Skip to main content
PenerbitanReligion

Anak-Anak Syria – Ada Apa Dengan Terorisme?

By 3 July, 2014February 5th, 2021No Comments

25 Jun yang lepas, Wisma Putra telah melaporkan bahawa dianggarkan sebanyak 15 orang rakyat Malaysia telah terbunuh dalam konflik di Syria, selepas terlibat dengan perjuangan The Islamic State of Iraq in the Levant (ISIL) di negara tersebut. Sebuah lagi akhbar tempatan juga telah melaporkan tentang penglibatan seorang lagi rakyat Malaysia dari Selangor yang telah menjadi pengebom berani mati di dalam konflik tersebut.

Sebenarnya, tragedi sebenar adalah bila kita memikirkan tentang anak-anak yang tidak berdosa, namun membayar dengan nyawa apabila dilibatkan di dalam konflik yang tidak kita ketahui bilakah penghujungnya.

Saya berpeluang mendengar keluhan mereka menerusi sesi pembentangan yang diberi ABIM beserta Malaysia Lifeline for Syria yang juga melibatkan seorang warga Syria yang mengingatkan saya beserta ahli-ahli parlimen lain agar jangan melupakan anak-anak, wanita serta mereka yang menjadi mangsa peperangan di Syria yang tidak berkesudahan. Mereka memerlukan dokongan dalam membina semula institusi pendidikan dan kebajikan – lebih-lebih lagi buat anak-anak yang tidak bersekolah dan kehilangan tempat tinggal sejak konflik berlarutan dalam 3 tahun ini.

Ternyata, Syria merupakan sebuah tragedi kemanusiaan, jangan sampai kita diheret terlibat sama dalam perbincangan mengenai terrorisme.

Hal ini lebih menekan memandangkan Malaysia pernah mempengerusikan badan negara-negara Islam yang paling utama di dunia iaitu Pertubuhan Kerjasama Negara-negara Islam (OIC). Kita sepatutnya mampu untuk mengambil langkah yang lebih proaktif dan ke depan di dalam menangani tragedi sebegini.

Jangan dilupa, bahawa rejim Presiden Bashir Assad telah melakukan pelbagai kekejaman, seperti serangan senjata gas kimia beracun ke atas rakyat Syria di Ghouta pada 21 Ogos 2013, di mana  dianggarkan kira-kira 1429 orang telah terbunuh. Amerika Syarikat yang pada awalnya mengugut untuk mengambil tindakan ke atas kezaliman yang melibatkan kerajaan Syria sendiri, akhirnya melepaskan Presiden Assad tanpa tindakan susulan.

Kumpulan “pejuang” ISIL juga, yang tidak kurang kekejaman mereka – dan juga dijadikan lawan oleh pihak pembangkang dan para jihadis.

Baru-baru ini media antarabangsa telah melaporkan bahawa pejuang-pejuang ini telah mengadakan pembunuhan beramai-ramai. Tanpa belas kasihan, mereka ini dilaporkan telah menembak kejam tahanan-tahanan yang ditangkap mereka.

Apakah benar perjuangan ini sekiranya mereka langsung kehilangan sifat kemanusian yang cintakan keamanan, dan berbuat baik sesama manusia, walaupun mereka yang ditangkap itu adalah musuh? Apakah mereka ini lupa akan sifat penyayang yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW kepada tahanan-tahanan perang yang ditangkap oleh tentera Islam satu ketika dulu?

Diriwayatkan di dalam Hadith Bukhari bahawa “Selepas Perang Badar, para tawanan perang dibawa , di antara mereka  adalah Al-Abbas bin Abdul Muthalib. Dia tidak punya baju, jadi Nabi mencari kemeja untuknya. Ternyata kemeja Abdullah bin Ubayy memiliki ukuran yang sama. Selanjutnya, Nabi (SAW) memberikannya kepada Al-Abbas untuk dipakai.”

Begitulah umat Islam diajarkan supaya bersikap baik dan berbelas kasihan kepada tawanan perang.

Faktor belas kasihan ini adalah salah satu yang memberikan kekuatan kepada umat Islam pada ketika itu. Tawanan perang yang dilepaskan kembali ke keluarga masing-masing bercerita tentang kebaikan Islam dan seterusnya telah menarik lebih ramai kaum Arab pada ketika itu untuk memeluk agama Islam.

Kembali kita ke krisis di Syria. Bayangkan sehingga sekolah yang dibantu didirikan oleh Malaysia Lifeline for Syria telah dibom di Aleppo awal bulan ini; 30 nyawa kanak-kanak sekolah, yang sedang sibuk bersiap untuk Majlis Terima Kasih buat Malaysia – hilang dalam satu detik.

Tugas kita yang utama ialah untuk memastikan anak-anak mereka selamat, dan mendapat pendidikan yang secukupnya bagi membantu mereka keluar dari kemelut yang melanda. Jangan hanya menyalur bantuan yang ‘dilulus’ rejim Assad; tetapi lebih sofistikated dalam memastikan kesemua anak-anak di Syria mendapat bantuan, tak kira dari segi keselamatan, makanan, perubatan dan pendidikan.

Kita jangan mudah terpengaruh dengan “perjuangan” ISIL atau ISIS ini; atau retorik terorisme ala Barat.

Masih lagi banyak yang kita boleh lakukan selain daripada mempertaruhkan nyawa kita. Sebagai umat Islam, adalah lebih penting bagi kita menunjukkan persaudaraan kita antara satu sama lain dengan memberikan bantuan kemanusiaan, demi anak-anak Syria generasi  mendatang. Kita tidak mahu mereka yang membesar dalam konflik ini digelumangi dengan keganasan, kedhaifan – tanpa ilmu pendidikan sebagai persediaan masa depan – kesemua ini bakal mengekalkan mereka di dalam lingkaran keganasan sedia ada.

Kerajaan Malaysia, dalam menyalurkan bantuan kepada rakyat Syria perlu mengambil pendekatan lebih holistik memberikan bantuan secara lebih adil dan bukannya mengikut sahaja apa yang dimahukan oleh rejim Assad atas alasan batasan ‘diplomatik.’

Oleh itu, pertingkatkan komitmen, kemanusiaan kita – demi anak-anak Syria, dan umat manusia yang ditindas, dimana jua mereka berada.