Pemimpin Malaysia yang telah berkumpul di Bosphorus, Istanbul, Turkey, pada 17 Oktober 2015 mendesak seluruh rakyat Malaysia agar bersatu demi menyelamatkan negara dari ancaman perkauman, fahaman agama yang sempit, ekstremis dan ketidak toleransian.
Malaysia sedang berhadapan saat paling getir apabila beberapa isu kritikal menghambat negara dalam satu masa melibatkan aspek politik, ekonomi, sosial dan hubungan antara kaum.
Kami menggesa seluruh rakyat agar bersatu padu untuk menyelamatkan Malaysia demi memastikan kita tidak terjerumus ke kancah huru-hara yang memusnahkan harapan seterusnya dapat bangkit dari krisis melalui transisi demokratik kearah membina Malaysia sebagai sebuah negara contoh yang moderat dan bertoleransi untuk dicontohi dunia.
Seruan kami ini juga ditujukan kepada ahli parlimen UMNO dan Barisan Nasional yang turut sama menjadi elemen penting untuk melakukan perubahan secara demokratik semasa parlimen bersidang bermula Isnin 19 Oktober 2015 ini.
Maka, dalam konteks inilah kami mengalu-alukan pertemuan bersejarah yang telah mempertemukan bekas-bekas pemimpin veteran UMNO/Barisan Nasional termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad, Tengku Razaleigh Hamzah, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Tan Sri Sanusi Junid, Datuk Seri Shafie Apdal, Tun Ling Liong Sik dan Tan Sri Ong Tee Keat.
Kami menggesa kesemua pemimpin veteran UMNO/Barisan Nasional ini agar selangkah kehadapan merealisasikan perubahan yang dapat memberi kesan terhadap sidang parlimen yang bakal berlangsung nanti.
Bosphorus adalah selat yang menghubungkan antara benua Eropah dan Asia. Maka para pimpinan politik berhimpun di sini dengan semangat harapan baharu untuk Malaysia dan negara akan bangkit menjadi obor harapan baru dipentas dunia.
Selaku bangsa Malaysia berdaulat. Marilah kita bersatu selamatkan Malaysia diatas semangat Rukunegara:-
Kepercayaan kepada Tuhan;
Kesetiaan kepada Raja dan Negara;
Keluhuran Perlembagaan;
Kedaulatan Undang-Undang;
Kesopanan dan Kesusilaan.
Nurul Izzah Anwar, Naib Presiden, Parti KeADILan Rakyat
Salahuddin Ayob, Timbalan Presiden, Parti Amanah Negara
Liew Chin Tong, Pengarah Pendidikan Politik, Parti Tindakan Demokratik