Skip to main content

ANJAK KESEDARAN BANTU PALESTIN DALAM MALAYSIA BAHARU

 

Dunia digegarkan dengan penarikan semula dana Amerika Syarikat sejumlah USD 300 juta (RM 1.2 billion) daripada Agensi Pelarian Palestin Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA). Saya percaya, ramai bersetuju dengan saya bahawa tindakan sebegitu sudah pasti memberi tekanan mendalam buat lebih 5 juta penduduk Palestin – majoritinya anak-anak dan wanita.Justeru, saya menyokong penuh tindakan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang menubuhkan Tabung Derma Palestin melalui Yayasan Kebajikan Negara (YKN). Inisiatif mulia ini pastinya bakal menyuntik semangat kepada penduduk Palestin, yang amat menghargai bantuan makanan, kebajikan, pendidikan dan keperluan asas.

Saya turut menyeru warga Malaysia untuk sama-sama menghulurkan sumbangan secara terus untuk memastikan sekolah-sekolah seliaan UNRWA di Gaza mampu memberikan peluang pendidikan kepada anak-anak Palestin.

Makluman dari UNRWA menunjukkan bahawa sumbangan RM 92 dapat membantu penyediaan kit persekolahan untuk seorang kanak-kanak pelarian Palestin, RM 151 untuk bekalan makanan asas sekeluarga dan hampir RM 900 untuk memastikan sebuah keluarga pelarian Palestin mendapat tempat perlindungan untuk tempoh sebulan. Sedikit bantuan yang kita hulurkan, pastinya memudahkan kehidupan para penduduk dan pelarian Palestin yang sedang sengsara.

Didapati, situasi di Gaza semakin meruncing; ia mampu memberi implikasi penutupan sekolah-sekolah di sana – yang bakal memberi kesan kepada kira-kira 300,000 anak-anak Palestin menjelang Ogos ini andai tidak dibantu dengan segera.

Malahan, kadar kos RM 800 juta yang diperuntukkan UNRWA untuk menguruskan perjalanan projek dan operasi di Palestin juga berhadapan risiko untuk dihentikan, sekaligus mengganggu perjalanan kehidupan warga Palestin yang sudah dirundung malang dari hari ke hari.

YAB Perdana Menteri dan YAB Timbalan Perdana Menteri Malaysia sudah menyuarakan sokongan mereka terhadap usaha UNRWA. Semestinya Malaysia akan tidak teragak-agak untuk menyuarakan isi hati rakyat tempatan berhubung krisis Palestin di peringkat antarabangsa, termasuk Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Malaysia sedari awal prihatin dengan perjuangan rakyat Palestin yang berhadapan dengan tekanan zalim dan dasar aparteid Kerajaan Israel yang melahirkan 5 juta pelarian yang diperangkap di tanah sendiri.

 

NURUL IZZAH ANWAR
AHLI PARLIMEN PERMATANG PAUH
NAIB PRESIDEN, KEADILAN