Ahli Parlimen ajak masyarakat bersatu
KERINCHI – Masyarakat diingatkan agar melupakan perbalahan dan memperbaiki kekurangan diri dalam menghadapi cabaran hidup pada masa mendatang.
Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar berkata, masyarakat khususnya rakyat di Lembah Pantai diajak agar tidak alpa dalam melakukan apa jua perkara dalam kehidupan seharian.
Menurutnya, perjuangan dan usaha dakwah oleh Nabi Muhammad SAW harus dicontohi bagi membuktikan rasa kasih dan cinta terhadap Rasulullah.
“Dalam kehidupan seharian, baik kita lupakan segala perbalahan dan persengketaan kerana apa yang perlu kita lakukan sekarang ialah memperbaiki diri.
“Kalau kita benar-benar cintakan Rasulullah, kita mesti teruskan kehidupan dengan mencontohi perjuangan dan peribadi baginda,” katanya ketika berucap pada majlis Sambutan Maulidur Rasul peringkat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi di pekarangan Madrasah Al-Falah di sini, semalam.
Kata Nurul Izzah, keharmonian dalam keluarga harus diteruskan dengan menunjukkan kasih sayang antara sesama ahli keluarga.
“Suami teruskan memberi kasih sayang yang tidak berbelah bahagi kepada isteri, begitu juga isteri. Anak harus menghormati dan menuruti kata-kata ibu bapa.
“Dengan keadaan ekonomi yang meleset sekarang ini, masa depan menjadi tidak menentu dan yang boleh menjamin kita adalah segulung ijazah. Maka, anak harus berusaha bersungguh-sungguh bagi menempa kejayaan sambil berserah kepada-Nya,” katanya.
Sambil melahirkan rasa terharu, wakil rakyat yang kini sedang hamil cahaya mata kedua bersemangat untuk turun padang mendekati rakyat.
“Paling penting, kita semua harus teruskan semangat yang ditunjukkan Rasulullah dengan mengingati segala perjuangan yang dilakukan dalam usaha menyebarkan dakwah kepada seluruh umat.
“Saya sempat meninjau permasalahan penjaja berhampiran yang mahukan tempat perniagaan mereka dibaik pulih. Saya akan berusaha bagi memenuhi permintaan mereka supaya boleh menjalankan perniagaan lebih sempurna,” katanya.
Terdahulu, majlis sambutan diserikan dengan pelbagai acara berguna seperti perarakan mengelilingi semua blok dalam kawasan berkenaan bermula di hadapan madrasah di blok D seawal jam 8 pagi.
Hampir 1,000 penduduk hadir menyertai perarakan dengan membawa pelbagai sepanduk mengingati hari kelahiran Rasulullah.