Pihak pengurusan Universiti Malaya sepatutnya memberi perhatian terhadap permasalahan seharian yang dihadapi oleh para mahasiswa serta mahasiswi dan bukannya menghukum aktivisme. Tindakan yang cukup opresif terhadap 6 orang pelajar hanya kerana menyuarakan had akses kepada capaian tanpa wayar (WiFi) di kampus membuktikan pihak pengurusan menganggap mahasiswa-mahasiswi selaku robot yang tidak bernyawa.
Kelainan dalam kes terkini adalah topik – yang bukan berkait politik, tetapi perihal akses kepada WiFi di kampus. Mungkinkah kes terkini akan mencetus pengharaman kritikan siswa-siswi terhadap isu berkait kualiti pendidikan, kos yuran universiti, hatta hinggalah ke khidmat pusat kesihatan di kampus?
Ternyata, pandangan keenam-enam orang pelajar UM ini sebenarnya selari dengan hakikat bahawa Malaysia mempunyai akses Internet yang lambat dan tidak setanding dengan jumlah yang perlu dibayar untuk khidmat tersebut.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sewaktu membentangkan Bajet 2016 baru-baru ini telah mengumumkan peruntukan RM1.2 bilion di bawah SKMM untuk menambah baik infrastruktur telekomunikasi negara.
Ibarat angin tak dapat ditangkap, asap tidak dapat digenggam, mahasiswa sekali lagi disulitkan dengan hal yang memberi impak kepada kos sara hidup mereka. Mahasiswa tidak punya pilihan lain selain membayar caj tambahan jika mahu menggunakan akses Internet yang lebih laju memandangkan kini akses Internet adalah keperluan dan bukan hanya kemudahan sampingan.
NURUL IZZAH ANWAR
AHLI PARLIMEN, LEMBAH PANTAI
NAIB PRESIDEN DAN PENGARAH PILIHANRAYA, KEADILAN
[2]http://www.sinarharian.
[3]http://www.sinarharian.