Fahmi Zainol bersama Adam Fistival Wilfrid merupakan dua pimpinan pelajar daripada kumpulan Universiti Malaya 8 (UM8) yang telah dikenakan tindakan atas keberanian menganjurkan program Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ketua Pembangkang Malaysia, serta alumni Universiti Malaya (UM), pada Oktober 2014 di UM. Kedua-duanya, antara lain, mewakili suara anak muda yang dahagakan kebebasan buat mahasiswa dalam ruangan universiti selaku prasyarat dalam membina generasi kritikal yang mampu mendepani cabaran.
Selaku mantan Presiden Mahasiswa Universiti Malaya, Fahmi digantung 2 semester dan dikenakan denda RM600 beserta teman-teman lain yang dikenakan tindakan yang sama.
Ternyata, nasib mereka mempertahankan kedudukan Universiti Malaya selaku menara gading yang menghormati hak siswa-siswi bersuara dan mendengar pandangan pelbagai pimpinan negara tanpa jalur partisan bukan sahaja cuba dilenyapkan; tetapi menggambarkan permulaan kepada sikap kerajaan yang tidak mengutamakan pendidikan tertiari.
Perlu diingat, Universiti Malaya merupakan satu-satunya Universiti yang mendapat tempat dalam senarai 150 tapak pertama bagi Quacquarelli Symonds (QS) World University Rankings dari 2015 hingga 2016. Universiti Malaya menaiki 5 tangga ke tempat 146 dari tempat ke 151 pada tahun 2014.
Balasan kerajaan Barisan Nasional terhadap pencapaian Universiti Malaya adalah dengan memotong peruntukan sebanyak 27 peratus untuk 2016 berbanding tahun lepas.
Justeru, penyertaan kedua-dua pimpinan mahasiswa pada hari ini akan memperkukuh komitmen KEADILAN dalam memperjuangkan bukan sahaja hak warga siswa-siswi di universiti tetapi juga di dalam keutamaan pelaburan serta peruntukan buat pendidikan generasi masa depan.
Tugasan utama mereka adalah mengajak anak muda menumpukan kepada isu utama negara iaitu keadaan ekonomi semasa, isu kesenjangan pendapatan, penguatkuasaan undang-undang secara adil dan penyalahgunaan kuasa pimpinan atasan. Isu ini adalah suatu yang amat dekat, terutamanya isu ekonomi anak muda, yang pada ketika ini semakin meningkat parahnya dengan semakin ramai yang jatuh muflis. Statistik tahun 2014 menunjukkan bahawa seramai 625 orang dibawah umur 25 tahun diisytiharkan muflis, iaitu tiga kali ganda berbanding dengan tahun sebelumnya, dan seramai 5547 individu dibawah umur 35 tahun diisytihar muflis pada tahun lepas, dua kali ganda berbanding tahun 2005.
Saudara Fahmi Zainol akan dilantik sebagai Pengerusi Biro Mahasiswa KEADILAN, dan Saudara Adam Fistival Wilfrid akan dilantik sebagai Koordinator Program myChangeMakers, yang mengumpul tenaga muda dalam bertugas di lapangan bagi membantu rakyat terbanyak menerusi kerja komuniti dan kesedaran perubahan menerusi pilihanraya.
Kami yakin, penyertaan Fahmi Zainol dan Adam Fistival Wilfrid pada hari ini bakal menjadi pemangkin ke arah kesedaran anak muda akan kepentingan mengambil peduli isu-isu politik dan isu-isu yang memberi kesan kepada kehidupan rakyat secara amnya, tanpa mengira agama atau warna kulit.
Harapan kami, penyertaan mereka ini akan memberikan sebuah nafas baru ke arah pembinaan Malaysia yang lebih baik.
NURUL IZZAH ANWAR
NAIB PRESIDEN DAN PENGARAH PILIHANRAYA KEADILAN