NURUL IZZAH ANWAR
10 DISEMBER 2013
SINAR HARIAN
PERHIMPUNAN Agung Umno empat hari mengingatkan saya cerita rakan-rakan sewaktu di universiti dahulu, tentang bagaimana mereka dipau (peras ugut) semasa berada di Kuala Lumpur.
Nampaknya, perangai pemimpin-pemimpin Umno tak ubah seperti kaki-kaki pau, yang berbeza adalah darjatnya. Nampaknya, perhimpunan yang sepatutnya menjadi medan perbincangan isu-isu yang memberi kesan kepada rakyat, menjadi medan perbincangan tentang bagaimana untuk mengekalkan kuasa dalam tangan mereka.
Sebelum pilihan raya dulu, Presiden Umno pernah berkata mereka prihatin dengan peningkatan kos sara hidup.
Tetapi setelah menang, gerakan “pau” rakyat bermula tanpa belas kasihan. Menurut Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak, “rakyat perlu terus bersabar dan berkorban untuk keutuhan kewangan negara.” Bermula dengan kenaikan harga minyak, kemudian pemotongan subsidi gula, pengenalan GST pada 2015 dan yang terbaharu, pengumuman kenaikan tarif elektrik sebanyak 15 peratus.
Mungkin Umno boleh mencanangkan Agensi Penarafan Antarabangsa Moody’s menaiktarafkan kredit Malaysia kepada A3, tetapi kenapa langsung tidak ada yang mempersoalkan tentang ketirisan dan keborosan, serta gejala rasuah berleluasa yang menyebabkan taraf ini diturunkan terlebih dahulu? Nampaknya, mereka cuma berminat untuk mengambil langkah singkat untuk memenuhkan kembali kewangan negara dengan “pau” duit rakyat.
Ini dikatakan “orang lain boros belanja berhutang, rakyat kena ‘pau’ bayarkan.”
Justeru, panggilan rakyat untuk reformasi dan bukan sekadar transformasi ekonomi mesti diambil kira bagi memulihkan dan meningkatkan pendapatan rakyat yang sentiasa mendatar yang akan memperluaskan lagi jurang kemiskinan dengan ‘cukai’ dan kos barang naik meninggi yang akan dipikul oleh majoriti orang Melayu.
Di antara reformasi ekonomi yang pernah disebutkan adalah memberhentikan pemusatan kuasa dan ekonomi dengan melaksanakan persaingan sihat yang dapat menurunkan harga rumah, kenderaan dan barangan sara hidup.
Kerajaan mesti meninggalkan aktiviti perniagaan dengan menjual syarikat-syarikat milik kerajaan kepada pengurusan serta kumpulan pekerja agar produktiviti dan inovasi digandakan.
Bajet seimbang jujur lagi berani mengamalkan prinsip ketelusan tender terbuka, melebarkan sumber pendapatan bukan dengan GST, menyelaraskan subsidi berdasarkan keperluan bukan perkauman, melaksanakan penjimatan seperti menggantung program-program Permata mahu pun PLKN, mengkaji semula semua perjanjian konsesi elektrik, air dan lebuh raya.
Penstrukturan semula agihan pendapatan negara daripada kerajaan Pusat terus kepada negeri-negeri sesuai dengan prinsip negara Persekutuan bilamana sebagai contoh rakyat Selangor yang menyumbangkan RM16 bilion cukai pendapatan hanya memperoleh sekitar RM70 juta atau 0.4% melalui pemberian geran ‘capitation’ atau isu menafikan hak negeri seperti Kelantan menerima royalti minyak mesti diperbetulkan.
Pada masa sama sempena Hari Anti-Rasuah Antarabangsa semalam, adalah juga dicadangkan Jabatan Audit Negara dinaiktarafkan menjadi sebuah suruhanjaya dengan digandakan jumlah kakitangan seramai lima kali agar pembelaan dana awam serta membanteras ketirisan menjadi realiti.
Sememangnya apabila digandingkan dengan SPRM yang lebih bebas adalah menjadi harapan agar pegar tidak makan atau ‘pau’ padi lagi.
Isu pendidikan yang merosot juga gagal diketengahkan secara komprehensif. Ranking PISA (Programme for International Student Assessment) Malaysia amat memalukan sekali. Berbanding Vietnam, sebuah negara yang mempunyai sumber ekonomi sangat terhad, Malaysia jauh ketinggalan.
Dengan itu reformasi dan bukan transformasi pendidikan bermula dengan tidak mempolitikkan pendidikan serta meningkatkan mutu pembelajaran secara serius dan radikal. Tumpuan kepada kaedah berfikir dengan kreativiti dalam sukatan, peningkatan kualiti kemahiran guru-guru serta peningkatan suasana pembelajaran di sekolah-sekolah melalui prasarana taraf dunia dengan penggunaan teknologi terkini mesti disegerakan.
Sudah tiba masanya untuk ditubuhkan satu Majlis Perundingan Pendidikan Kebangsaan yang melibatkan semua pihak berkepentingan termasuk ibu bapa, badan-badan bukan kerajaan dan pakar-pakar antarabangsa untuk menggariskan hala tuju pendidikan yang terbaik secara adil dan telus.
Dipetik dari:
http://www.sinarharian.com.my/kolumnis/nurul-izzah/apa-lagi-yang-umno-mahu-1.229154