Skip to main content

Program Anti-Buli di Sekolah

End Violence in Schools: Safe to Learn

 

Dengan tema “End Violence in Schools: Safe to Learn”, syarikat DIGI dan United Nations Children’s Fund (UNICEF) menganjurkan progam bual bicara “Youth Talk” dan menjemput YB Nurul Izzah menjadi antara panelis untuk berkongsi pengalaman dan pandangan berkenaan isu buli dalam kalangan pelajar. Sebaris bersama YB Nurul Izzah di atas pentas antara lain adalah YB Prabakaran, ahli parlimen muda bagi kawasan Batu, Lisa Surihani, pelakon terkenal dan wakil Unicef Malaysia serta Siwon Choi, wakil Unicef Korea. Ketibaan YB Nurul Izzah dan ahli panel lain disambut dengan sesi pembentangan dari para peserta yang datang daripada pelbagai latar belakang misalnya peserta Kurang Upaya dan pelajar pelarian yang memberikan pembentangan yang menarik mengenai isu buli dari sudut pandang pelajar.

Berkesinambungan daripada pembentangan oleh wakil peserta, para panelis berkongsi idea dari pengalaman dan perspektif yang bervariasi. YB Nurul Izzah membawa audiens melihat isu buli dari pengalaman beliau semasa bersekolah dan contoh situasi buli dalam alam siber. Di akhir bicara, YB Nurul Izzah mengingatkan bahawa setiap individu dalam masyarakat berperanan untuk menghentikan kemelut isu buli dalam kalangan masyarakat. “Kita harus mempunyai kekuatan mental yang utuh, dan semai sifat kasih sayang sesama kita,” ujar beliau.