Gaza di hatiku
Aidilfitri sudah tiba dan berlalu . Pun begitu, rakyat Malaysia, khususnya umat Islam merayakan hari yang penuh kemuliaan ini bercampur perasaan sedih dan hiba; bila mengenangkan ntragedi-tragedi yang menimpa kita semua – termasuk umat Islam sedunia umumnya.
Belum lagi sembuh Luka akibat kehilangan pesawat MH370 masih, pesawat MH17 pula telah menjadi mangsa peperangan di Ukraine. 298 nyawa yang tidak berdosa menjadi mangsa keadaan. Saya ingin mengambil peluang ini untuk menyampaikan salam takziah saya kepada kesemua keluarga mangsa termasuk dengan kakitangan Malaysia Airlines. Kami bersama-sama anda dalam waktu yang sukar ini.
Seluruh dunia juga menyaksikan bagaimana Israel secara ganas dan kejam melakukan terhadap penduduk Gaza menerusi Operasi Perlindungan Sempadan yang dilakukan pada 8 Julai 2014 yang lalu; khususnya kemasukan tentera darat Israel ke Semenanjung Gaza.
Menurut Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu, sebanyak 75% mereka yang terkorban adalah dari orang awam. Peristiwa yang lebih menyayat hati ialah empat orang kanak-kanak yang merupakan adik-beradik mati dibom roket Israel Defense Force (IDF) semasa bermain di tepi pantai Gaza pada 16 Julai lalu. Mereka ialah Ahed Atef Bakr dan Zakaria Ahed Bakr, berumur 10 tahun, Mohamed Ramez Bakr, 11 tahun, dan Ismael Mohamed Bakr, 9 tahun.
Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, angka kematian pada ketika ini sudahpun mencapai angka 1000 orang. Begitulah, sementara kita merayakan Aidilfitri dengan ketupat dan lemang, rakyat Gaza merayakan dengan bom dan peluru, serta bermandikan darah.
Sungguhpun konflik Israel-Palestin ini telah berlangsung berdekad lamanya sejak 1948, pendirian yang tegas perlu diambil oleh pihak kerajaan yang konsisten terhadap pencabulan di tanah Palestin. Wajarlah kita menyingkap kembali peristiwa kedegilan Israel sebagai “negara pengganas”:
Menurut Jeremy R. Hammond, pakar penganalisis politik Foreign Policy Journal, Israel sekurang-kurangnya telah melanggar sebanyak 79 resolusi Majlis Keselamatan PBB dari tahun 1948-2009. Perlanggaran ini termasuklah beberapa resolusi yang dikeluarkan bagi mengecam tindakan ketenteraan Israel ke atas negara-negara Timur Tengah seperti Syria, Jordan, Lebanon dan Palestin.
Pada tahun 2013, menurut Laporan Sidang Umum PBB ke-68, sebanyak 21 resolusi telah dikeluarkan mengkritik eksploitasi Israel terhadap tanah Palestin yang dirampas sejak 1967. Malah, pada sesi sidang Majlis Hak Asasi Manusia PBB yang ke-25 (3-8 March 2014), UN telah pun meluluskan 4 resolusi menentang pendudukan Israel ke atas Palestin walaupun diselar sebagai keputusan yang berat sebelah oleh Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu. Kedegilan Israel juga tergambar menerusi pencabulan terhadap ‘Advisory Opinion’ Mahkamah Antarabangsa tahun 2004 yang mengecam pembinaan tembok pemisah di dalam kawasan jajahan Israel di Palestin.
Pencabulan ini disokong oleh Amerika Syarikat yang sentiasa menggunakan kuasa vetonya bagi menolak resolusi PBB. Contohnya, pada tahun 2013, AS telah memveto keputusan Majlis Keselamatan PBB bagi mengecam pendudukan haram Israel dari 1967 atas alasan bahawa resolusi itu akan mengancam peluang untuk perdamaian.
Yang mengejutkan kita, Menurut Laporan Biro Statistik Israel, hubungan dagang Malaysia dan Israel pada tahun 2008-2011 berubah-ubah. Ia menunjukkan peningkatan dari 2008, eksport Israel ke Malaysia berjumlah ($30.2 juta), eksport Malaysia ke Israel berjumlah ($100.6 juta) kepada $716.4 juta eksport ke Malaysia dan import dari Malaysia berjumlah $93.6 juta pada 2011.
Sekatan ekonomi mestilah dikenakan kepada rejim Zionis yang tidak tahu batasan kemanusiaan ini. Malaysia dan keseluruhan dunia Islam perlu segera memutuskan kesemua hubungan perdagangan dengan rejim ini. Tindakan ini telah terbukti akan memberikan kesan. Menurut kajian Benyamin Neuberger dari Tel Aviv University, hubungan Afrika dan Israel pernah terjejas teruk pada tahun 1973 berikutan Perang Yom Kippur yang menyebabkan 7 negara Afrika memutuskan hubungan dengan Israel dan tidak kurang 21 negara Afrika menghentikan hubungannya dengan Israel atas solidariti terhadap Mesir sebagai protes terhadap kemasukan tentera Israel melalui Terusan Suez.
Maka saya dengan segala hormatnya meminta rakyat Malaysia menggesa kerajaan untuk mengambil tindakan dengan menggantung hubungan dagangan ini bagi menyatakan pendirian terhadap keganasan Israel dan solidariti bersama Gaza.
Rakyat juga perlu menuntut Malaysia menggunakan pengaruhnya di Konferens Negara-negara Islam (OIC) untuk mengecam tindakan Israel ini, serta menyelaraskan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Gaza (makanan,perubatan, pakaian) serta bantuan tenaga sukarelawan. Ini selaras dengan firman Allah dalam surah Al-Maidah ayat 2, yang bermaksud: “Hendaklah kamu bantu membantu kepada kebaikan dan ketakwaan dan jangan kamu sekali-kali bantu membantu ke arah melakukan dosa dan permusuhan antara satu sama lain.”
Dengan ini, saya harapkan dalam kita merayakan hari yang mulia ini, kita mestilah mengingati akan saudara-saudara kita yang masih lagi tertindas di seluruh dunia. Kita tidak boleh hanya berpeluk tubuh menunggu orang lain untuk melakukan perubahan. Perubahan mestilah bermula dengan tindakan kita sebagai umat Manusia.