Skip to main content
Education

CADANGAN PENAMBAHAN USUL: MENGECAM PENCEROBOHAN SERTA PEMBUNUHAN RAKYAT GAZA OLEH TENTERA REGIM ISRAEL

By 23 July, 2014February 5th, 2021No Comments

YANG AMAT BERHORMAT DATUK SERI MOHD NAJIB BIN TUN ABDUL RAZAK
PEJABAT YAB PERDANA MENTERI
Blok Utama
Bangunan Perdana Putra
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62502 Putrajaya

Assalamualaikum W.B.T. Yang Amat Berhormat Datuk Seri Najib,

PER: CADANGAN PENAMBAHAN USUL DI BAWAH PERATURAN MESYUARAT 11 (3) – MENGECAM PENCEROBOHAN SERTA PEMBUNUHAN RAKYAT GAZA OLEH TENTERA REGIM ISRAEL

Dengan segala hormatnya kami merujuk kepada tajuk di atas.

Kami memulakan surat ini dengan menyatakan persetujuan sebulat suara atas keputusan YAB Perdana Menteri selaku Ketua Majlis Dewan Rakyat pada 18 Julai 2014 di bawah Peraturan Mesyuarat 11 (3), Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat supaya Dewan Rakyat bersidang selama (1) hari pada 23 Julai 2014 untuk membahaskan satu usul mengenai tragedi serangan yang menimpa pesawat MH17 pada 17Julai 2014.

Kami juga dengan segala hormatnya ingin menarik perhatian YAB Perdana Menteri kepada isu kekejaman dan keganasan Israel terhadap penduduk Gaza menerusi Operasi Perlindungan Sempadan yang dilakukan pada 8 Julai 2014 yang lalu; khususnya kemasukan tentera darat Israel ke Semenanjung Gaza.

Justeru, kami memohon agar agenda mesyuarat tergempar pada hari ini turut juga memuatkan agenda mengecam pembunuhan rakyat Gaza yang tidak berdosa; termasuk kanak-kanak dan wanita, yang merupakan majoriti dua pertiga mereka yang terkorban sejak serangan dilakukan oleh tentera Israel pada 7 Julai 2014.

Menurut PBB, sebanyak 75% mereka yang terkorban adalah dari orang awam. Peristiwa yang lebih menyayat hati ialah empat orang kanak-kanak yang merupakan adik-beradik mati dibom roket Israel Defense Force (IDF) semasa bermain di tepi pantai Gaza pada 16 Julai lalu. Mereka ialah Ahed Atef Bakr dan Zakaria Ahed Bakr, berumur 10 tahun, Mohamed Ramez Bakr, 11 tahun, dan Ismael Mohamed Bakr, 9 tahun.

Pada ketika ini jumlah yang terkorban dalam serangan ini telah mencecah sehingga lebih daripada 500 nyawa, sementara jumlah yang cedera telah meningkat melebihi 3200 orang.

Sungguhpun konflik Israel-Palestin ini telah berlangsung berdekad lamanya sejak 1948, pendirian yang tegas perlu diambil oleh pihak kerajaan yang konsisten terhadap pencabulan di tanah Palestin. Wajarlah kita menyingkap kembali peristiwa kedegilan Israel sebagai“negara pengganas”:
Pencabulan Israel terhadap Resolusi UN

• Menurut Jeremy R. Hammond, pakar penganalisis politik Foreign Policy Journal, Israel sekurang-kurangnya telah melanggar sebanyak 79 resolusi Majlis Keselamatan PBB dari tahun 1948-2009. Perlanggaran ini termasuklah beberapa resolusi yang dikeluarkan bagi mengecam tindakan ketenteraan Israel ke atas negara-negara Timur Tengah seperti Syria, Jordan, Lebanon dan Palestin.

• Pada tahun 2013, menurut Laporan Sidang Umum PBB ke-68, sebanyak 21 resolusi telah dikeluarkan mengkritik eksploitasi Israel terhadap tanah Palestin yang dirampas sejak 1967. Malah, pada sesi sidang Majlis Hak Asasi Manusia PBB yang ke-25 (3-8 March 2014), UN telah pun meluluskan 4 resolusi menentang pendudukan Israel ke atas Palestin walaupun diselar sebagai keputusan yang berat sebelah oleh Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu. Kedegilan Israel juga tergambar menerusi pencabulan terhadap ‘Advisory Opinion’ Mahkamah Antarabangsa tahun 2004 yang mengecam pembinaan tembok pemisah di dalam kawasan jajahan Israel di Palestin.

• Pencabulan ini disokong oleh Amerika Syarikat yang sentiasa menggunakan kuasa vetonya bagi menolak resolusi PBB. Contohnya, pada tahun 2013, AS telah memveto keputusan Majlis Keselamatan PBB bagi mengecam pendudukan haram Israel dari 1967 atas alasan bahawa resolusi itu akan mengancam peluang untuk perdamaian.

Agenda mesyuarat sebaiknya mengandungi bahan perbahasan termasuk:

Menghentikan segala hubungan dagang dengan Israel

• Pada tahun 2010, Malaysia merupakan rakan dagang Israel yang ke-15 terbesar, dengan jumlah import dari Israel (63.9 juta Euro) dan jumlah export ke Israel (603.7 juta Euro). Menurut kajian Benyamin Neuberger dari Tel Aviv University, hubungan Afrika dan Israel pernah terjejas teruk pada tahun 1973 berikutan Perang Yom Kippur yang menyebabkan 7 negara Afrika memutuskan hubungan dengan Israel dan tidak kurang 21 negara Afrika menghentikan hubungannya dengan Israel atas solidariti terhadap Mesir sebagai protes terhadap kemasukan tentera Israel melalui Terusan Suez.

• Menurut Laporan Biro Statistik Israel, hubungan dagang Malaysia dan Israel pada tahun 2008-2011 berubah-ubah. Ia menunjukkan peningkatan dari 2008, eksport Israel ke Malaysia berjumlah ($30.2 juta), eksport Malaysia ke Israel berjumlah ($100.6 juta) kepada $716.4 juta eksport ke Malaysia dan import dari Malaysia berjumlah$93.6 juta pada 2011.

Maka kami menyeru hubungan dagangan ini dihentikan serta-merta bagi menyatakan pendirian terhadap keganasan Israel dan solidariti bersama Gaza.

Kami juga ingin menyeru supaya Malaysia menggunakan kerusinya di di Konferens Negara-Negara Islam (OIC) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mengecam tindakan Israel ini.

Malah, Malaysia juga wajar untuk menggesa Presiden Obama untuk menuntut Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan tenteranya IDF untuk menghentikan serangan ke atas Gaza dan mengeluarkan tentera darat mereka dengan serta merta.

Malaysia juga perlu untuk meneruskan dan menghantar dana bantuan kemanusiaan ke Gaza (makanan,perubatan, pakaian) serta bantuan tenaga sukarelawan.

Kami dengan ini, sekali lagi menyeru agar Dewan yang mulia ini mengambil perhatian terhadap isu ini dan menyatakan sokongan bagi memboikot sebarang hubungan dagangan dan syarikat-syarikat yang terus terang mendanai projek terorisme Israel. Kami juga mencadangkan sekatan perdagangan serta semua bentuk tekanan lain yang boleh dilaksanakan ke atas Israel bagi menghentikan kezaliman di Gaza.

Yang Menjalankan Tugas,

Nurul Izzah Anwar
Ahli Parlimen Lembah Pantai

Liew Chin Tong
Ahli Parlimen Kluang

Khalid Abdul Samad
Ahli Parlimen Shah Alam