Skip to main content
Issues Affecting the RakyatPenerbitanSosio Ekonomi

BELANJAWAN MASA DEPAN?

By 21 October, 2014February 5th, 2021No Comments

Untuk kali ke enam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membentangkan belanjawan Malaysia bagi tahun 2015. Sementara ada yang bersorak dengan pertambahan pemberian BR1M; hendaklah kita ingat, kita bertanggungjawab memastikan kerajaan berusaha menjamin kemampanan ekonomi masa depan.

Dalam melakar masa depan Malaysia sebagai sebuah negara yang terus maju; belanjawan kita harus menyasar permasalahan mengenai kelebaran jurang pendapatan dan kualiti pendidikan yang semakin menurun. Pada hemat saya, belanjawan kali ini masih lagi gagal untuk menjadikan kedua-dua masalah ini sebagai tumpuan utama; golongan berpendapatan tinggi diberikan pelepasan cukai yang lebih tinggi, sementara golongan berpendapatan rendah diberikan bantuan BR1M yang lebih besar; tanpa solusi jangka panjang. Yang menjadi mangsa adalah kelas pertengahan sebenar.

Bak kata pepatah Melayu, sudah jatuh, ditimpa tangga. Golongan kelas pertengahan ini semakin tersepit dengan belanjawan yang seolah-olah melupakan mereka. Lebih kronik, golongan pertengahan tambah rendah akan lebih terbeban dengan kenaikan harga bahan api baru-baru ini.

Sudah acapkali disebut, ramalan Bank of America Merrill Lynch – bahawa Malaysia akan menjadi sebuah negara yang ‘muda dan miskin’ menjelang tahun 2030; sementara pakar ekonomi Malaysia sendiri, Prof Fatimah Kari, pernah menyatakan bahawa tahap kemiskinan akan melonjak dek kerana rasionalisasi subsidi yang dijalankan oleh kerajaan. Ternyata, hakikat serta ramalan ini sehingga hari ini tidak diendahkan oleh kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib.

Dari segi pendidikan pula, Frederico Gil Sander, pakar ekonomi Bank Dunia pernah menyatakan bahawa kualiti pendidikan Malaysia yang buruk ini lebih membimbangkan daripada kadar hutang isi rumah Malaysia.

Kebimbangan Ini terbukti pabila pelajar Malaysia jauh ketinggalan berbanding dengan pelajar serantau dalam peperiksaan PISA 2012; sehinggakan ketinggalan lebih kurang 4 tahun berbanding dengan rakan-rakan seusia dari Singapura, Korea dan China.

Dalam sebuah laporan yang bertajuk “Piketty and Plutonomy: the Revenge of Inequality”, Bank of America Merill Lynch telah mengatakan bahawa hanya terdapat dua cara untuk mengatasi jurang pendapatan ataupun jurang kekayaan; pendidikan yang berkualiti tinggi dan sistem cukai yang fokus terhadap 1 peratus yang terkaya di sesebuah negara.

Pada ketika ini, Malaysia berada pada tangga keempat tertinggi di dunia dalam aspek pemusatan kekayaan.

Kekayaan mereka yang terkaya di Malaysia bernilai setaraf dengan 18 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia, bernilai kira-kira US$52.25 billion (menurut Bank Dunia, KDNK Malaysia pada 2013 ialah US$ 312.5 billion).

Bandingkan angka ini dengan United Kingdom dan Jepun yang cuma 6.8 peratus dan 1.9 peratus masing-masing. Perkara sebeginilah yang menyebabkan Ketua Pembangkang di Parlimen Malaysia, Dato’ Sri Anwar Ibrahim menuntut agar jumlah cukai yang dibayar oleh 20 individu terkaya di Malaysia didedahkan kepada Ahli-ahli Parlimen!

