Skip to main content

DASAR negara mampu berubah. Sekiranya mandat dipegang oleh kerajaan prihatin, maka keutamaannya mengurangkan jurang miskin kaya; mengawal inflasi yang menekan ekonomi rakyat; melawan gejala rasuah dan salah guna kuasa – dan menjaga kebajikan rakyat menerusi pentadbiran yang anti ketirisan, pro kesihatan dan pendidikan. Sekiranya negara dipegangperompak; makanya dasar tentu akan pro inflasi, rasuah berleluasa dan sekiranya dana negara berkurangan – pendidikan dan kesihatan yang dimangsakan terlebih dahulu.

Terkini, di Amerika Syarikat,skim insurans kesihatan yang digelar Obamacare, memberi tali hayat kepada rakyat terbanyak kemungkinan dimansuhkan kerana kemenanganPresiden Amerika yang baharu.

Ratusan ribuan pesakit kanser, jantung, dan kemelut lainnya berhadapan dengan masa depan yang tidak menentu. Saya yakin fakta ini terus menghantui 46 peratus pengundi baharu Amerika Syarikat, rata-rata orang muda yang layak, tetapi malang mendaftar mengundi.

Malaysia pula bagaimana? Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia baru sahaja mengumumkan bahawa terdapat 4.2 juta bakal pengundi muda belum lagi mendaftar. Bayangkan kuasa kemenangan kerajaan yang merampas hak rakyat, mengenakan cukai regresif, potongan subsidi dan gejalarasuah yang berterusan. Apakah kemenangan melalui manipulasi dasar pilihan raya tidak memberi kesan langsung kepada rakyat yang saban hari dipasung derita.

Jika sahaja dasar-dasar yang digariskan mampu memenangi wajah dan harapan anak muda, peluang untuk meneruskan dasar yang berpihak kepada pendidikan dan kesihatan yang saksama pastinya lebih cerah.

Tahun 2017 dibuka dengan lembaran positif tatkala mahkamah meluluskan penangguhan proses persempadanan pilihan raya di Kuala Lumpur sehingga peguam saya dapat membawakan pembuktian bahawa SPR telah melakukan persempadanan semula yang bercanggah dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Pasca PRU13 menyaksikan bahawa pimpinan negara kini adalah mereka yang mempunyai peratusan sokongan yang paling tipis. Bahkan kemenangan 47 peratus menjadi manifestasi dan unjuran kepada penyalahgunaan segala ruang yang sedia ada untuk memenangi pilihan raya akan datang.

Maka, Apabila mahkamah membenarkan barisan peguam saya agar tampil dengan hujah-hujah mengapa persempadanan semula kali ini menyanggah Perlembagaan, bahkan bertentangan dengan paksi pilihan raya yang bersih, ia merupakan kemenangan rakyat.

Sehinggakan mahkamah mengarahkan agar SPR menghentikan proses persempadanan semula bagi seluruh Parlimen Wilayah Persekutuan sehinggalah keputusan dimuktamadkan.

Kesemua ini jelas menunjukkan bahawa tidak ada justifikasi yang mampu digariskan oleh SPR apabila membawa keluar hampir 16,000 pengundi di kawasan Sri Sentosa dan memasukkan 8,000 pengundi polis dari ibu pejabat Bukit Aman ke dalam parlimen Lembah Pantai.

Saya terpanggil untuk memberi respons terhadap tulisan salah satu penganalisis politik yang menjangkakan ajaiblah jika pembangkang boleh memenangi pilihan raya umum akan datang. Terdapat empat sebab kepada kebuntuan politik Malaysia iaitu penyelewengan pilihan raya, kegagalan institusi, perpecahan politik dan garis kesalahan masyarakat.

Tidak wujud logik matematik apabila seorang pengundi di Parlimen Putrajaya bersamaan dengan empat pengundi di parlimen Kapar. Penguasa sekali lagi bakal memanipulasi proses peralihan pengundi dan lukis persempadanan semula versi kerajaan semasa demi untuk menghantar wakil ke Parlimen, bahkan lebih buruk lagi jika mereka mampu memperoleh ⅔ majoriti di Parlimen. 2.6 Bilion diperoleh tanpa ⅔ majoriti, bayangkan dengan majoriti, mereka berupaya untuk memerah lebih banyak lagi!

Arakian, menyorot kembali setiap desakan yang berkali-kali diangkat oleh rakyat jelas mahukan pemimpin yang wibawa dan tampil dengan dasar-dasar sempurna dengan keperluan rakyat. Atas landasan itulah saya failkan saman terhadap SPR demi menyelamatkan institusi pilihan raya ini serta menjamin ruang demokrasi yang sihat dan bebas untuk rakyat.

Syukur ke hadrat Ilahi, saya harapkan agar kemenangan ini menjadi kekuatan untuk kami para penggubal dasar yang sentiasa menjunjung Perlembagaan Persekutuan agar memperjuangkan yang terbaik demi rakyat dan masa depan negara.