Skip to main content
Issues Affecting the RakyatSosio Ekonomi

Tindakan tanah TRX-Tabung Haji: Bebankan pencarum, merosak imej serta integriti amanah Tabung Haji

By 12 December, 2015February 5th, 2021No Comments

Sudah 4 hari berlalu semenjak Perhimpunan Agung UMNO 2015 bermula, namun tidak kedengaran mana-mana perwakilan dengan keberanian untuk membincangkan perihal institusi Negara yang tercalar dengan skandal yang melibatkan Presidennya.

Mahu tidak mahu, umum mengakui, Presiden UMNO sudahpun terpalit bukan sahaja dengan skandal 1MDB dan derma yang di poket akaun peribadi; malah kini menjalar kepada insitusi ibadah Tabung Haji.

Keputusan Tabung Haji (TH) dalam pembelian tanah Tun Razak Exchange (TRX) daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebanyak RM 188.5 juta telah menimbulkan beberapa persoalan daripada pelbagai pihak, terutamanya kepada pendeposit.

Mereka mula memikirkan kemungkinan bebanan di masa hadapan dan terjejasnya kewangan  untuk menjalankan ibadah haji.

Mengapakah keputusan pembelian dibuat secara tertutup dan tergesa-gesa? Sekali lagi kemelut pengurusan hutang 1MDB menjelma apabila keputusan pembelian tanah TRX dibuat TH.

Menerusi jawapan Parlimen, rakyat dimaklumkan pembelian tanah TRX sebanyak RM 2,773 per kaki persegi (RM188.5 juta) memberi keuntungan yang besar kepada 1MDB yang membeli tanah TRX tersebut daripada kerajaan dengan harga hanya sebanyak RM 64 per kaki persegi pada tahun 2011; iaitu lebih kurang RM4 juta sahaja! Adakah pendeposit Tabung Haji merelakan RM184 juta keuntungan kepada 1MDB; ataupun 47 kali ganda? Apa istimewanya 1MDB dibandingkan dengan TH?

Laba sebegini mengukuh persepsi bahawa dana pendeposit telah dikorbankan semata-mata demi kepentingan sebuah syarikat ‘kontroversi’ dan bermasalah; dengan Badan Penasihat yang dipengerusikan Perdana Menteri!

Ternyata, transaksi yang melibatkan TH merupakan pendekatan yang paling pantas untuk 1MDB mendapat keuntungan berlipat kali ganda mengikut ‘pintu belakang’; menggunakan dana awam dan agensi kerajaan tanpa memikirkan kesannya kepada imej TH dan wang pendeposit.

TH secara tidak langsung telah membelakangkan kepentingan pendeposit sebelum membuat keputusan ini. Orang awam turut mengkritik penglibatan CEO TH, Tan Sri Ismee Ismail yang juga lembaga pengarah 1MDB dalam membuat keputusan pembelian tanah tersebut. Isu ini membuktikan terdapat konflik berkepentingan yang ‘kritikal’ dalam transaksi pembelian tanah TRX dengan harga yang melambung tinggi.

Kerajaan yang diwakili pemimpin utamanya, Presiden UMNO perlu memberi perincian adakah keputusan ini bakal mempengaruhi peratusan dividen yang dinikmati oleh penyimpan TH, terutamanya sekiranya TH gagal menjual tanah tersebut dengan harga pasaran?

Apakah jaminan dan mekanisme TH memastikan pendeposit akan mendapat kesan yang positif dari penjualan semula tanah tersebut?

Kini, persepsi umum adalah TH menghadapi masalah untuk mencari pembeli tanah TRX tersebut. TH sebelum ini melalui laporan The Malaysian Insider[1] mengatakan bahawa sedang mempertimbangkan 3 pembeli berpotensi yang berminat untuk membeli tanah TRX pada awal bulan Mei 2015. TH juga menyatakan bahawa rundingan jual tanah TRX mengambil masa dua minggu, Malangnya, TH gagal menjual tanah tersebut dalam tempoh lapan bulan, iaitu hingga awal Disember 2015.

Adakah kegagalan ini merupakan bukti bahawa sebenarnya tanah TRX tidak mempunyai pembeli? Sebelum ini digemparkan bahawa TH akan membuat untung sebanyak RM5 juta jika tanah ini dijual. Bagaimana pula dengan kos pelaburan, kos pengurusan, kos kontrak perjanjian jual beli yang mungkin boleh melangkau sehingga melebihi RM5 juta untuk transaksi sebesar RM188.5 juta ini.

Lebih bermanfaat sekiranya 1MDB dan TH membatalkan transaksi jual beli tanah ini bagi mengembalikan semula wang tersebut kepada TH dalam usaha menambah baik perkhidmatan ibadah haji dan mengurangkan beban jemaah haji secara langsung. Kedua, Kerajaan tidak patut dimaafkan apabila membiarkan 1MDB membuat keuntungan besar seperti ini dengan memberi risiko serta tambahan kos kepada pencarum TH.

Jangan cemari nama baik TH dengan mainan politik parti. Kembalikan kepercayaan rakyat kepada institusi ibadah kita dengan meletakkan keutamaan kepada kredibiliti TH dan keperluan pendeposit; bukannya talian hayat dan penerus dana bagi entiti kesayangan Perdana Menteri.

NURUL IZZAH ANWAR
AHLI PARLIMEN LEMBAH PANTAI
NAIB PRESIDEN DAN PENGARAH PILIHANRAYA KEADILAN

[1] http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/atas-nasihat-najib-tabung-haji-jual-tanah-dibeli-daripada-1mdb-kata-azeez