KENYATAAN MEDIA
10 APRIL 2018
HAK ASKAR NEGARA: SEKADAR MAINAN POLITIK?
Di mana bukti hitam putih pentadbiran negara sebelum ini tentang milikan tanah kem tentera seluruh Malaysia? Adakah bekas Menteri Pertahanan sedang cuba berpolitik dan mengaburi mata rakyat, dengan menidakkan dakwaan semua tanah kem tentera telah diswastakan?
Pendedahan kontroversi ini oleh Tan Sri Rafidah Aziz mampu menjadi duri dalam daging bagi Barisan Nasional jika tiada jawapan tuntas.
Lebih membahayakan, ia jelas menunjukkan bahawa hak golongan tentera sering dipermainkan BN yang menekan perajurit negara dengan paksaan mengundi secara pos yang meragukan dan kekurangan penjagaan kebajikan.
Di manakah jaminan Barisan Nasional bahawa kem tentera tidak akan digadaikan demi kepentingan peribadi, sedangkan kem TUDM Sungai Besi pun mampu digadaikan begitu sahaja kepada pemaju dari negara China?
Ingin saya tegaskan, penafian lisan yang diberi Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein amatlah tidak memadai, apabila semua pihak terdedah dengan potensi penyebaran ‘fake news’ pada hari ini – yang diangkat BN sebelum terbubarnya Parlimen.
Sejak sekian lama, hak para tentera, termasuk untuk mengundi dikekang. Mereka hanya dijadikan talian hayat BN, dikerah menjadi sebahagian daripada pengundi pos dalam negara (yang jumlah terbaru daripada 9 kategorinya masih samar-samar), demi menyelamatkan pemerintah terdahulu.
Turut menggusarkan, daftar pemilih bagi golongan ini kelihatan dimanipulasi pihak tertentu yang mengalih data pengundi ke kawasan baru tanpa penjelasan yang nyata – seolah-oleh warga tentera hanya ‘patung’ yang boleh dicampak ke mana sahaja.
Situasi yang sama dialami lebih 1,000 tentera yang dilaporkan telah didaftarkan sebagai pengundi pos di Segamat dan Bera tahun lalu, walaupun kem yang sepatutnya didiami belum siap.
Dianggarkan hampir 500 000 orang pengundi pos kakitangan awam layak mengundi pada PRU 13, termasuk pasangan mereka. Maka, adakah jumlah ini akan bertambah dengan penambahan 9 jabatan kerajaan yang boleh mengundi pos bersama pasangan mereka?
Juga menyedihkan saya, apabila kebajikan golongan tentera terutamanya veteran dan pesara tetap dipenuhi isu. Kelewatan peningkatan dan penyelarasan pencen telah menjejaskan hidup 70,000 veteran yang menerima kadar teramat rendah.
Menjelang PRU14 ini, seruan Patriot dan rakyat harus didokong golongan tentera. Hak tentera sebagai pengawal dan penyelamat negara perlu diangkat terus-menerus dengan undi terhadap pihak yang ikhlas mahu menjaga kebajikan pelindung sempadan Malaysia.
Telah tiba masanya untuk mengembalikan hak pihak tentera.
Saya mendesak agar Menteri Pertahanan (Sementara) mendedahkan kertas mesyuarat kabinet mengenai dakwaan 40 000 hektar tanah ATM diberikan kepada syarikat swasta
Saya percaya rakyat, anggota tentera dan bekas parajurit juga mahu melihat bukti dan fakta. Kegagalan BN untuk mendedahkan bukti tersebut telah melanggar salah satu 14 akujanji dalam manifesto BN PRU 14, iaitu menjadi sebuah kerajaan integriti dan urus tadbir yang baik
Maka bagaimana rakyat Malaysia boleh bersama BN menghebatkan negara sedangkan isu seperti kebajikan anggota tentera gagal dipertahankan BN?
Di sini, saya menjanjikan komitmen Pakatan Harapan untuk menambahbaik keperluan, kebajikan, tempat berkhidmat, hak mengundi dan kebebasan bersuara para tentera, yang juga mempunyai kuasa sebagai pemilih dan rakyat negara berdaulat ini.
NURUL IZZAH ANWAR
NAIB PRESIDEN DAN PENGARAH PILIHAN RAYA BERSAMA, KEADILAN