(diterbit di Sinar Harian, 24 Mei 2011)
Menyingkap kembali sejarah saya tertanya apakah mungkin budaya politik negara dan nasib rakyat dibawah pemerintahan seorang raja yang mulia lagi beriman dan budiman?
Sekiranya Sultan Melaka memerintah, mungkinkah rasuah dibenarkan sehingga sebuah istana yang bermula dengan kos RM400 juta dijangka melebihi RM1 bilion? Apa pula dengan ketirisan ekonomi berjumlah RM28 bilion setahun berterusan sehingga hanya kelompok elit yang bertambah kaya manakala rakyat jelata terus melata berkais pagi makan pagi?
Kalau Sultan Melaka memerintah, mungkinkah laksamana angkatan laut akan membeli kelengkapan perang, termasuk kapal yang mampu timbul atau yang sengaja tenggelam dengan harga berpatutan tanpa komisen beratus juta ringgit kepada seorang baginda yang hanya pada nama dan bukan pada takhta? Bagaimana pula dengan perbelanjaan lain negara, adakah ia secara berhemah dan bijaksana atau boros membazir tanpa penghujung? Adakah jalan keretapi akan dibina dengan harga berlipat ganda dari biasa ibarat landasan bersalut emas?
Sekiranya Sultan Melaka memerintah, adakah hulubalang dan pahlawan penjaga keamanan akan mempertahankan rakyat atau menangkap lalu dikurung dan dipukul rakyat jelata tanpa sebab dan bicara kerana memelihara kepentingan puak tertentu. Janganlah penjaga aman cepat menahan reman rakyat yang mungkin di’Kugankan’ atau di’Aminulrasyidkan’ atau di’Beng Hockan’ atau di’Sarbanikan’ tanpa saksi, warna kulit, umur dan hayat. Adakah begitu murah dijual janji ikrar sumpah pahlawan untuk beberapa keping emas atau kepingan timah tanda gelaran disemat di dada baju?
Kalau Sultan Melaka memerintah, adakah rakyat dibiarkan menanggung beban hidup melampau tanpa subsidi hasil khazanah negara yang sememangnya mencukupi jika tidak diboroskan atau dikalihkan untuk projek-projek mewah maha membazir? Harga barang naik termasuk gula melaka tetapi subsidi korporat besar dikurangkan dengan begitu perlahan sehinggakan sang siput dinobatkan juara pertandingan lari merentas desa?
Kalau Sultan Melaka memerintah, adakah tanah jajahan Pulau Batu Putih, Blok L dan M atau sumber air mentah diserahkan tanpa sebarang suara pahlawan berteriak marah atau keris keramat dihunus berani melainkan di perhimpunan agung para lanun buat tontonan dicermin sendiri?
Sekiranya Sultan Melaka memerintah, adakah tata susila bangsa dan agama yang mencerminkan nilai-nilai murni sejagat menjadi pencorak budaya dan amalan rakyat?
Adakah baginda sanggup melihat martabat qazaf direndahkan dengan hanya lafaz sumpah buat selindung fitnah mengorbankan syariah akibat kerenah tiga sekawan yang buta hukum tetapi celik konspirasi berbayar demi mengaut untung sementara duniawai tetapi mengecap kerugian kekal ukhrawi?
Adakah baginda akan berjuang memperkasakan perlembagaan mensejahterakan rakyat atau berdiam saja apabila lanun politik memperkosakan janji kemerdekaan hak rakyat? Di manakah Sultan Melaka atau pemerintah Melayu yang akan membela rakyat secara jujur?
Itulah dia seribu kemungkinan perjalanan sejarah yang menjadi tanda tanya kerana tidak lama lagi kita rakyat semua dapat membuat pilihan menentukan masa depan negara dan mencorak sejarah kita sendiri yang lebih baik, lebih makmur dan lebih saksama di peti undi, itupun kalau tidak dirompak lanun politik.
Marilah kita belajar dari sejarah untuk mencipta sejarah lebih gemilang kerana sudah tiba masanya kita laksanakan reformasi politik secara berkesan dan menyeluruh.