7 JAN — Setiap perbuatan akan dinilai dengan niat atau nawaitu di sebalik perbuatan itu.
Oleh demikian, rakyat harus menilai apakah niat sebenar Umno didalam beberapa peristiwa dan tindakan yang berlaku kebelakangan ini.
Adakah niat Umno untuk memartabatkan kedaulatan raja-raja melayu khususnya di dalam isu perlantikan SUK Negeri Selangor yang dikatakan diperkenankan oleh Sultan sendiri atau sekadar menggunakan institusi raja-raja melayu (secara retorik#) untuk kepentingan kelangsungan hayat Umno?
Adakah niat Umno untuk berbincang dengan PAS mengenai kerajaan perpaduan diambang hari Natal di Istana Terengganu demi kepentingan kaum Melayu atau untuk kepentingan sempit Umno sahaja?
Adakah niat Umno melaungkan 1Malaysia untuk perpaduan rakyat atau untuk perpecahan rakyat demi kepentingan Umno sahaja?
Adakah niat Umno untuk mendahulukan rakyat didalam memberhentikan subsidi rakyat atau mendahulukan kepentingan ekonomi Umno sahaja?
Adakah niat Umno untuk membangunkan hartanah penduduk Kampung Baru atau untuk membangunkan hartanah menguntungkan Umno sahaja?
Adakah niat Umno untuk mencanangkan peningkatan pendapatan rakyat dengan Model Eknomi Baru atau sekadar mencari peluang mengkayakan kroni dengan projek-projek mewah lagi mahal?
Adakah niat Umno untuk menjamin demokrasi rakyat dengan membiarkan proses pilihanraya yang berat sebelah sehinggakan perkara mudah dan dasar seperti menggunakan dakwat untuk jari mereka yang sudah mengundi dilarang demi untuk menjamin kemenangan ‘curi ayam’ Umno sahaja?
Adakah niat Umno untuk mempertahankan hak rakyat dengan terus memanjangkan pengisytiharaan darurat serta undang-undang anti-demokratik seperti ISA atau untuk sebenarnya mempertahankan ‘hak’ Umno terus memerintah?
Adalah tidak salah kalau tindakan Umno berniat untuk kepentingan Umno sahaja tetapi ia harus berlaku jujur dan berterus terang kepada rakyat bahawa segala yang dilakukan itu adalah semata-mata untuk kepentingan Umno secara ekslusif dan bukan inklusif untuk semua rakyat sehinggakan Raja-Raja melayu, kakitangan kerajaan dan institusi kerajaan dijadikan sekutu bersubahat didalam agenda Umno sahaja.
Seandainya Umno benar-benar berniat memperjuangkan hak rakyat, Umno seharusnya menyambut tawaran membentangkan satu rang undang-undang dwi-partisan bersama Pakatan Rakyat didalam satu sidang parlimen tergempar yang boleh dipanggil oleh Presiden Umno pada bila-bila masa sahaja, bernama AKTA PEMULIHAN DEMOKRASI yang bertujuan untuk membatalkan pengisytiharan darurat, memansuhkan undang-undang anti-demokratik, menunaikan perjanjian Sabah dan Sarawak, menjamin pilihanraya yang telus lagi bersih, mengembalikan pilihanraya kerajaan tempatan dan menjaminkan kebebasan media dengan kadar segera.
Biarlah AKTA PEMULIHAN DEMOKRASI ini menjadi ujian kejujuran niat Umno serta niat Pakatan Rakyat dengan memberikan peluang sebenar untuk rakyat menentukan siapa yang dipilih memerintah Negara dan memperjuangkan hak rakyat secara adil.
Memang benar, niat menjadi penilai segala perbuatan dan rakyat mesti membuat penilaian serta pilihan jika Umno berniat ikhlas dan suci untuk rakyat atau sebaliknya?
* Nurul Izzah Anwar adalah Ahli Parlimen Lembah Pantai dan naib-presiden PKR.
(pertama kali disiarkan di The Malaysian Insider, 7 Jan 2011)