmad sedang menghadapi pendakwaan disebabkan oleh kegagalan dakwat kekal ini. Dijangkakan beliau akan dipanggil untuk membela dirinya kerana mengungkapkan kekecewaan beliau atas kegagalan dakwat kekal pada PRU13.

Kesimpulannya, defisit demokrasi yang menyebabkan pemusatan kuasa dan kekayaan kepada golongan elit menjadi ancaman bukan sahaja kepada Islam dan Melayu tetapi kepada semua rakyat Malaysia. UMNO mestilah berani memutuskan samada demokrasi yang lebih terbuka atau tertutup adalah lebih bermanfaat untuk pembangunan dan masa depan bangsa Melayu.

Oleh yang demikian seandainya kita tidak mengambil langkah serta merta untuk menghapuskan defisit demokrasi, selagi itulah negara akan terus merudum ke paras yang jauh lebih teruk dan barangkali tidak dapat dipulihkan. Janganlah kita tunggu sehingga kita menjadi sebagai sebuah negara yang gagal (failed state).

Adakah UMNO berani untuk mendebatkan defisit demokrasi pada Perhimpunan Agung UMNO pada 25 November ini, untuk membebaskan negara dan rakyat daripada kemelut yang dihadapi pada masa ini, ataupun mengalihkan perhatian rakyat dengan usul-usul mempertahankan akta hasutan dan perbincangan menutup sekolah vernakular sahaja?

Adakah PAU berani untuk membincangkan penangguhan GST sehingga ketirisan dan gejala rasuah dikekang, pendapatan rakyat berjaya dinaikkan dan masalah kemiskinan termasuk miskin kota dapat diselesaikan?

Adakah PAU berani memutuskan halatuju UMNO untuk berpaksikan kesederhanaan ‘wasatiyah’ atau terus memperjuangkan kelampauan jumud?

Dan adakah PAU berani menetapkan bahawa menghapuskan defisit demokrasi adalah pendekatan yang paling baik untuk pembangunan masa depan kaum Melayu?