Kita harus mencari sebuah sistem cukai yang lebih adil untuk dikenakan kepada individu-individu ini, termasuk cukai keuntungan modal, cukai hadiah dan cukai harta pusaka, dalam usaha mengecilkan jurang kekayaan.

Justeru, saya kecewa sekali mendengar Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan mempertahankan golongan kaya dengan mengatakan orang kaya akan meninggalkan negara ini sekiranya dicukai terlalu banyak, dalam komentar beliau mengenai Cukai Keuntungan Modal bagi Ekuiti (Capital Gains Tax) dan Cukai Warisan Harta yang dicadangkan oleh Pakatan Rakyat sebagai gantian GST; dengan alasan Malaysia masih lagi belum mencapai negara maju.

Janggal sekali kenyataan ini, kerana alasan inilah yang menghalang GST daripada dilaksanakan. Apatah lagi sebelum ini beliau beria-ia mempertahankan pengurangan subsidi minyak untuk mencukai yang lebih kaya ini.

Jelas sekali, kerajaan tidak mempunyai minat untuk menjaga keselesaan hidup rakyat kebanyakan.

Mengenai pengurusan kekayaan petroleum, saya sebelum ini telah mencadangkan sebuah rang undang-undang untuk meminda Akta Pembangunan Petroleum 1974 untuk memastikan Petronas bertanggungjawab kepada Parlimen; bukannya Perdana Menteri sahaja. Dan dalam bulan Jun lepas, saya telah meminta supaya Perdana menteri untuk melaksanakan Inisiatif Tranparensi Industri Ekstraktif supaya rakyat Malaysia lebih maklum dan tahu perincian penggunaan keuntungan Petronas yang berjumlah sehingga RM700 billion; termasuk juga keuntungan dari syarikat-syarikat minyak dan gas lain yang beroperasi di Malaysia.

Akhir sekali, saya ulangi, belanjawan kali ini masih lagi gagal dalam mendepani cabaran zaman.

Usaha membela golongan kelas pertengahan penting dalam memastikan kemampanan ekonomi negara lebih terpelihara. Untuk membina masa depan yang lebih cerah, kita memerlukan sebuah Tabung Generasi Masa Depan. Tabung ini melibatkan sumbangan tahunan – daripada saat kelahiran seseorang warga negara sehingga bayi itu berumur 18 tahun. Pada saat itu, setiap rakyat Malaysia yang mempunyai akaun ini akan menerima kira-kira RM45,000 untuk digunakan samada untuk membiayai pendidikan, pembelian rumah atau untuk melabur dalam tabung amanah.

Sekiranya kerajaan memulakan program ini pada tahun 2015, perbelanjaan yang diperlukan ialah kira-kira RM1 billion setahun, dan akan stabil pada maksimum RM18 billion setahun pada tahun ke 18 beroperasi. Tabung ini, sepertimana yang telah diamalkan dinegara-negara lain dikenali sebagai Bon Bayi (Baby Bonds).

Untuk mengutarakan isu-isu ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib jarus segera memulakan sebuah jawatankuasa fiskal parlimen. Setiap belanjawan yang diluluskan oleh parlimen mestilah memastikan keperluan generasi masa akan datang dijamin, dan dibentuk oleh keputusan yang dibuat secara kolektif dan inklusif bersama-sama kesemua pihak-pihak berkepentingan.

Walaupun belanjawan yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri masih lagi tidak mencerminkan usaha untuk memastikan kekayaan negara dapat dinikmati dalam jangkamasa yang panjang, saya percaya masih belum terlambat untuk kerajaan Malaysia untuk membetulkan kesilapan lampau; Yang diperlukan hanyalah keazaman politik untuk merealisasikan objektif murni Demi masa depan anak bangsa! Hendak seribu daya – tak hendak seribu dalih!

Artikel ini pertama kali muncul di Sinar Harian: http://www.sinarharian.com.my/kolumnis/nurul-izzah/bajet-2015-belanjawan-masa-depan-1.326108