Saya amat sedih dengan pemergian arwah Kadet Zulfarhan Osman, seorang penuntut tahun ketiga Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) serta mendiang T. Nhaveen, seorang remaja berusia 18 tahun yang terbunuh akibat jenayah buli.
Saya akui jenayah buli sudah lama berakar dalam budaya kita, bagaimanapun ia bukan alasan untuk terus membiarkannya dan membiarkan lebih banyak nyawa tidak berdosa melayang. Saya tidak dapat bayangkan sekiranya anak-anak saya berdepan nasib sama seperti mana yang dikenakan ke atas arwah Kadet Zulfarhan Osman serta mendiang T. Nhaveen.
Meskipun statistik terkini yang dikemukakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia menunjukkan pengurangan kes buli di peringkat sekolah (daripada 4,159 kes pada tahun 2012 kepada 2,968 pada tahun 2015), ia tidak bermakna kes yang dilaporkan berjaya diselesaikan dengan baik. Di sebalik ribuan kes buli yang dilaporkan, saya percaya masih ada mangsa yang tidak berani tampil ke hadapan atau kes yang dikendalikan secara dalaman demi menjaga maruah dan nama institusi yang terbabit.
Walaupun lima suspek kes buli arwah Kadet Zulfarhan telah didakwa di mahkamah, usaha untuk mengatasi jenayah buli di peringkat universiti perlu diperkemaskan. Dalam menangani kes buli ini, sebuah jawatankuasa khas perlu ditubuhkan dalam melihat permasalahan jenayah buli di setiap peringkat secara khusus. Selain itu, badan-badan tertentu seperti Kementerian Pendidikan TInggi (KPT), pentadbiran universiti, wakil rakyat, agensi atau badan bukan kerajaan (NGO) perlu memainkan peranan yang bersesuaian dalam usaha menggerakkan kesedaran memerangi jenayah buli.
Pihak Kementerian Pengajian Tinggi juga perlu meneliti dan mengkaji semula modul latihan UPNM serta institut pengajian tinggi yang lain dalam memperkemas sistem dan disiplin mahasiswa. Pembaharuan ke atas modul latihan ini adalah perlu bagi menerapkan nilai kemanusian dan prinsip yang kuat.
Pada skala yang lebih besar, akta khas bagi mencegah jenayah buli di sekolah dan institusi pengajian tinggi perlu diwujudkan dalam usaha membela mangsa buli dan menuntut keadilan dalam jangka masa panjang. Akta anti-buli ini telah diperkenalkan di Kanada dan Britain dalam memerangi jenayah buli. Kewujudan akta sedemikian memperlihatkan usaha serius kerajaan di negara-negara terbabit dalam memerangi jenayah buli.
Saya bimbang sikap buli akan terus berakar dalam masyarakat kita.
Apabila ramai memuji tindakan Mat Over menampar David Teoh di khalayak ramai kerana David menanyakan soalan kepada Perdana Menteri, sementara pelajar cemerlang SPM dicaci hanya kerana beliau berketerampilan kemas dan segak, saya bimbang ini meletakkan piawaian moral yang rendah serta penerimaan yang tinggi terhadap keganasan dan buli.
Adalah menjadi tanggungjawab kita bersama – daripada kepimpinan tertinggi sehinggalah ke akar umbi dalam melahirkan masyarakat yang penyayang, bertanggungjawab dan amanah demi menjamin masa depan generasi kita kelak.
Nurul Izzah Anwar
Ahli Parlimen Lembah Pantai
Naib Presiden dan Pengarah Pilihan Raya KEADILAN