Skip to main content
Education

Di Mana Hero Melayu?

By 17 December, 2014February 5th, 2021No Comments

Dewasa ini kedengaran suara-suara menyahut cabaran selaku ‘Hero’ (Wira) Melayu. Sejarah telah menyaksikan senarai barisan hero, termasuklah Hang Tuah, Hang Jebat, Tok Janggut, Datuk Maharajalela sehinggalah Leftenan Adnan. Tentu tidak disangka, salah seorang daripada nama-nama tersebut termasuklah Datuk Ibrahim Ali?

Kemungkinan janggal, namun begitulah yang diakui oleh ‘self-proclaimed’ Hero (Wira) Melayu, Datuk Ibrahim Ali, yang terkini menyerang segelintir daripada pimpinan parti sekutu Perkasa, UMNO – United Malays National Organisation (parti yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai namanya) selaku organisasi yang tidak melakukan sebaiknya dalam mempertahankan kedudukan orang Melayu (mereka juga diselar ‘ba*ngs*t oleh Hero Datuk Ibrahim Ali).

Polemik keheroan/ kejaguhan / kewiraan dalam mempertahankan ‘Melayu’ ini sudah tentu tidak akan dirungkai dengan mudah. Namun di sebalik pertarungan ini, yang fundamental buat saya adalah cara kita menilai indikator kejayaan dalam mempertahankan orang Melayu.

Setiap kali Perhimpunan Agung UMNO berlangsung, maka berdegar dewan dengan suara pemimpin parti tersebut dengan retorik bagaimana Melayu dan Islam diancam oleh parti-parti yang tidak bersekutu dengannya.

Beginilah, untuk menilai dengan berkesan segala dakwaan yang dibuat pemimpin UMNO, sebaiknya para delegasi UMNO perlu menggesa pemimpin-pemimpin mereka untuk mendedahkan Laporan Tahunan hasil terkini agenda pemerkasaan Melayu mereka.

Sedangkan syarikat-syarikat persendirian sekalipun membentangkan laporan tahunan mereka; mengapa tidak buat organisasi ‘pejuang Melayu’ dahulu, masakini, dan selamanya ?

Antara lain, laporan yang perlu dituntut ialah sejauhmana kejayaan syarikat-syarikat Melayu setelah menerima pinjaman dari agensi-agensi seperti Tekun, PUNB ataupun MARA.

Kajian yang mendalam perlu dibuat untuk menentukan kadar kejayaan program-program sebelumnya, dan mendapatkan alasan jitu kenapa sesuatu syarikat itu gagal.

Antara kegagalan yang harus diakui adalah ketiadaan kesan berganda menerusi kekayaan yang tercipta buat segelintir pengarah, ketua pengarah eksekutif, pemegang saham – yang tentunya tidak mewakili masyarakat Melayu yang masih terpinggir, terperangkap di dalam jerat kemiskinan.

Sebanyak 55 peratus golongan bumiputera masih lagi gagal menjadi pemegang saham Amanah Saham Bumiputera – yang diwujudkan di atas nama mereka. Jumlah median aset kewangan yang dimiliki golongan Bumiputera adalah hanya RM1 ![1]

Parti-parti politik tidak boleh menutup sebelah mata sekiranya kegagalan-kegagalan ini dikesan. Adalah menjadi tanggungjawab kita mengkaji serta memperbaiki kelemahan-kelemahan yang ada untuk memastikan kejayaan bagi usahawan-usahawan yang baru. Kesediaan sebegini juga bergantung kepada keikhlasan serta kepedulian UMNO dengan kejayaan bangsa Melayu dalam erti kata sebenarnya.

Natijahnya, setiap kali delegasi-delegasi UMNO berkumpul, tidak pernah sekalipun dibentang statistik-statistik pemerkasaan bangsa Melayu.

Dimanakah segelintir kecil usahawan-usahawan Melayu ciptaan UMNO yang –tidak mewakili masyarakat Bumiputera amnya dengan aset kewangan median RM 1 – adakah mereka ingat akan teman-teman lain yang terpinggir yang tidak mampu bergantung kepada projek-projek kerajaan? Dimanakah pula usahawan-usahawan Melayu lain yang mampu bersaing secara sihat dengan usahawan-usahawan lain dalam pasaran terbuka?

