Hari ini merupakan hari ke-4 sejak berlaku insiden jambatan runtuh di laluan pejalan kaki yang menghubungkan KL Eco City dan The Gardens. Saya telah mengemukakan 4 tuntutan yang perlu disegerakan tindakan oleh pihak DBKL pasca kejadian yang berlaku 30 November lalu. [1] Misi mencari dan menyelamatkan telahpun dihentikan menjadikan jumlah mangsa adalah seorang maut manakala 6 lagi cedera. [2]
Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH), Datuk Ir Mohtar Musa mengesahkan insiden berlaku akibat kegagalan struktur pembinaan yang lemah mengakibatkan jambatan runtuh[3]. Lebih membimbangkan lagi apabila kegagalan struktur binaan tersebut tidak berkualiti.
Perkara ini jelas memperlihatkan kegagalan DBKL dan beberapa badan tidak menjalankan pemantauan yang konsisten dalam memastikan kerja-kerja pembinaan KL Eco City dalam keadaan yang terkawal.
Saya merasa kesal apabila Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mhd Amin Nordin Abd Aziz, enggan bertanggungjawab ke atas insiden runtuhan jambatan pejalan kaki KL Eco City. Sikap menuding jari kepada CIDB dan DOSH dalam insiden ini apabila projek KL Eco City bukan hanya terletak di bawah pantauan DBKL, bahkan DBKL jua merupakan rakan usaha sama dalam projek tersebut[4].
Pada tahun 2011, Menteri Wilayah pada waktu itu, Raja Nong Chik dan DBKL dengan bangganya mengumumkan projek KL Eco City merupakan projek strategik membangunkan Kuala Lumpur[5]. Tetapi, apabila insiden buruk berlaku akibat jambatan runtuh sehingga meragut nyawa dan keselamatan, pihak DBKL dengan mudah ‘mencuci tangan’ walaupun siasatan belum selesai dijalankan.
Pihak DBKL mengesahkan mereka sendiri meluluskan struktur jejantas pejalan kaki yang runtuh di tapak projek pembinaan berhampiran Abdullah Hukum, Bangsar, empat bulan yang lalu[6]. Justeru, saya kira adalah tidak wajar jika DBKL terus menerus enggan mengambil pendirian moral untuk bertanggungjawab dalam insiden terbabit.
Peruntukan belanjawan DBKL tahun 2017 sebanyak RM 2.87 billion tidak memberi nilai yang signifikan sekiranya ia tidak digunakan untuk memastikan pembangunan Bandar seimbang dan terkawal.
Saya menyambut positif langkah Kementerian Kerja Raya dalam menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bertindak dalam menyiasat isu ini. Selari dengan tuntutan yang pertama digesa agar melibatkan pakar dan ahli akademik untuk membuat siasatan terperinci.[7] Keanggotaan jawatankuasa ini terdiri daripada Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH), dan DBKL.
Tindakan undang-undang akan diambil sekiranya berlaku pelanggaran di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (1994) dan Akta Kilang dan Jentera (1987), denda RM 500 000 dan penjara dua tahun. Perkara ini penting bagi memastikan setiap projek pembangunan mengikut peraturan keselamatan yang ditetapkan.
Akauntabiliti dan integriti pegawai DBKL juga semakin dipersoalkan apabila 4 jabatan DBKL sedang dalam siasatan SPRM. [8] DBKL wajib segera mengambil tindakan proaktif dengan menyalurkan bantuan khairat kematian kepada mangsa. Hentikan sikap acuh tak acuh dalam menjaga kebajikan rakyat, dan beri jaminan untuk bekerjasama dalam siasatan yang bakal dijalankan. Bukan hanya menuding jari dan defensif terutamanya apabila membabitkan nyawa orang awam.
Nurul Izzah Anwar
Ahli Parlimen Lembah Pantai
Naib Presiden & Pengarah Pilihan Raya Keadilan
[3]http://www.thestar.com.my/news/nation/2016/12/02/structural-defect-may-be-to-blame-minister-report-on-bridge-collapse-will-be-made-public-in-a-months/
[4]http://www.themalaymailonline.com/malaysia/article/kl-mayor-washes-hands-of-deadly-kl-eco-city-bridge-collapse
[5] http://www.thestar.com.my/news/community/2011/11/18/kl-eco-city-takes-off/
[6]http://www.sinarharian.com.my/semasa/dbkl-jejantas-runtuh-telah-siap-empat-bulan-lalu-1.593031
[7] http://www.sinarharian.com.my/mobile/edisi/selangor-kl/desak-siasatan-segera-menyeluruh-1.593529
[8] http://m.malaysiakini.com/news/356572