Semalam saya sempat menghadiri majlis menyambut ulang tahun YDP Agong bersama teman-teman PR lain. Kami yang sememangnya minoriti pada hari tersebut merasa sedikit lucu pabila melihat pintu gerbang istana ; iyalah dahulu memang tak diberi kebenaran untuk masuk, selalunya melihat sahaja dari luar sementara ditemani FRU, pihak polis dan memorandum yang kami bawa beramai-ramai dalam demonstrasi yang diadakan. Sebaliknya, pada petang semalam, ada di antara kami yang perlu pulang awal untuk menghadiri program seterusnya,tapi diberitahu bahawa pintu gerbang hanya boleh dibuka bila YDP berangkat pulang : ) hehe . Kalau dahulu sukar untuk masuk sekarang sebaliknya! Sedikit ironis tapi begitulah hidup ini.
Dalam kesempatan semalam, saya juga memberi komen dalam RTM bersama YB Tian tentang kenaikan harga petrol dan diesel yang begitu mendadak. Langkah ini dilakukan tanpa penjelasan kepada rakyat ataupun kepada kami, wakil pembangkang semasa perbahasan dalam parlimen. Ia mencerminkan sikap angkuh kerajaan yang seolah-olah tidak berpijak pada bumi nyata. Adakah kerajaan tidak melihat kepada kesusahan rakyat terbanyak? Kenaikan 41 peratus untuk harga petrol ini kononnya ditampung dengan baucer wang untuk golongan yang berpendapatan rendah. Masalah utama dalam hal ini adalah pengawalan mekanisme bantuan. Sudah tentu bukan semua yang memiliki kenderaan jenis 2000 cc ke bawah benar-benar layak menerima bantuan ini. Dan kalaupun mahu diberikan, adakah jabatan-jabatan kerajaan yang sedia ada boleh memastikan bebanan pembayaran dapat dipikul secara lancar? Datuk Shahrir Samad sendiri membangkitkan kebimbangan beliau dalam hal ini : ini bermaksud kerajaan bn gopoh, dan kegopohan ini akan terus menghimpit dan menekan rakyat bawahan yang jelas merasakan keperitan inflasi dan impak daripada penghapusan subsidi.
Kita negara pengeksport minyak, maka kenaikan harga di pasaran dunia tentunya akan menguntungkan kita. Saya tidak menolak kepentingan menjaga dana negara, tapi kenapa pengorbanan demi dana pembangunan dilakukan oleh rakyat biasa? Tapi pemborosan melalui projek-projek besar kerajaan berterusan. Bagaimanakah mana-mana pemimpin yang bertanggungjawab sanggup menerima kenaikan harga yang begitu tinggi, hinggakan tidak langsung difikirkan kemungkinan dilakukan secara berperingkat? Saya fikir kita perlu bangkit memberi mesej jelas bahawa kita tidak menerima keputusan yang meminggirkan rakyat yang dibuat tanpa perkiraan rasional.