Sekira UMNO berjaya dalam memerkasakan Melayu setelah hampir 60 tahun memegang tampuk pemerintahan, sudah tentu kita akan dapat melihat lebih ramai lagi usahawan Melayu yang berjaya; sudah tentu kita akan dapat melihat wawasan Dasar Ekonomi Baru untuk memberikan Melayu 30 peratus pegangan ekuiti lama tercapai; sudah tentu kita akan dapat melihat lebih tinggi jumlah pegangan aset kewangan oleh golongan Melayu-Bumiputera.

Justeru, sedarlah, Datuk Ibrahim Ali dan UMNO sebenarnya merupakan anti-tesis kepada hero Melayu. Ancaman kepada bangsa Melayu sebenarnya bukanlah datang dari bangsa-bangsa lain, tetapi datang dari “hero-hero” dan “pahlawan-pahlawan” yang cuma ingin memusatkan kuasa dalam tangan mereka dengan melaga-lagakan rakyat Malaysia antara satu sama lain.

Ancaman yang sebenar datang dari pencabulan pentadbiran ekonomi negara; Hutang negara yang semakin meningkat RM763billion (tidak termasuk hutang 1MDB yang dijamin kerajaan sebahagiannya daripada sejumlah RM38 bilion selepas 5 tahun beroperasi); kuasa membeli rakyat semakin menurun dengan kadar inflasi yang trennya akan terus naik, gaji pekerja Malaysia yang kekal malar pada kenaikan 2.6 peratus dalam sepuluh tahun kebelakangan, kalah dengan kenaikan produktiviti!

Menjelang tahun hadapan pula, pasca rasionalisasi subsidi menyaksikan pengenalan regim pencukaian regresif GST, sehinggakan pencarian ilmu serta ubat-ubatan juga akan dikenakan cukai – sementara makanan mewah seperti udang kara dikecualikan sama sekali!

Ketika harga minyak mentah naik, kerajaan telah berbohong kepada rakyat, mengatakan kerajaan terpaksa “membayar” subsidi yang tinggi, sedangkan harga minyak mentah yang tinggi menguntungkan negara. Malangnya, subsidi korporat dikekalkan terus, dan hutang oleh kebanyakan syarikat berkait kerajaan sehingga kini gagal dibayar semula (Perbadanan Aset Keretapi, tunngakan RM1.07 bilion, Indah Water Konsortium RM2 bilion, Port Klang Authority (PKA) RM3.8 bilion, antara lain).

Pada ketika ini, harga minyak mentah telah turun sehingga pada sekitar USD$60, dan ekonomi kita makin tertekan.

UMNO berkata kononnya mereka berjaya mengurangkan kadar kemiskinan dari 60 peratus di saat merdeka ke kurang 1 peratus pada masa ini. Malangnya, Laporan Pembangunan Sumber Manusia 2013 (The Malaysia Human Development Report 2013) oleh UNDP melaporkan sebaliknya: bahawa bilangan untuk kemiskinan relatif di Malaysia telah meningkat sejak tahun 2007, dengan 1 dalam 5 isi rumah (20%) dianggap miskin tegar pada tahun 2012. Jelas, angka-angka yang telah dikeluarkan menunjukkan dakwaan yang dilontarkan oleh UMNO adalah bertentangan sama sekali dengan realiti sebenar.

Justeru, sedarlah “hero-hero” Melayu sekalian, cukuplah dengan berbangga diri. Untuk kali pertama dalam hidup kalian, cubalah muhasabah diri, dan bertanya, apakah anda semua layak digelar ‘hero’ untuk orang Melayu? Kita harus berbalik kepada indikator angka dan statistik secara objektif – sebelum mengatur dasar yang benar-benar membantu rakyat terbanyak. Apa ada dengan hero, kalau yang lain hidup melarat?

[1] The Colors of Inequality, Muhammad Abdul Khalid